Oleh Ustaz Zolkharnain Abidin
Dr Mahathir Mohamad
tidak layak bercakap soal
Islam, kata seorang orang besar
Pas Kelantan. Tapi kenapa? Apa
ukuran yang orang itu gunakan
terhadap Mahathir untuk menentukan
dia tidak layak bercakap
tentang Islam? Islam adalah
agama, bukan profesyen atau
kerjaya.
Seorang doktor memang tidak
layak bercakap soal kejuruteraan
elektrik misalnya, kerana itu
bukan profesyen dan bidang
kerjayanya. Itu memang logik.
Tapi Islam adalah agama atau
pegangan hidup untuk semua.
Dan, Mahathir beragama Islam,
jadi apa halangan untuk dia bercakap
soal Islam? Jika cakapnya
salah, betulkan, bukan halang dia
bercakap.
Semenjak bila pula Islam tidak
membenarkan orang Islam
bercakap tentang agamanya
sendiri?
Lagi pun Mahathir bukan
bercakap dalam suatu bidang
khusus mengenai Islam, tetapi
dia bercakap tentang konsep
umum Islam. Jadi, apa salahnya?
Walaupun saya bukan doktor,
tetapi beberapa konsep umum
tentang perubatan dan penyakit,
saya boleh bercakap. Misalnya,
ambil gula dan garam berlebihan
boleh meningkatkan risiko darah
tinggi dan kencing manis. Takkan
bercakap begitu pun saya tak
layak?
Memilik-khususkan Islam
untuk kelompok tertentu atau
orang tertentu bukan ajaran
Islam kerana Islam adalah rahmat
untuk semua. Bahkan jika non
Muslim sekalipun ingin bercakap
sesuatu tentang Islam, mereka
tidak perlu dihalang dengan ungkapan,
“Jangan, kamu tak layak”.
Suatu ketika dulu, Pas pernah
berbangga dengan beberapa individu
non Muslim yang pandai
membaca beberapa patah ayat
al-Quran dalam ceramah mereka.
Jika mereka pernah berbangga
dengan non Muslim sebegitu,
mengapa Mahathir, seorang
Muslim pula menjadi tidak layak?
Oh, kalau Mahathir bercakap
tentang Islam terserlah kejahilannya.
Saya katakan, orang yang
menyatakan Mahathir tidak
layak bercakap soal Islam itulah
yang menyerlahkan kejahilannya
tentang Islam.
Kerana, Islam adalah agama
yang menyanjung kebebasan
dan meraikan kepelbagaian. Sebarang
pandangan tentang Islam
wajar didengar dan diraikan, walaupun
datang dari musuh Islam
sekalipun. Jika pandangan musuh
pun diambil manfaat, Muslim
pula nak dihalang bercakap?
Saya fikir, dalam banyak hal,
kefahaman Mahathir tentang
Islam lebih baik daripada kefahaman
orang yang menyatakannya
tak layak bercakap tentang Islam
itu. Untuk buktikannya mudah
saja, letakkan Mahathir dan
mana-mana pemimpin Pas sepentas
dan wacanakan Amanat
Abdul Hadi.
Ketika itu rakyat Malaysia
akan nampak, antara Mahathir
dan pemimpin Pas, siapakah
yang berkefahaman Islam secara
progresif, moderat dan inklusif.
Rakyat akan nampak kefahaman
Islam yang menggambarkan
keindahan Islam dengan kefahaman
Islam yang ekstrem dan
konservatif.
Buat pemimpin Pas, berhentilah
berasa Islam hanya milik
anda, berasa diri anda lebih
Islam daripada orang lain, berasa
anda lebih faham Islam daripada
orang lain, berasa orang lain tidak
sempurna keislamannya dan
berasa hanya anda saja mahukan
Islam tertegak.
Buat Mahathir, bercakaplah
tentang Islam kerana anda tidak
pernah hilang kelayakan utk
bercakap tentang agama anda
sendiri.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan