Penduduk bandaraya Kuala Lumpur akan merasai lebih nikmat demokrasi
yang selama ini dipinggirkan apabila para wakil rakyat yang mereka pilih
bakal menyertai proses membuat keputusan dalam mentadbir bandaraya.
Inilah janji Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad kepada mereka
selepas pertemuan pertama beliau dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) semalam.
“Sebelum kita sampai kepada pilihan raya kerajaan tempatan, perkara
pertama yang saya akan buat adalah mempastikan wakil yang dipilih oleh
rakyat mendapat tempat dahulu dalam pentadbiran yang ada.
“Mereka akan terlibat dalam proses membuat keputusan di bandaraya
dengan menyertai pelbagai jawatankuasa dan jabatan yang ada di DBKL,”
kata Khalid dalam sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan DBKL
itu.
Khalid menjawab persoalan apakah kerajaan Pakatan Harapan akan
mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih datuk bandar
melalui satu pilihan raya.
“Ia bukan menjadi prioriti saya. Apa yang saya nak buat sekarang
adalah beri hak kepada wakil rakyat yang terpilih dahulu selepas mereka
dipinggirkan selama ini,” kata Khalid.
Menurut Khalid, pilihan raya kerajaan tempatan memang menjadi hasrat
banyak pihak untuk mempastikan negara ini lebih demokratik tetapi ia
perlu dibuat dengan berhati-hati agar ianya tidak dijadikan modal
politik.
“Oleh itu, sebelum pelaksanaan ia perlu diberikan penerangan yang jelas dan semua pihak faham mengenainya.
“Boleh jadi kita jadikan ia sebagai manifesto dalam pilihan raya umum
ke 15 nanti, selepas semua pihak memahaminya,” kata Khalid.
Dalam sidang media yang sama Khalid turut berkata, dengan penyertaan
wakil yang dipilih rakyat, beliau berharap semua isu yang dihadapi oleh
warga ibu kota dapat dibincangkan dengan baik antara wakil mereka dengan
DBKL.
Dengan cara ini, katanya, beliau percaya banyak perkara yang dihadapi oleh wargakota dapat diselesaikan.
Kuala Lumpur mempunyai 1.8 juta penduduk pada waktu malam manakala
pada siang hari ia didiami oleh kira-kira 3 juta penduduk ekoran
kemasukan mereka untuk bekerja di ibukota.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan