Harapan marhaen ibu kota.

Oleh Arif Atan

"Tak sia-sia kita angkat sepanduk, kan?" sapa makcik jual kuih pagi tadi ketika saya menghulurkan wang membeli kuih serta akhbar Sinar Harian dan Mingguan Amanah.

Gerainya tidak jauh dari Masjid Jamek Kampung Baru.

Setiap kali selepas Solat Subuh dan selesai bacaan Yaasin di masjid itu sekitar jam 6.30 pagi, makcik ini sudah sibuk bersiap-siap buka gerai dan terima bekalan kuih daripada pembuat-pembuat kuih sekitar Kampung Baru ini.

"A'ah, makcik. Alhamdulillah. Harapnya lebih baik," spontan saya menjawab ketika jururawat manis Hospital Al-Islam di sisi sedang menanti giliran mahu menyerahkan wang.

Tidak mahu menjadi sesi wawancara hingga mengganggu urusan orang lain yang sedang mengejar masa, saya berlalu sambil dalam hati berbahas kembali tentang kenyataan makcik itu tadi.

Sebelum ini, saya terserempak dengan makcik itu semasa himpunan Tangkap MO1 depan Sogo dua tahun lalu.

Walaupun bertubuh rendah, dia juga antara yang mengangkat sepanduk ditemani anak saudaranya.
Melihatkan susuk tubuh kecil tapi bersemangat itu, saya menganggap beliau seperti Pak Amjal versi Hawa walaupun tidaklah seusia emas dengan pemilik kedai makan di Jalan Pantai Baharu depan UM itu.

Kerap juga saya berselisih selepas solat Maghrib di Masjid Jamek Kampung Baru dengan makcik ini yang nampak romantik sekali naik moto dengan suaminya yang berbaju Melayu, berkain pelekat dan berkopiah putih bersih itu.

Kadang-kadang sedang menanti lampu merah bertukar, saya pun tidak perasan sebab mata pandang ke depan, dia yang masih bertelekung akan menegur saya, "eh, nak (anak)...bla..bla.." sambil bercakap perkara yang kurang jelas butir manakala suaminya jenis pendiam senyum saja kepada saya.

Di gerainya, lantaran tidak sempat berbual panjang kerana sibuk melayan pelanggan, makcik itu sambil memulangkan baki duit, sempat lagi bercakap 'tema' yang sama lazimnya berkaitan tajuk muka depan akhbar yang jauh berbeza sebelum 9 Mei.

Selepas dua minggu PH menang, makcik bertudung labuh itu antara lain menyebut, "Syukur, Alhamdulillah. Pemimpin yang rasuah dah tumbang. Puas sangat makcik sejak zaman Reformasi lagi mahu tukar BN ni," katanya sambil tangan sibuk menyusun bekas-bekas kuih.

Balik dari membeli kuih dan akhbar itu, saya singgah sebentar di 7E dekat Jalan Raja Alang.
Terserempak dengan seorang gelandangan sedang tidur bersama bungkusan plastik ketika jam sudah mencecah pukul 7.40 pagi.

Harapan tinggi makcik penjual kuih dan jemaah setia Masjid Kampung Baru itu kembali mengetuk fikiran:
Adakah usaha dan perjuangan ikhlas rakyat marhaen seperti makcik penjual kuih Kampung Baru itu yang mahu melihat perubahan kerajaan lebih baik berbaloi dan tidak sia-sia?

Bagaimana nasib golongan peniaga kecil sepertinya ketika satu demi satu lot tanah di kampung tua Melayu yang masih tinggal di tengah-tengah ibu kota itu diganti projek rumah mewah?

Bagaimana masa depan masyarakat terpinggir seperti warga miskin kota dari yang menghuni flat kos rendah hingga yang tidur berlantaikan jalan tar?

Adakah kelas pekerja golongan B40, masyarakat luar bandar termasuk nelayan kecil yang hari ke hari berdepan masalah pencemaran sumber air hinggalah mereka di kawasan pedalaman juga masyarakat Orang Asli di Gua Musang serta Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapat pembelaan dalam keputusan dan dasar ekonomi kerajaan selepas ini?

Inilah cabaran besar kerajaan PH untuk memastikan agihan ekonomi berlaku lebih adil dengan membuang mana-mana sistem operasi yang menindas dan pegawai-pegawai kerajaan di pihak pelaksana dasar yang korup dan sibuk menggemukkan saku lupa tanggungjawab.

Ini penting supaya harapan mereka tidak sekadar tinggal harapan serta perubahan parti pemerintah yang dibantu oleh tangan dan kudrat mereka adalah berbaloi dan tidak sia-sia.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan