Baru-baru ini, beberapa persatuan mahasiswa mengadakan satu forum
berkenaan dengan UEC dalam Universiti Malaya. Berminat untuk mengetahui
perdebatan ini lebih mendalam, saya meluangkan masa untuk hadir program
tersebut.
Walaupun ada sedikit gangguan dari pihak polis Universiti yang
kemudiannya dapat diatasi dengan baik, secara dasarnya perbincangan pada
malam itu amat menarik. Terutama, forum tersebut membariskan dua orang
panel yang bersetuju dengan UEC dan dua orang lagi panel yang tidak
bersetuju.
Dalam wacana tersebut, saya terfikir tentang apa yang dibangkitkan oleh
salah seorang panel, iaitu apa yang saya simpulkan sebagai "kesatuan
bahasa untuk kesatuan bangsa"
PAKISTAN
Semasa mendapat pendidikan di Pakistan, saya dapati rata-rata rakyat
Pakistan bercakap dalam bahasa yang satu, iaitu Urdu. Majoriti rakyat
Pakistan pula beragama Islam.
Dalam pemerhatian saya, amat susah hendak berjumpa dengan rakyat
Pakistan yang beragama selain Islam. Malahan, selama saya berada di
sana, hanya tiga orang penganut Kristian dan seorang penganut Hindu
sahaja yang saya berjumpa.
Tetapi, dalam keadaan mereka bercakap dalam satu bahasa, perbalahan
mereka di sana amat teruk. Mereka bergaduh sunni - syiah, sehingga ulama
mereka sanggup mengeluarkan fatwa menghalalkan darah antara satu
dengan yang lain.
Saya kira, bukan di Pakistan sahaja, malahan di negara arab, boleh di
katakan hampir semua negara mereka memartabatkan bahasa arab dalam
percakapan harian, tetapi hakikat bangsa arab tidak bersatu. Mereka
bergaduh, malahan sanggup bunuh membunuh ekoran mereka punyai aliran
mazhab yang berbeza.
Kejadian sebegini, menyebabkan saya kadangkala terfikir alasan yang
menyatakan bahawa sesuatu bangsa itu boleh bersatu dengan satu bahasa.
Kadangkala saya terfikir balik, kesatuan itu berfaktor bahasa atau ada
faktor lain.
MAHATMA GANDHI
Dalam satu forum, saya dijemput untuk bedah filem lasykar pelangi. Dalam
forum itu, moderator bertanya kepada saya tentang kesatuan rakyat
Malaysia perlu dengan satu bahasa. Moderator terbabit beralasan, teori
ini datang dari Syed Nuqaib Al-Attas.
Ketika soalan itu dilontarkan, saya baru lepas membaca buku berkaitan
Mahatma Ghandi dan Syed Ahmad Khan. Kedua-dua tokoh India yang berbeza
agama ini, mereka mahu membawa projek kesatuan rakyat India dalam
melawan penjajah dengan menggunakan semangat Nasionalisme India.
Kedua-dua mereka tidak membawa semangat agama Hindu atau Islam, kerana
masyarakat mereka bergaduh atas nama agama. Andai bawa semangat Hindu,
sudah pasti muslim akan marah. Demikian juga, andai bawa semangat Islam,
sudah pasti masyarakat Hindu akan marah.
Solusi di India ketika itu bukan agama, tetapi nasionalisme India. Semua
rakyat India dalam apa anutan agama sekalipun, mereka perlu ada
semangat mahu memastikan negara mereka menjadi baik.
Andai tajuk Islam pula sebagai asas kesatuan, semua akui bahawa sesama
sahabat Nabi yang mendapat tarbiah Nabi pun berperang sesama mereka.
Sejarah Islam tidak boleh menutup kisah peperangan Jamal dan Siffin,
sehingga membunuh ratusan nyawa.
Malahan, di negara Pakistan yang majoriti rakyatnya beragama Islam juga
berbunuh-bunuhan sesama mereka. Mereka saling prejudis antara satu
dengan yang lain.
ASOBIYAH
Masalah besar berlaku di Pakistan, malahan juga di negara Arab dan
banyak Negara adalah semangat asobiyah melampau. Asobiyah melampau yang
saya maksudkan adalah mempertahankan geng sendiri walaupun terbukti
salah. Melampau dalam asobiyah, apabila kezaliman geng sendiri
dipertahankan atas alasan "dia adalah geng kita".
Pertembungan sunni dan syiah sebagai contoh, adalah isu penafsiran Islam
di pihak masing-masing. Sunni mempunyai penafsiran mereka, demikian
juga syiah dengan penafsiran mereka.
Apabila ada seorang individu syiah melakukan sesuatu kesalahan, semua
geng Syiah mempertahankan individu syiah yang salah tersebut dengan
alasan "dia geng kita". Demikian juga berlaku di pihak sunni.
Dengan itu, kesalahan, kejahatan dan kezaliman tidak dapat dihapuskan
ekoran asobiyah ini. Sewajarnya, rakyat Pakistan perlu akui bahawa
kesalahan adalah kesalahan, tidak kira apa mazhab dia sekalipun.
Ini ditambah pula, apabila kerajaan Pakistan tidak mempunyai ketegasan
dalam sebarang provokasi-provokasi keagamaan, seperti fatwa halal darah
yang dari ulama sunni terhadap Syiah; dan dari ulama syiah terhadap
sunni.
KEBENARAN DI TANGAN MEREKA
Antara faktor besar juga berlaku polemik persengketaan, apabila setiap
kalangan mereka mendakwa bahawa kebenaran hanya berada di tangan mereka,
walhal semua manusia akui bahawa kebenaran hakiki hanya ada pada tangan
Tuhan yang maha berkuasa.
Seseorang ulama Pakistan dari aliran sunni merasakan fatwa mereka
dianggap kebenaran mutlak. Justeru, fatwa halal darah terhadap kalangan
muslim yang lain diangkat setahap jihad. Makanya, usaha membunuh itu
satu pahala, malahan jika terbunuh pula dalam melakukan "jihad" itu
dianggap sebagai syahid. Perkara ini berlaku juga di pihak Syiah.
Mereka meletakkan mazhab melebihi agama. Pada mereka, kebenaran mutlak
itu hanya pada mazhab mereka. Lebih dahsyat lagi, kebenaran mutlak itu
dianggap dari ulama mereka sahaja.
Mereka gagal belajar dari kelebihan pihak lain; dan juga gagal mengakui
diri mereka sendiri ada kelemahan yang perlu dibaiki dengan belajar
kelebihan dari pihak lain itu.
Walhal, dalam kalangan orang sunni sendiri , amat ramai berbangga dengan
kelebihan Ibn Sina sedangkan ramai mendakwa dia adalah seorang
penganut syiah Ismaili. Demikian juga tokoh besar seperti Ibn Rushd dan
al-Biruni yang ramai tuduh beliau sebagai Muktazilah.
Saya kira, belajar dari kelebihan pihak lain secara tidak langsung telah
berlaku dalam tradisi sunni sendiri. Contohnya, ketokohan al-Imam
Al-Ghazali yang dikagumi ramai; beliau sendiri terpengaruh dengan
pendekatan Mantiq Aristotle dalam mengemukakan hujah untuk
mempertahankan fahaman Asya'irah menerusi kitab al-Qirtas dan al-iqtisad
fi al-I'tiqad.
KESATUAN
Kita memang tidak dapat mencapai kebaikan mutlak, sebab setiap manusia
diciptakan Tuhan dalam keadaan lemah. Ekoran itu, hendak hapuskan
masalah pertembungan anutan agama atau kaum di sesuatu tempat tidak akan
berlaku secara mutlak. Namun, mengurangkan keburukan itu boleh
dilakukan.
Saya kira, usaha ke arah kesatuan umat tidak berlaku dengan faktor
kesatuan bahasa. Andai faktor bahasa untuk kesatuan, UMNO dan PAS
berbahasa Melayu, tetapi UMNO berpecah kepada PKR dan PPBM; PAS yang
berpecah dari UMNO kini berpecah menjadi Amanah.
Saya berpendapat, kesatuan umat berlaku dengan sikap mahu belajar dari
kelebihan pihak lain. Semua pihak perlu ada sikap mahu mengutip
kebijaksanaan dari pihak lain, disamping menghargai kebijaksanaan
tersebut.
Saya tertarik apabila wakil GAMIS pada malam itu menekankan bahawa,
sewajarnya setiap rakyat Malaysia (sama ada melayu, cina, India dan apa
bangsa sekali pun), bukan sekadar menguasai bahasa melayu, tetapi perlu
menguasai bahasa Tamil dan Mandarin.
Kita rakyat Malaysia, keunikan kita adalah kepelbagaian bangsa. Justeru,
bagaimana keunikan kita mahu digarap ke arah kemampuan bercakap dengan
kepelbagaian bahasa pula.
Ya, saya sendiri hanya mampu berbahasa melayu. Saya masih gagal menjadi
warganegara yang baik untuk menampilkan keunikan negara kita. Saya
insafinya.
0 comments:
Catat Ulasan