Umno tidak halang ahli mengundi dalam PRK Port Dickson, kata Mohamad Hasan

PETALING JAYA: Umno hari ini menegaskan ia tidak menghalang ahli parti itu untuk mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang akan berlangsung Sabtu ini.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak ada arahan oleh parti itu untuk memboikot pengundian PRK Port Dickson.

“Memang kita tak keluar apa-apa arahan pun,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
PRK Port Dickson akan diadakan Sabtu ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.
Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk VS Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak akan bertanding PRK Port Dickson menentang Anwar.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Umno, MCA dan MIC.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, mengundi merupakan hak peribadi seseorang individu.

“Siapa nak turun mengundi atau tak turun mengundi itu terpulang kepada masing-masing,” katanya
PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan 7 penjuru membabitkan Anwar yang mewakili Pakatan Harapan; calon PAS Let Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar; bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas); Mohd Saiful Bukhari Azlan (Bebas); Lau Seck Yan (Bebas); Chan Keng Leong (Bebas); dan Kan Chee Yuen (Bebas).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan