Oleh Amin Iskakndar
Semenjak 9 Mei 2018, hidup Najib Razak
tidak lagi seindah seperti semasa sembilan tahun menjadi perdana
menteri Malaysia.
BN pimpinannya buat kali pertama dalam
sejarah kalah dalam pilihan raya umum.
Dunia memerhatikan segala skandal yang
ditutupnya ketika berkuasa terbongkar. Rumahnya digeledah polis.
Ratusan juta ringgit ditemui dan pelbagai barang kemas miliknya dan
isteri dirampas polis.
Semua ini tidak pernah disangka Najib
akan berlaku kepada dirinya. Maklumlah, Najib lahir daripada keluarga
bangsawan.
Ayahnya, Abdul Razak Hussein merupakan
perdana menteri kedua selain orang kuat Istana Pahang.
Selepas hilang kuasa, setiap hari media
melaporkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan
Najib yang ditutup ketika beliau berkuasa.
Media arus perdana yang sebelum ini
dikawal BN merasa bebas sebebas-bebasnya.
Semuanya sudah boleh dilaporkan
berbanding ketika zaman Najib menjadi perdana menteri.
Ketika Najib menjadi perdana menteri,
wartawan dimasukkan ke dalam lokap. Portal atas talian disekat dan
ditutup. Permit akhbar digantung.
Hari ini di zaman pemerintahan Pakatan
Harapan (PH) Najib bernasib baik kerana media tidak lagi dikawal
kerajaan.
Maka Najib masih lagi mendapat liputan.
Disebabkan itu Najib memperkuatkan pasukan media sosialnya.
Tentera upahan
Sebaik sahaja selepas kalah PRU14,
akaun bank Najib dibekukan. Maka Najib tidak dapat bergerak. Akaun
banknya disiasat sama ada berkait dengan 1MDB atau tidak.
Akan tetapi pada Julai, kerajaan
pimpinan Dr Mahathir Mohamad tidak lagi membekukannya selepas
mendapati ia tidak berkaitan dengan 1MDB.
Salah seorang ahli Majlis Tertinggi
Umno ditugaskan untuk menggepalainya.
Jutaan ringgit dihabiskan untuk
menguatkan pasukan sibernya yang terdiri daripada antaranya
wartawan-wartawan yang bertugas dengan pelbagai agensi media.
Malahan ada wartawan daripada portal
media yang kerjanya hanya menulis berita Najib dan mengikut segala
aktiviti bekas perdana menteri itu.
Maka tidak hairanlah dalam satu hari,
akaun Facebook Najib akan mempunyai empat lima posting
menghentam kerajaan PH.
Semuanya akan mendapat liputan media
kerana kerajaan hari ini tidak mempunyai dasar untuk mengawal media.
Ini semua menjadi hiburan baru kepada
Najib. Pada masa sama, pasukan peguamnya terus menerus cuba untuk
menangguhkan perbicaraan rasuah dihadapinya.
Disebabkan itu kerajaan pimpinan Dr
Mahathir bakal menubuhkan mahkamah khas untuk menguruskan kes-kes
berkaitan dengan rasuah.
Perdana menteri berkata penubuhan
mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan mahkamah biasa.
“Ini cadangan baharu kerana kita
perlu menentukan kes-kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus yang
tertumpu semata-mata kepada kes rasuah.
“Ia memerlukan undang-undang kerana
ia akan mengubah ciri-ciri asas mahkamah, jadi perlu ada kesungguhan
untuk melawan rasuah.
“Kerajaan dalam proses akhir
penilaian cadangan ini dan akan diwujudkan secepat yang mungkin,”
katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) baru-baru
ini.
Selagi bebas, bergembiralah Najib
dengan pasukan media sosialnya. Lambat laun beliau akan ke penjara
juga.
AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan
akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan
peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena
mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.
0 comments:
Catat Ulasan