Yazid Sufaat bebas, perlu pakai peranti elektronik

KUALA LUMPUR: Militan Malaysia, Yazid Sufaat yang memperoleh empat tan ammonium nitrat pada 2000 sebagai persediaan dalam komplot pengeboman gagal di Singapura sudah dibebaskan dari penjara, kata sumber kepada akhbar The Straits Times Singapura.

Pakar biokimia terlatih Amerika Syarikat (AS) berusia 55 tahun itu yang pernah cuba menghasilkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) untuk Al-Qaeda, dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, dua tahun selepas menjalani tempoh maksimum dibenarkan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu The Straits Times, Yazid dibebaskan selepas Lembaga Pencegahan Keganasan Malaysia mengadakan pertemuan pertengahan November lalu bagi membincangkan perkara itu.

“Dia akan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun dan perlu memakai peranti pemantau elektronik (EMD). Jika dia berhasrat keluar dari Ampang, Yazid perlu memaklumkan Ketua Polis Ampang,” kata Ayob merujuk tempat tinggal Yazid.

Ayob berkata, walaupun Yazid dibenarkan menggunakan telefon, dia dilarang memiliki akses ke internet.

“Dia juga tidak dibenarkan keluar rumah antara jam 8 malam dan 6 pagi namun bebas menerima pengunjung. Selepas dua tahun, pihak berkuasa akan menilai semula segala-galanya sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sumber perisikan berkata, Yazid jelas ‘menyesali perbuatannya’ berdasarkan input dari Jabatan Penjara, menjurus pihak lembaga membebaskannya.

Satu lagi sumber berkata: “Pasukan khas akan memantaunya. EMD perlu dicas dari semasa ke semasa. Kami akan dimaklumkan jika ia gagal berfungsi atau cubaan menanggalkannya.”

Pembebasan itu dibuat hampir sebulan selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan laporan The Straits Times bahawa Yadiz akan dibebaskan selepas menjalani hukuman, mengatakan polis tidak akan mencabar pembebasannya. -Agensi
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan