PM pertimbang rombak Kabinet, mungkin sebelum APEC

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan merombak Kabinet susulan cadangan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM hari ini yang membincangkan kekalahan memalukan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai Sabtu lalu.

Perdana menteri berkata, rombakan itu mungkin dibuat sebelum Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25 yang akan dianjurkan Malaysia tahun depan.

“Saya sebagai perdana menteri bertanggungjawab dengan rombakan Kabinet dan saya dengar pandangan mereka. Saya akan beri pertimbangan terhadap desakan rombakan Kabinet.

“Tetapi, bukanlah hari ini atau esok, (ia) setelah kita meneliti pencapaian mereka yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita akan bincang untuk adakan rombakan Kabinet,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di ibu pejabat parti itu hari ini.
Mahathir bagaimanapun berkata, rombakan Kabinet tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi kerajaan ketika ini.

“Rombakan Kabinet ini bukan dengan sendirinya menjadi satu tindakan yang boleh memulihkan kerajaan. Kalau rombak, orang yang baru juga ambil masa dan kesannya tidak dapat dilihat.

“Apabila kesannya tidak dapat dilihat, maka akan ada permintaan untuk rombak lagi, seolah-olah rombak dan (masalah) semuanya selesai. Sebab itu perlu ada kajian dilakukan terlebih dahulu.”

Beliau yang juga pengerusi PH dan PPBM berkata, rombakan itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden pakatan itu dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan pemimpin parti lain.

“Walaupun saya perdana menteri, saya perlu beri pertimbangan kepada parti-parti komponen. Saya tidak boleh begitu mudah gugurkan mana-mana pihak, sebab itu akan ambil masa sedikit.”

 Mahathir berkata, kerajaan bergelut mengumumkan langkah dan tindakan diambilnya, dengan banyak inisiatif kerajaan memerlukan masa untuk menunjukkan hasilnya.

Katannya, prestasi kerajaan PH jauh lebih baik daripada tanggapan orang ramai dan pelaburan langsung asing “lebih besar” daripada beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, pentadbiran PH berjaya mengurangkan rasuah menyebabkan individu yang bergantung kepada amalan itu pada masa lalu tidak puas hati dengan kerajaan.

“Percayalah saya, kerajaan ini mencapai lebih banyak perkara daripada anda fikirkan. Kami melakukan lebih banyak (inisiatif) daripada mana-mana kerajaan dalam tempoh singkat satu setengah tahun.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan