Respon Terhadap Surat ROS Status Penyandang Pengerusi BERSATU•



1. Saya tidak terkejut dengan surat dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang ‘mengesahkan’ Presiden BERSATU, Tan Sri Mahyudin Yasin sebagai Pemangku Pengerusi. Ia tidaklah mengejutkan apabila ‘Setiausaha Agung’ Bersatu pilihannya adalah juga Menteri Dalam Negeri (YB Dato’ Seri Hamzah Zainuddin) yang mana ROS berada di bawahnya. Dalam pertemuan dialog yang saya hadiri dengan Presiden BERSATU minggu lalu, hal ini ada ditegaskan.

2. Surat ROS yang bertarikh 5 Mei 2020 itu merujuk kepada Fasal 16.9 bagi mengesahkan peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU dan dipangku oleh Presiden.

3. Sungguhpun surat peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir itu telah ditolak sebulat suara dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada 25 Februari yang bermula jam 8.30 malam, ia tidak disebutkan dalam surat itu dan tidak juga diambil kira.

4. Presiden BERSATU ada mendakwa bahawa penolakan surat peletakan jawatan Pengerusi BERSATU adalah sekadar rasa hormat tetapi tidak ada dalam peruntukan perlembagaan parti.

5. Namun, keputusan menolak surat peletakan jawatan itu adalah keputusan yang dicapai dalam mesyuarat khas MPT dan keputusan itu juga tidak bersalahan dengan kefahaman dan pelaksanaan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), Perkara 18(c) seperti berikut:

18c. KEPUTUSAN PARTI POLITIK ADALAH MUKTAMAD DAN KONKLUSIF

“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubung dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.”

6. Adakah kerana ROS sudah berada di bawah kuasa ‘Setiausaha Agung’ BERSATU yang baru, maka peruntukan 18(c) ini dipejamkan mata dan dihalakan ikut selera pasukan Presiden BERSATU untuk mengabsahkan pelantikan Pemangku Presiden? Bahkan ketika ingin melantik ‘Setiausaha Agung’ yang baru, sepucuk surat yang bernombor: PPM/100/PPBM/600-3/2/1 Jld.1 (3) bertarikh 18 Mac 2020 telah dialamatkan kepada PENGERUSI BERSATU yang dinamakan sebagai YABHG. TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD. Bukankah tindakan yang berubah-ubah ini menimbulkan kecurigaan prima facie sepanjang krisis ini berlanjutan?

7. Penolakan surat peletakan jawatan YB Tun Pengerusi BERSATU yang disepakati dalam mesyuarat MPT Khas pada 25 Februari 2020 dianggap terbatal oleh mereka sendiri setelah mengheret masuk ROS untuk memperakuinya. Sedangkan keputusan itu mampu terlaksana menggunakan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), Perkara 18(c).

8. Apa yang lebih meyakinkan wujudnya prima facie dalam surat dari ROS itu adalah surat itu ditujukan kepada Setiausaha Kerja (SUK) parti BERSATU, Kapten (B) Suhaimi Yahya yang telah dengan pasti mengajukan satu aduan atau permohonan pengesahan atas pertikaian penyandang bagi jawatan Pengerusi atau Pemangku Pengerusi. Surat ROS mengesahkannya dan merujuk kepada surat SUK parti dengan nombor rujukan surat: B1/SUK/ROSKHAS-04(01)/(2020) yang bertarikh 1 Mei 2020.

9. Siapakah yang mengarahkan SUK parti bagi mendapatkan penjelasan itu? Sekiranya benar-benar berlaku ketidakjelasan apatah lagi pertikaian penyandang jawatan, mengapakah ROS bertindak berat sebelah dan terburu-buru memberikan pengesahan status jawatan Pengerusi BERSATU?

10. Bukankah ROS sendiri perlu tahu dan dengan tidak berpihak memenuhi keperluan Perkara 16 (1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) seperti berikut:


16. PERTIKAIAN

(1) Jika Pendaftar berpendapat bahawa sesuatu pertikaian telah berlaku di antara anggota-anggota atau pemegang-pemegang jawatan sesuatu pertubuhan berdaftar dan oleh sebab itu Pendaftar tidak puashati tentang siapakah yang telah dilantik dengan betulnya sebagai pemegang-pemegang-jawatan pertubuhan itu, maka Pendaftar boleh menyampaikan notis kepada pertubuhan itu menghendaki pertubuhan itu, dalam masa sebulan dari tarikh notis itu disampaikan, supaya menunjukkan kepada keterangan-keterangan mengenai penyelesaian sesuatu pertikaian itu dan mengenai pelantikan yang betul dibuat bagi pemegang-pemegang-jawatan yang sah di sisi undang-undang bagi pertubuhan itu atau mengenai langkah-langkah pembicaraan yang telah diambil untuk menyelesaikan pertikaian itu.

11. Secara jelas, penyandang jawatan Pengerusi BERSATU atau pemangku jawatan itu telah menjadi pertikaian dalam parti BERSATU dan itu adalah ‘rahsia awam’. Kenapa ROS bertindak dengan sangat tidak profesional dan dengan berpihak untuk hanya memutuskan suatu pengesahan status jawatan TANPA memanggil YB Tun Dr. Mahathir yang juga pengasas BERSATU bagi menyatakan hujah dan alasan bahawa beliau layak kekal sebagai Pengerusi BERSATU? Tidak ada satu surat jemputan dari ROS untuk hadir bagi maksud siasatan atau notis keterangan kepada beliau bagi mendapatkan penjelasan seperti yang dipandu dalam Perkara 16 (1) seperti di atas.

12. Adakah dengan usaha terancang memindahkan kuasa Pemangku Pengerusi BERSATU kepada Presiden BERSATU adalah untuk memudahcarakan pemecatan YB Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YB Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir serta pasukan dari BERSATU? Oleh kerana ‘Pemangku Pengerusi’ telah disahkan oleh ROS, maka ‘Pemangku Pengerusi’ itu sudah layak memanggil mesyuarat MPT dan memutuskan dalam majlis mesyuaratnya selayak serta semahunya?

13. Jangan terkejut apabila semua itu bakal berlaku dengan bantuan perakuan dari ROS tersebut.
Hanya kepada Allah SWT kita berserah. Namun, perjuangan ini akan diteruskan sampai ke akhirnya; inshaAllah.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan