Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu temu ramah dengan pihak media mendedahkan, Malaysia kini berada pada landasan yang betul untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tidak lama lagi.
Pendedahan tersebut sudah tentu merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini bermakna, rakyat jelata boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan aktiviti ekonomi negara boleh digerakkan dengan lebih menyeluruh.
Keupayaan untuk memutuskan rantaian jangkitan virus itu tidaklah bererti bahawa rakyat boleh melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya dan kembali kepada tabiat asal mereka. Sebaliknya, rakyat perlulah mengamalkan norma baharu dalam kehidupan pasca Covid-19.
Rakyat jelata perlu menerima hakikat bahawa kehidupan dalam era pasca Covid-19 tidak mungkin akan sama lagi selepas ini. Sesungguhnya, Covid-19 telah merobah segala-galanya.
Justeru, rakyat jelata perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu dan berganding bahu dengan pihak berkuasa memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Kunci utama kepada usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 adalah disiplin diri!
0 comments:
Catat Ulasan