Stabilkah kerajaan dengan tukar Speaker?

Oleh Fakhrurrazi Rashid 

 SIDANG Parlimen Isnin, 13 Julai tentunya luar biasa. Buat pertama kalinya, sidang Dewan Rakyat akan dimulakan dengan usul menamatkan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (TYPDR).

Adakah pertukaran YPDR dan TYPDR ini akan menjamin kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen?

Ada dua perkara yang boleh kita lihat dalam usul kerajaan ini. Pertama, usul ini satu manifestasi kerajaan PN masih tidak stabil dalam menghadapi ujian di Parlimen.

Disebabkan jumlah ahli Parlimen PN dan pembangkang tidak mempunyai perbezaan yang besar, ahli Parlimen menyokong kerajaan boleh sahaja berkecuali atau mengundi menentang dasar kerajaan.

Sebab itu, kerajaan PN memerlukan seorang YPDR yang boleh menguruskan ketidakstabilan kerajaan untuk kekal selesa di Parlimen.

Kedua, calon YPDR dan TYPDR yang baharu berhadapan dengan cabaran besar untuk menambah baik sistem demokrasi berParlimen Malaysia.

Kedua-dua mereka dilihat akan ditekan pihak kerajaan untuk memastikan perjalanan Parlimen lancar dan tidak memberi kesan kepada ketidakstabilan kerajaan PN.

Perkara ini tidak memberi ruang yang banyak untuk kedua-dua calon YPDR dan TYPDR untuk membuat pembaharuan sistem Parlimen Malaysia yang telah diletakkan asas reformasi yang tinggi ketika Mohamad Ariff sebagai YPDR.

Secara mudahnya, perubahan YPDR dan TYPDR tidak akan menjamin kestabilan kerajaan PN di Parlimen.

Kerajaan Muhyiddin perlu berhadapan dengan ujian mendapat sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) dan usul kerajaan.

Kini, setiap proses undi di Parlimen akan menguji secara tidak langsung sokongan terhadap perdana menteri.

Jadi, sejauh manakah kerajaan PN akan survive dengan jumlah majoriti yang kecil? Adakah kerajaan PN akan berhadapan dengan beberapa siri kekalahan di  Parlimen?

Pentadbiran bersama Parlimen-eksekutif

Suka atau tidak, kerajaan minoriti seperti PN perlu mendapat sokongan ahli Parlimen pembangkang untuk memastikan usul kerajaan diluluskan Parlimen.

Ini sebagai langkah awal untuk mengurangkan risiko kekalahan sekiranya terdapat ahli Parlimen kerajaan menolak usul kerajaan sendiri.

Kerajaan PN tidak boleh begitu selesa dan menggunakan kaedah lama seperti PH dan BN untuk terus survive di Parlimen. Mereka perlu menggunakan konsep pentadbiran bersama Parlimen dan eksekutif (co-governing) untuk memastikan kestabilan kerajaan.

Jemaah menteri perlu memberi ruang kepada ahli Parlimen bekerjasama dalam proses penggubalan dasar kerajaan menerusi institusi Parlimen seperti Jawatankuasa Pilihan Khas.

Kaedah ini akan memberi satu peluang kepada ahli Parlimen pembangkang dan bukan kerajaan untuk terlibat dalam proses membuat dasar negara dan pindaan RUU kerajaan.

Ia juga merupakan satu kaedah untuk kerajaan mendapat sokongan kukuh di Parlimen meskipun mempunyai majoriti yang agak kecil.

Malah, konsep co-governing akan menjadi satu pendekatan penting untuk tadbir urus negara pada masa hadapan memandangkan kerajaan persekutuan dengan majoriti dua pertiga sukar dibentuk oleh parti politik kerana persaingan pilihan raya yang semakin matang dan sengit.

Dalam konteks kerajaan PN hari ini, pendekatan co-govering akan membantu mereka mencipta kestabilan kerajaan PN di Parlimen dengan syarat pihak eksekutif PN memberi kepercayaan kepada Parlimen untuk berfungsi dengan baik sebagai badan semak dan imbang.

Namun, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kita melihat Parlimen terus dipinggirkan kerajaan PN dalam menguruskan masalah rakyat.

Melihat kepada situasi ini, agak mustahil kerajaan PN akan membuat pendekatan co-governing, melainkan ada satu keterbukaan politik untuk mereka memaparkan ciri-ciri sebuah kerajaan yang diperlukan rakyat. .

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan