Bila Nak Siasat Kes 9.5 Juta Najib Razak ?

Oleh Tan Kar Hing

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memulakan operasi audit terhadap syarikat atau peniaga dan khususnya peguam dan arkitek supaya memburu mereka yang 'lari cukai'.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T. Subromaniam menyatakan bahawa terdapat 62,000 syarikat atau peniaga yang terlibat dalam perbuatan "kurang ikrar" (under declaration) dan jika mereka enggan mematuhi undang-undang tindakan seperti disenarai hitamkan, halangan barangan import dari masuk ke dalam negara, kompaun dan tindakan mahkamah akan diambil.

Selain itu, JKDM juga telah melaksanakan Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) bagi tujuan pendidikan dan kerjasama dengan LHDN supaya penguatkuasaan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan efektif.

Saya ingin mengingatkan kepada pihak JKDM dan LHDN supaya mengguna pakai prinsip yang sama supaya tindakan tegas terhadap kes pemindahan wang daripada akaun peribadi Perdana Menteri, Najib Razak kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah, samada isu ini tergolong dalam kategori "kurang ikrar", berbayar cukai pendapatan dan syarikat, ataupun kategori pengecualian cukai.

Sekiranya kerajaan dapat mengenalpasti peniaga-peniaga atau syarikat-syarikat yang 'bermasalah' ini, sudah tentu kesemua agensi kerajaan yang lain turut dapat mengenalpasti bayaran RM9.5 juta yang sepatutnya membayar cukai ataupun dikecualikan.

Dari isu ini didedahkan kepada umum sehingga kini, tiada satu pun agensi kerajaan untuk tampil memberikan penjelasan, baik pihak polis, Bank Negara Malaysia, SPRM, JKDM, LHDN dan ini termasuk Najib Razak dan Shafee Abdullah sendiri.

Adakah ini bermaksud rakyat biasa boleh menggunapakai sepertimana 'respon' oleh Perdana Menteri sendiri, bolehkah lari daripada dikenakan cukai?

JKDM sehingga kini masih belum lagi berpuas hati dengan tahap pematuhan syarikat terhadap GST tetapi dengan transaksi yang melibatkan akaun peribadi Najib Razak mereka secara berterusan mendiamkan diri.

Saya mencadangkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini di bawah akta yang berkaitan termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan sebagainya.

Dengan cara ini kita akan dapat ketahui sama ada penerima atau pembayar transaksi RM9.5 juta itu melibatkan penyata palsu, memperoleh bayaran secara tidak wajar ataupun menipu berhubung invois dan resit dan sebagainya.

YB Tan Kar Hing 陈家兴
ADUN Simpang Pulai
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Parti KEADILAN Rakyat
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan