Oleh Zin Mahmud
Kurang 2 minggu lagi bulan Ramadan tahun ini akan berlalu. Tetapi
sepanjang lebih 2 minggu lalu, beberapa kejadian di negara ini
menunjukkan umat Islam semakin sensitif, iaitu jika berbanding 40 tahun
lalu.
Bagi mereka yang masih pernah mengalami suasana tahun 1977
mungkin dapat ingat betapa bezanya hubungan antara agama berbanding
sekarang.
Kemungkinan pada 1977, kecenderongan masyarakat Islam
pada agamanya tidak sekuat seperti sekarang. Ketika itu tidak banyak
wanita Islam bertudung. Orang Islam makan di kedai bukan Islam bukanlah
sesuatu yang pelik. Terdapat banyak pergaulan antara orang Islam dan
bukan Islam.
Masa itu tidak ada istilah tazkirah. Tadika Islam
pun tidak ada. Sekolah tahfiz pun tidak kedengaran. Tidak terdapat
banyak acara agama Islam. Ceramah agama hanya sekali sekali.
Rancangan agama di radio dan televisyen juga tidak banyak. Lagipun
televisyen pun hanya ada 2 saluran yang waktu siarannya terhad.
Proses kecenderongan agama
Dari 1977 hingga 2017, berlaku proses kecenderongan pada agama yang
besar dan luas. Ia juga beserta dengan perkembangan pesat komunikasi.
Siaran radio bertambah.
Kini ada satu stesen radio khas untuk agama iaitu IKIM.fm.
Saluran televisyen juga bertambah dengan kandungan agama juga
meningkat. Stesen seperti TV Hijrah, TV9, Astro Oasis dan Salam
menyajikan kandungan agama.
Tetapi proses komunikasi yang paling
mendadak memberi kesan pada kecenderongan pada agama dalam masyarakat
Islam ialah teknologi maklumat. Internet, laman web, blog, Twitter,
Facebook dan WhatsApp meningkatkan ulasan mengenai agama daripada
pelbagai pandangan tetapi pada waktu sama ia meningkatkan perasaan
sensitiviti dalam masyarakat yang mempunyai tahap kefahaman agama
berbeza.
Persaingan untuk sokongan Islam
Perubahan politik
yang besar juga berlaku dari tahun 1977 hingga 2017. Umno dan Barisan
Nasional (BN) pada 2017 tidak sekuat pada 1977. Naratif agama tidak
dimonopoli oleh kerajaan BN. Bukan saja Pas, naratif agama dalam politik
kepartian juga diutarakan oleh AMANAH dan PKR.
Maka terdapat persaingan bagi mendapatkan sokongan masyarakat Islam yang kuat kecenderongan keagamaan.
Selain parti politik dan kerajaan yang menyumbang kepada pengolahan
perbahasan umum mengenai agama, terdapat juga persatuan berasaskan agama
yang masing-masing mempunyai pandangan dunia berbeza.
Maka
berlakulah pertembungan antara pihak yang mempertahankan pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah dengan pihak Salafi yang di dalamnya juga terdapat
Wahabi.
Pertembungan ini dapat dilihat secara umum melalui media
sosial. Ia menjadi sengit lagi apabila pada 2017 ini terdapat banyak
lulusan aliran agama yang berada dalam masyarakat berbanding pada tahun
1977.
Mereka turut mewarnai budaya masyarakat Islam untuk lebih cenderong pada agama.
Rasa terancam
Tetapi perkembangan ini menimbulkan reaksi pada mereka yang berasakan
ruang bagi kebebasan umum dalam masyarakat semakin sempit. Maka
timbullah orang Islam yang menganggap diri mereka golongan sederhana
mempertahan ruang demokratik negara yang dirasakan terancam. Golongan
ini pula dilihat sebagai liberal dan sekular oleh pihak yang cenderong
pada agama.
Sejak beberapa tahun kebelakang, khutbah Jumaat di
banyak masjid disudahi doa memohon supaya masyarakat Islam dijauhi bukan
saja daripada fahaman Qadiani, Syiah dan ekstremisme tetapi juga
pluralisme dan libralisme. Doa seperti ini tidak ada pada tahun 1977.
Sementara orang bukan Islam yang merupakan golongan minoriti negara
ini, tetapi mempunyai pengaruh ekonomi lebih besar berasa terancam
dengan perubahan masyarakat Islam.
Walaupun kebebasan beragama
dijamin Perlembagaan, namun tafsiran daripadanya menyebabkan mereka
berasakan sifat sekularisme kian pudar.
Ini menyebabkan timbul
kebimbangan bahawa ruang amalan kepelbagaian agama semakin sempit kerana
sensitiviti anggota masyarakat Islam yang menunjukkan kemerosotan
perasaan toleransi dan saling faham-memahami.
Reaksi daripada
masyarakat bukan Islam yang dapat dilihat melalui komen di media sosial
menimbulkan tindak balas pula di kalangan netizen orang Islam. Maka
keadaan ini mengurangkan lagi hubungan selesa antara penganut berlainan
agama.
Perasaan sensitif berhubung kepercayaan seseorang adalah
sesuatu yang dapat difahami. Tetapi sensitif pada isu-isu yang dirasakan
tidak wajar, berdasarkan pada ketidakfahaman atau perkara remeh temeh
boleh mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah besar dan pokok
dalam kehidupan beragama.
Setiap individu tentu mempunyai
pandangan atau perspektif mengenai sesuatu isu yang berbeza di antara
satu sama lain. Tetapi apabila seseorang tidak mengawal diri sendiri,
dan banyak orang mengikut serta dalam perbincangan di media sosial, maka
ia menjadi lebih besar daripada sepatutnya.
Pada zaman sebelum
Internet, hal seumpama ini mungkin hanya dibincangkan di kedai kopi dan
ia habis begitu saja. Tetapi kini ia diluahkan dalam media sosial yang
boleh dibaca di seluruh dunia dan isu kecil menjadi besar, lebih
daripada sepatutnya.
Ramadan yang sensitif
Mungkin kes
yang berlaku sepanjang bulan Ramadan hanya merupakan kejadian terpencil,
atau faktor politik menjelang pilihan raya menyebabkan ia sensitif.
Namun suasananya adalah ia menampakkan adanya peningkatan sensitiviti di kalangan umat Islam.
Awal Ramadan tahun ini menyaksikan isu muka depan akhbar The Star yang
dirasakan menyinggung perasaan orang Islam. Pada hari pertama disiarkan
ia tidak ada masalah. Tetapi ia jadi isu apabila ia disebarkan dalam
media sosial pada hari kedua dengan komen sensitif menyebabkan
Kementerian Dalam Negeri berasakan perlu bertindak.
Kemudian timbul bantahan terhadap orang bukan Islam berbuka puasa sama di masjid. Ia ditujukan kepada ahli politik.
Sejak negara ini mencapai kemerdekaan, tidak pernah timbul ada larangan
orang bukan Islam dan ahli politik berbuka puasa di masjid. Pada masa
itu, acara yang melibatkan orang bukan Islam berbuka puasa di masjid
dianggap sebagai usaha merapatkan muhibah antara penganut agama berbeza.
Sementara acara berbuka puasa yang melibatkan ahli politik, sama ada
Islam atau bukan Islam dalam masjid selama ini dianggap sebagai wajar.
Ia dilakukan di banyak tempat di dunia dan ahli politik sebagai pemimpin
dalam masyarakat tanpa mengira apa parti politiknya. Ia dilihat sebagai
sebahagian daripada amalan kehidupan demokrasi.
Selain daripada
kes itu, terdapat juga bantahan terhadap ahli politik bukan Islam masuk
masjid, bukan untuk berbuka puasa tetapi bagi acara kemasyarakatan.
Bantahan itu dipanjangkan hingga kepada pihak berkuasa agama.
Akibatnya, ada pihak merasakan ruang keterbukaan dalam institusi agama
juga semakin sempit. Namun apa yang berlaku ini dapat dilihat dari segi
perkembangan politik.
Ketika Pas dan DAP bermesra dalam Pakatan
Rakyat, isu ini tidak timbul. Tetapi apabila Pas berpecah, barulah
perkara seumpama ini menjadi isu.
Kemudian timbul pula isu yang
berkaitan dengan acara penganut satu aliran agama Kristian yang
dirancang diadakan dalam gereja. Ia tidak ada kaitan dengan orang Islam.
Ia juga tidak melibatkan aliran lain dalam agama Kristian. Banyak orang
pun tidak faham mengenai aliran ini.
Tetapi apabila keluar
poster acara ini dengan simbol dan perkataan yang berkaitan dengan
Yahudi, maka ada netizen di kalangan umat Islam membuat bantahan. Mereka
sensitif kerana soal Yahudi dan Palestin.
Banyak persatuan Islam
membuat laporan polis. Kerajaan negeri Melaka pun bertindak dan
penganjurnya setuju membatalkan acara itu.
Terdapat 2 lagi isu
dalam bulan ini, ia pula dikaitkan dengan Bazaar Ramadan, yang
sememangnya ruang bebas untuk semua orang tanpa mengira anutan agama
mereka. Ia sepatutnya menjadi ruang bagi muhibah antara agama. Tetapi ia
juga jadi isu.
Yang pertama kerana soal tempat letak kereta.
Kedua dan terbaru ialah halangan kepada seorang ahli politik bukan Islam
untuk mengedar sumbangannya di Bazaar Ramadan.
Pada 1977, tidak ada istilah Bazaar Ramadan. Apa yang ada hanyalah gerai menjual juadah untuk berbuka puasa.
Kejadian ini menunjukkan sebahagian besar umat Islam negara ini semakin
sensitif pada perkara yang bagi sebahagian orang lain pula berasa ia
tidak perlu.
Mereka berasakan orang Islam patut mengalihkan
perasaan sensitiviti kepada perkara-perkara yang lebih konkrit dan dapat
memberi kebaikan kepada masyarakat umum.
>> Komentar bebas Zin Mahmud, bekas Pengarang Kanan Kumpulan Utusan I 14 Jun 2017
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan