PAS tanding 130 kerusi Parlimen, pertaruh 40% calon muda

GOMBAK: Selepas memutuskan tidak bersekutu dengan Pakatan Harapan (PH), PAS akan bertanding tidak kurang dari 130 kerusi parlimen pada pilihan raya unum ke-14, kata Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Katanya, baki kerusi Parlimen selebihnya akan diisi parti rakan dalam gabungan Gagasan Sejahtera yang disertai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Katanya, PAS juga akan mengerahkan jenteranya untuk membantu kempen parti komponen Gagasan Sejahtera.

“Kalau berdasarkan mesyuarat PAS pusat semalam, pembahagian kerusi akan dilakukan sebelum akhir Januari,” kata Zuhdi, dan menambah ada kerusi yang akan ditandingi aktivis NGO dan individu perseorangan yang mempunyai nama dalam masyarakat.

“Kita tahu individu perseorangan ada nama besar tapi tak ada jentera, jadi kita akan bantu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar hari ini.

Beliau berkata parti komponen Gagasan Sejahtera akan menggunakan logo parti masing-masing sementara aktivis NGO dan individu perseorangan mungkin akan menggunakan lambang calon bebas.

Pada PRU13 lalu, PAS memenangi 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Manakala bagi kerusi DUN, PAS memenangi 85 daripada 237 kerusi yang ditandingi.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangkakan tiada satu gabungan pun yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU14 tanpa PAS.

Sementara itu, Zuhdi berkata PAS di peringkat akhir proses tapisan calon yang akan dipertaruhkan pada PRU nanti.

“Boleh dikatakan 90% dah siap. Dari segi calon muda sebagaimana yang telah diumumkan, kita cuba tampilkan 40% calon muda termasuk wanita muda dan pemuda.”

Menurut Zuhdi, PAS akan melancarkan manifesto pilihan raya akhir bulan ini.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan