Oleh CHE IBRAHIM HAJI MOHAMED
AUTA 1
Auta utama dan terbesar dalam kontroversi di atas ialah apabila ramai
pemimpin dan penyokong Pas mengaitkan keputusan tersebut dengan RUU 355
dan Akta 164(pindaan) 2017 dengan menjadikan Pakatan Harapan (PH) dan
Umno sebagai sasaran maki hamun dan terjahan jahat.
RUU 355 ialah suatu cadangan dari Pas untuk menaikkan jumlah hukuman
yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah daripada denda RM5000,
penjara 3 tahun dan sebat 6 kali kepada denda RM100,000, penjara 30
tahun dan sebat 100 kali.
Manakala Akta 164 (pindaan 2017) ialah satu pindaan oleh BN bagi
membolehkan suami atau isteri yang memeluk Islam memfailkan permohonan
untuk membubarkan perkahwinan dan perkara perkara yang berkaitan dengan
pasangannya yang tidak memeluk Islam di mahkamah sivil. Sebelum ini
mereka tidak ada hak untuk berbuat sedemikian.
RUU 355 dan Akta 164 Pindaan 2017 ini tidak ada kaitan sama sekali
dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan pendaftaran
memeluk Islam yang telah dibuat oleh bapanya pada tahun 2009 atas alasan
persetujuan ibu dan bapa adalah diperlukan bagi mendaftar kanak-kanak
bawah umur memeluk Islam.
AUTA 2
Keputusan kes tersebut telah diautakan kononnya telah menyebabkan kanak-kanak tersebut menjadi murtad (waliyazubillah).
Hakikatnya 3 orang kanak kanak tersebut telah didaftarkan sebagai
memeluk Islam bersama bapanya ketika mereka masih belum mukallaf.
Selepas didaftarkan sebagai Islam, 2 orang kanak kanak tersebut yang
berumur 10 dan 11 tahun telah ditinggalkan dan membesar bersama ibunya
yang beragama Hindu, manakala yang paling kecil (umur 2 tahun) sehingga
kini masih tinggal bersama bapanya, Muhammad Ridhuan Abdullah.
Kanak-kanak ketika masih bawah umur dianggap fitrah (suci bersih) dan
tidak tetakluk kepada taklif syarie, ibu bapa merekalah yang akan
menentukan mereka membesar sebagai penganut apa apa agama.
Dalam kontroversi di atas, selepas memeluk Islam, Ridhuan telah
keluar dari rumahnya kerana isterinya enggan memeluk Islam bersamanya.
Beliau membawa bersamanya anaknya yang paling kecil, Ummi Habibah,
manakala dua orang lagi ditinggalkan bersama ibunya.
Adakah apabila seorang bapa mendaftar anaknya yang masih belum
mukallaf sebagai seorang Islam, kemudian anak tersebut tinggal dan
membesar bersama ibunya mengikut agama Hindu sehingga apabila dia baligh
masih lagi meneruskan amalan agama Hindunya, maka dia dianggap sebagai
Muslim, lalu bila mahkamah membatalkan pendaftarannya sebagai seorang
Islam, lalu dia dianggap murtad?
Mahkamah termasuk mahkamah syariah sekalipun tidak boleh membatalkan
aqidah seorang Muslim, hanya individu tersebut sahaja mempunyai hak
untuk menentukan sama ada beliau ingin menjadi seorang muslim atau
sebaliknya. Mahkamah hanya mengesahkan berdasarkan situasi yang ada.
Bagi saya, sekiranya anak-anak Ridhuan yang telah diIslamkan olehnya,
terus kekal dengan aqidah Islamnya semasa membesar bersama ibunya yang
beragama Hindu, maka mereka tetap masih seorang Islam walaupun mahkamah
berpendapat pendaftaran mereka memeluk Islam dianggap tidak sah dan
terbatal kerana tidak ada izinnya dari ibunya.
Hentikanlah auta dan kembalilah kepada fakta untuk kita melihat
secara matang dan sejahtera apa implikasi keputusan kes ini kepada
Ridhuan dan seorang lagi anaknya.
# Penulis adalah Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Kelantan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan