Angin perubahan 8 Mac 2008

Oleh Liew Chin Tong

PADA 8 Mac sedekad yang lalu saya dipilih sebagai ahli Parlimen Bukit Bendera di Pulau Pinang. Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang dua per tiga majoriti Parlimen buat kali pertama, selain kehilangan beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak serta Kelantan yang dimenangi pembangkang. Sejak itu, Malaysia terus berubah.

Ketika Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008, BN agak yakin memenangi semua negeri kecuali Kelantan. Menteri Besar Selangor ketika itu, Mohamad Khir Toyo malah merancang berkempen "Sifar Pembangkang" (Zero Opposition) di negeri yang dipimpinnya.

Angkuh kuasa

Sebaliknya, tsunami politik melanda Malaysia. Ramai pemimpin BN termasuk Khir Toyo hilang kuasa sepenuhnya. Mungkin ia akibat kesombongan mereka sendiri. Pembangkang yang menang hanya 19 daripada 222 kerusi persekutuan pada PRU sebelumnya berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen pada PRU 2008 itu. Ia merupakan pertukaran undi yang paling hebat pernah terjadi.
Sebelum itu, pada 1 Mac, media tempatan melaporkan BN tidak dapat memutuskan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pasukan Abdullah Ahmad Badawi memilih Teng Chang Yeow sementara Presiden Gerakan Kho Tsu Koon memilih Teng Hock Nam. Lawan saya di Bukit Bendera yang merupakan Setiausaha Agung Gerakan Chia Kwang Chye dipaksa kekal di peringkat Parlimen meskipun sebelum itu berkempen untuk jawatan berkenaan. Seorang lagi yang disebut-sebut untuk menjadi Ketua Menteri adalah Lee Kah Choon yang kemudian menjadi sahabat saya.

Saya dapati agak pelik apabila sidang media Koh Tsu Koon di pejabatnya pada minggu kedua kempen berkenaan kelihatan sepi tanpa kehadiran ahli politik BN. Pemimpin MCA malah tidak hadir pelancaran manifesto BN Pulau Pinang.

Saya terhidu krisis kepimpinan. Beberapa tahun kemudian, Kah Choon memberitahu saya bahawa pemimpin senior tidak bertegur dengan Tsu Koon sepanjang kempen itu kerana mereka salahkannya kerana gagal mencapai keputusan muktamad berhubung calon Ketua Menteri meskipun mempunyai tiga pesaing.

Di mata media dan awam, Tsu Koon tampil sebagai pemimpin yang berkeseorangan sehingga akhir kempen. Moral dan keyakinan BN sangat rendah.

Keraguan

Di sebelah pembangkang, perjanjian pilihan raya antara Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng pada 9 Januari, 2008 memberi gambaran pakatan menggerunkan dengan Guan Eng sebagai pemimpin utama di Pulau Pinang sekiranya menang.

Malah, pembangkang tidak begitu menggembar-gemburkan kemungkinan pertukaran kerajaan negeri. Selain Lim Kit Siang, kebanyakan pemimpin DAP tidak percaya pertukaran kerajaan boleh terjadi. DAP bukan pilihan pertama pengundi sejak 1995. DAP melangkah ke PRU 2008 dengan hanya satu kerusi dari 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Meskipun menyaksikan begitu banyak sokongan daripada orang ramai ketika kempen, kebanyakan pemimpin DAP ragu dan berasakan pengundi Pulau Pinang tidak akan membolehkan DAP menubuhkan kerajaan negeri. Maka, ketika, itu DAP dianggap akan mencapai keputusan lebih baik di peringkat Parlimen. Pengundi Pulau Pinang agak dikenali dengan reputasi dalam memecahkan undi.

Ahli DAP yang lebih lama berkisar tentang ambang PRU 1995 yang menyaksikan ribuan hadir di ceramah di Jalan Macallum, namun DAP tetap kalah teruk.

Tanda-tanda kemenangan

Sahabat saya Wan Hamidi Hamid, anak jati Pulau Pinang yang ketika itu bekerja sebagai wartawan media perdana di Kuala Lumpur, datang melawat pad 3 Mac. Kami ketika itu di Tanjung Bungah terpegun melihat bot-bot nelayan yang dihiasi dengan bendera DAP. Seorang pegawai polis cawangan khas yang bertugas mengawasi kempen saya memberitahu kepada saya, “Nampak terbalik dah Penang.”

Pada 5 Mac, Pak Lah menghadiri program besar di Padang Tembak, yang merupakan kawasan yang agak signifikan bagi Parlimen Bukit Bendera. Hari berikutnya, saya turun ke setiap unit rumah flat yang jumlahnya beribu bagi mengetahui keadaan sebenar, sama ada sentimen perubahan dapat dirasakan. Saya gembira apabila menyedari kunjungan perdana menteri tidak memberi kesan kepada “mood” pengundi.

Kami membuat keputusan utama dalam kempen untuk tidak mengadakan himpunan besar-besaran pada 7 Mac, namun sebaliknya ditukar kepada 6 Mac agar kesan himpunan dirasakan secara meluas sebelum hari pengundian pada 8 Mac. Orang ramai disarankan untuk memakai baju merah.

Lautan merah yang dianggarkan terdiri daripada 60,000 peserta hadir di padang Han Chieng. Penyokong kuat DAP Vincent Wu berkata, beliau sangat terkejut melihat ramai orang Melayu hadir program kutipan derma DAP, sesuatu yang dianggap mustahil terjadi ketika itu.

Kebanyakan kami mula merasakan angin perubahan. Ia begitu mengujakan. Pada 7 Mac, saya yakin DAP akan menang di Pulau Pinang.
Saya dan Vincent memberitahu Guan Eng bahawa kita mesti bersedia untuk menang, betapa mustahilpun ia kelihatan. Dengan restu Setiausaha Agung DAP itu, kami menyewa dewan di Red Rock Hotel dengan tujuan mengadakan sidang media sekiranya DAP berjaya menubuhkan kerajaan. Kami juga bercadang “mengkuarantin” perwakilan yang baru terpilih di hotel itu agar mereka tidak “diculik” oleh pihak lawan kerana ia pernah terjadi pada PRU sebelumnya.

Salah seorang pemimpin DAP memberitahu pengundi agar memakai baju merah ke pusat pengundian. Ia bukan seruan rasmi pun, namun ramai pengundi dengar mengenainya. Pada hari pengundian, melihat ramai pengundi berbaju merah begitu menyenangkan hati. Ia juga kali pertama Suruhanjaya Pilihan Raya menggunakan peti undi lutsinar. Agen pengundi memberitahu saya bahawa mereka dapat melihat dalam peti undi ramai yang mengundi untuk DAP.

Sekitar tengah hari, Yang Razali Kassim, ahli akademik Singapura dan bekas wartawan, menumpang kereta saya kerana hujan lebat. Saya memberitahu beliau bahawa saya akan menang, kemungkinan dengan 1,000 majoriti atau lebih sedikit. Akhirnya keputusan diumumkan dan saya menang dengan majoriti 16,000 undi.

Pengalaman yang menginsafkan

Jam 6.15 petang, saya menunggu di pusat operasi saya di Bangkok Lane. Saya mungkin orang paling optimis di kalangan calon DAP. Setahuns ebelum itu, saya lebih awal lagi berhujah bahawa DAP boleh menang lebih 12 kerusi DUN, meskipun ketika itu DAP hanya memegang satu kerusi.

Namun saya sendiri terkejut apabila menerima laporan daripada agen pengundian kami bahawa calon DAP menang Pulau Tikus (mengalahkan calon Ketua Menteri BN Teng Hock Nam), Padang Kota (mengalahkan lawan yang juga merupakan calon Ketua Menteri Teng Chang Yeow), Tanjong Bungah (bekas kerusi DUN Koh Tsu Koon), dan menang semua kerusi DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Bagan dan Bukit Mertajam.

Saya akhirnya betul-betul sedar bahawa kami akan menubuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kemenangan yang besar.

Ia merupakan pengalaman yang begitu menginsafkan. Saya tidak merasakan euforia, saya menjangkakan beberapa hari akan datang kemungkinan merupakan hari-hari yang bahaya.

Dalam bahagian seterusnya artikel ini, saya akan menulis berkenaan hari-hari panjang yang meresahkan dalam politik Malaysia.

* Liew Chin Tong merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan juga ahli Parlimen Kluang.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan