Sia-sia merungut jika tidak mengundi

Oleh IRFAN FARUQI MOHAMAD FAIRUS

Teras paling utama dalam sistem demokrasi ialah rakyat. Abraham Lincoln mengekspresikan demokrasi sebagai pembentukan sebuah kerajaan rakyat, dari rakyat, untuk rakyat. Sheikh Yusuf al-Qaradawi pula menyikapi demokrasi sebagai sebuah sistem yang berfungsi demi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah) mengatasi kepentingan individu.

Dalam konteks Malaysia, kedua-dua definisi ini terpakai, namun definisi al-Qaradawi lebih dekat dan tepat dalam menggambarkan sikap kita terhadap demokrasi. Kerana, konsep kepentingan umum bukan semata-mata meraikan pandangan majoriti dan menafikan secara mutlak pandangan minoriti.

Sebaliknya, keputusan yang dibuat dalam rangka kebebasan bersuara adalah keputusan yang memberikan manfaat yang bersifat mapan dan berpanjangan. Inilah semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dizahirkan dalam peruntukan-peruntukan berkaitan kebebasan asasi, pembangunan dan pengurusan negara.

Oleh yang demikian, perkara yang mesti diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia demi menunjukkan rasa penghargaan dan hormat kepada demokrasi yang telah kita bina bersama seawal Pilihan Raya Umum Pertama Persekutuan 1955, ialah kesedaran bahawa rakyatlah; kitalah, yang mengisi serta menjayakan demokrasi ini.

Tanpa suara rakyat maka Malayan Union mungkin akan dilaksanakan, tanpa suara rakyat mungkin kita tidak dapat merdeka. Terkini, gagasan Transformasi Nasional 2050 mungkin tidak berjaya tanpa suara dan aspirasi rakyat Malaysia. Manakala akan datang, hasrat paling utama Pilihan Raya Umum tidak akan tercapai tanpa penyertaan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam semua proses pilihan raya; mendaftar sebagai pemilih, memilih-menilai calon pilihan terbaik, dan turun mengundi pada hari pengundian.

Signifikasi penyertaan rakyat secara menyeluruh dalam proses pilihan raya dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa sejarah yang mana sudah cukup memberikan kesedaran kepada kita. Kesedaran bahawa penyertaan rakyat dalam pilihan raya menentukan jatuh-bangun pemerintahan adil atau zalim; efisien atau lemah; rasuah atau bertanggungjawab; elitis atau benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

Pada 5 Mac 1933, Pilihan Raya Persekutuan Jerman diadakan. Ini merupakan pilihan raya terakhir sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama. Hitler yang menjadi pengatur utama pilihan raya ketika itu menjangkakan partinya akan menang dengan majoriti besar.

Keyakinan yang disandarkan kepada segala agenda menuai budaya takut dalam kalangan rakyat; pengharaman, pemenjaraan dan tindakan ganas. Namun, rakyat membuktikan satu undi mampu membawa perubahan yang besar. Hitler hanya mampu mendapat 43.91% undi, tidak cukup bagi membentuk majoriti.

Walaupun, akhirnya Hitler tetap mampu memutar kekalahan itu dengan bersusah-payah menjadi kelebihan kepada partinya, fakta tetap membuktikan bahawa undi rakyat mampu memberikan mesej yang jelas mengenai aspirasi terdalam rakyat jelata.

Pada 3 Mei 1979, Pilihan Raya Umum United Kingdom menyaksikan pertukaran pemerintahan daripada dipegang Parti Buruh kepada Parti Konservatif. Konservatif memenangi pilihan raya tersebut dengan peningkatan kerusi yang dimenangi sebanyak 62 kerusi; 339 kerusi keseluruhan; daripada 365 kerusi yang dipertandingkan; dengan kelebihan 21 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Sebab rakyat memberikan 43.9% undi popular kepada Margaret Thatcher, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri wanita pertama Britain, adalah kerana kelemahan dan ketidakupayaan kerajaan Parti Buruh dalam menjamin pembangunan negara yang sejahtera untuk rakyat keseluruhan; kemunduran ekonomi, polisi yang tidak efisien dan ketidakadilan sosil yang melarat.

Mungkin kita tidak bersetuju sepenuhnya dengan dasar Konservatif, namun pokok pengajarannya ialah undi rakyat menentukan masa depan negara; sama ada kekal dengan nasib yang tiada manfaat atau memilih parti pemerintah yang mampu memberikan jaminan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagaimana Thatcher yang menjadi Perdana Menteri Britain wanita yang pertama kerana keupayaannya memberikan harapan kepada rakyat. Begitulah juga, Barack Obama yang memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008. Rakyat memilih untuk menyokong dan mengangkat pemimpin yang memahami keperluan rakyat; antara lain ialah inisiatif Obama Care yang mendapat perhatian rakyat.

Obama menjadi pilihan 52.9% rakyat Amerika pada tahun 2008 dan 51.1% undi popular pada tahun 2012. Nilai kepimpinan dan manifesto yang meyakinkan menjadi sebab rakyat Amerika berjaya melawan stereotaip dan status quo pemilihan presiden dari kalangan orang berkulit putih. Pilihan ini dibuat oleh rakyat Amerika sendiri dan dimanifestasikan melalui undi dalam pilihan raya. Kerana undi dalam pilihan raya jugalah Presiden Donald Trump mendapat mandat bagi memimpin Amerika pada tahun 2016.

Di Korea Selatan pula, selepas kekecewaan rakyat terhadap jenayah rasuah yang dilakukan oleh bekas Presiden Park Geun Hye. Rakyat membuat keputusan untuk memberikan mandat presiden kepada Presiden Moon Jae In yang juga merupakan dan dikenali sebagai aktivis mahasiswa dan peguam hak asasi manusia. Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada 9 Mei 2017, menyaksikan kemenangan Presiden Moon dengan manifestonya meningkatkan pasaran domestik, ketelusan pentadbiran dan penyatuan Semenanjung Korea.

Kesimpulannya, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 ini adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia; tua dan muda, bandar dan luar bandar; pro dan kontra parti politik, untuk turun mengundi. Kerana mengundi bukan semata-mata mengundi parti politik, lebih daripada itu ialah mengundi manifesto terbaik untuk masa depan negara.

Maka, sekiranya kita tidak turun mengundi dan terlibat dalam proses pilihan raya, kita hilang kelayakan untuk merungut terhadap polisi dan dasar kerajaan yang dipilih laksanakan. Ini adalah kerana, memandangkan kita sudah memilih untuk terlibat dari awal, maka tidak ada sebab untuk kita terlibat dalam proses yang seterusnya.

Turun mengundi demi hak anda, demi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat kepada negara, demi memilih masa depan Malaysia yang lebih baik dan terjamin. Melalui instrumen demokrasi inilah rakyat harus tampil dan menzahirkan hasrat yang paling dalam demi Malaysia. Hasrat untuk membangun Malaysia yang lebih terkehadapan dalam pelbagai sektor; ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kehakiman dan keadilan sosial yang menyeluruh.

* Penulis adalah Exco Penerangan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan