Kerajaan tidak abai sistem beraja

KUALA LUMPUR: Kerajaan menepis dakwaan pembangkang ahawa Pakatan Harapan (PH) sedang mengetepikan kuasa Raja-raja Melayu dan mahu menghapuskan sistem beraja di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, dakwaan tersebut adalah satu pembohongan dan merupakan perbuatan terdesak Barisan Nasional (BN) yang sudah “kehabisan modal”.

“Saya difahamkan pada 1 Sept lepas ada satu program politik di Kampung Gajah, Perak, dia (Umno) kata nak bela nasib Melayu dan agama Islam dan mereka menuduh kerajaan PH ingin jatuhkan dan hapuskan sistem beraja serta jadikan Malaysia sebuah republik.

“Ia adalah pembohongan yang nak digunakan oleh pembangkang untuk melaga-lagakan rakyat,” katanya dalam sidang media sebelum merasmikan acara penyerahan 5000 pelekat “Daulat Tuanku” sempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong, hari ini.
Khalid merujuk kepada Himpunan Bangkit di Kampung Gajah Sabtu lalu yang memberi isyarat orang Melayu bersedia untuk mempertahankan hak istimewa, kedaulatan Raja-raja dan agama Islam.

Lebih 10,000 orang hadir pada himpunan anjuran Umno itu untuk mendengar ucapan yang lebih tertumpu kepada ulasan politik semasa yang memberi kesan ke atas hak orang Melayu, institusi Raja-raja dan agama Islam.

Antara pemimpin Umno yang hadir pada himpunan tersebut ialah Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan setiausaha agung parti itu, Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Shah Alam itu sebaliknya mendakwa kerajaan terdahululah yang mengetepikan kuasa Raja-raja Melayu apabila bertindak mengabaikan perintah YDP Agong dan Raja-raja dalam beberapa perkara.

“Pertama ialah apabila YDP Agong dan Majlis Raja-raja meminta bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib memberikan penjelasan yang menyeluruh berhubung 1MDB, namun ia diabaikan,” katanya.

“Kedua, dalam undang-undang Majlis Keselamatan Negara(MKN) yang asalnya YDP Agong berkuasa mengisytiharkan darurat tetapi dipinda oleh pentabdiran Najib, yang memberi kuasa itu kepada perdana menteri sebagai pengerusi MKN,” kata beliau..

Khalid berkata program yang diadakan hari ini adalah salah satu bukti bahawa PH tidak pernah bercita-cita melakukan perkara yang didakwa.

“Program paparan ‘sticker’ ini adalah bukti kita mempertahankan insitusi Raja-raja dan tiada pihak yang mahu jadikan Malaysia sebuah republik,” katanya lagi.

Pertubuhan Warisan Negara dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan menyerahkan 5000 pelekat cermin kereta memaparkan perkataan “Daulat Tuanku” sempena sambutan Hari Keputeraan YDP Agong 9 September ini.

Khalid berkata program itu juga sebagai tanda penghargaan kepada YDP Agong yang tidak mahu mengadakan upacara Hari Keputeraan baginda secara besar-besaran bagi menjimatkan wang negara.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan