Jangan jadikan lantikan politik seumpama ghanimah pascaperang

Semua sedia maklum, seantero dunia kini mempunyai musuh yang sama dan perlu ditewaskan dengan segera, iaitu Covid-19. Uniknya di Malaysia, negara ini mempunyai satu lagi musuh yang mahu ditewaskan dengan segera, menjadikan ada dua isu yang perlu diselesaikan, iaitu Covid-19 dan lantikan politik.

Perkara ini mula menjadi hangat seiring dengan hangatnya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ada beberapa pihak dalam Perikatan Nasional (PN) mendesak individu yang dilantik mengepalai agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ahar segera berundur atau dipecat.

Sedih. Sepatutnya fokus semua pihak tidak kira latar belakang politik hanya perlu menentang Covid-19 dan menyelesaikan masalah rakyat yang terjejas akibat PKP.

Malangnya beberapa siri pemecatan dilaksanakan. Antaranya pemecatan kesemua ahli Lembaga Majlis Amanah Rakyat (Mara), pemecatan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (Span), pemecatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan banyak lagi.

Mungkin, menjadi kelaziman atau kebiasaan sesebuah kerajaan melakukan lantikan politik terhadap individu-individu tertentu ataupun ahli parlimen ke dalam sektor-sektor berkaitan kerajaan.

Tujuannya murni, iaitu untuk memastikan sektor-sektor terbabit mencapai piawaian mereka yang selari dengan dasar kerajaan.

Namun, menjadi luar kebiasaan sekiranya kesemua ahli parlimen kerajaan dilantik untuk mengetuai semua GLC!

Mahu kerajaan yang bersih

Tidak pernah lagi - sejak kita merdeka - perkara seperti ini berlaku. Lebih malang, ianya secara terang-terangan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, baru-baru ini.

Perkara pertama yang amat merisaukan berkaitan kenyataan itu ialah, masih terdapat beberapa ahli parlimen dalam blok kerajaan yang sedang menjalani prosiding mahkamah termasuk kerana tuduhan berkaitan kes pecah amanah, rasuah dan penyelewangan.

Walaupun belum lagi dijatuhkan hukuman dan didapati bersalah, namun kredibiliti mereka boleh dipersoalkan, apatah lagi jika mereka dilantik mengetuai GLC pada masa depan.

Lebih ironi, bagaimana perkara ini mampu bertepatan dengan hasrat perdana menteri yang mahu membina kerajaan yang bersih.
Kekhuatiran ini juga berasas kerana pernah seorang bekas pemimpin tertinggi Umno didapati bersalah kerana melakukan rasuah ketika pemilihan parti terbabit pada 2004.

Beliau sekali lagi terkait dengan kes rasuah selepas memegang jawatan sebagai pengerusi salah sebuah GLC beberapa tahun lalu. Perkara sebegini pasti akan menimbulkan kegusaran kerana rakyat tidak memerlukan pisang yang berbuah dua kali.

Jika Takiyuddin mengatakan semua ahli parlimen kerajaan layak untuk memegang semua jawatan GLC, penulis bahkan orang ramai juga berpendapat lebih ramai yang lagi layak berbanding ahli parlimen, seperti individu teknokrat yang berpengalaman luas.

Setakat ukuran PhD sahaja tidak cukup untuk menjadi justifikasi mereka diberikan amanah itu.

Tidak salah kalau kerajaan melantik seorang dua ahli parlimen yang mahir memegang posisi tertinggi dalam GLC, ataupun melantik beberapa orang ahli dalam parti pemerintah yang bukan ahli parlimen.

Membeli tiang-tiang pengukuh

Pelantikan ini juga sepatutnya perlu menterjemahkan komposisi sebenar rakyat Malaysia tanpa dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja. Namun demikian, agak musykil kenapa perlu diberikan jawatan ini kepada semua ahli parlimen kerajaan.

Tidak kurang juga ada sesetengah pihak malah penganalisis politik melihat isu ini sebagai langkah untuk mengukuhkan kerajaan PN. Pelantikkan berkenaan juga dilihat sebagai habuan untuk mereka yang menjayakan Langkah Sheraton sambil mengelakkan mereka daripada mengalihkan sokongan sekiranya undi tidak percaya diusulkan di parlimen.

Sekiranya benar lantikan politik ini dibuat atas dasar tersebut, ianya tidak lebih seperti jenayah rasuah, iaitu memberi ghanimah kepada yang menyertai perang. Maka rakyat akan menghukum pada akhirnya.

Sekiranya perkara ini diteruskan, diharapkan agar ahli parlimen yang dilantik dapat benar-benar melakukan tanggungjawab untuk mencapai dasar, polisi dan piawaian kerajaan.

Terutama sekali untuk sektor GLC yang fokusnya terhadap pembangunan bumiputera. Jangan hanya berteriak melaungkan nasib bumiputera, tetapi isu jurang ekonomi dalam kalangan bumiputera masih melebar tanpa ada iltizam dan langkah yang komprehensif untuk menyelesikannya.

Jangan sekali-kali jadikan lantikan politik ini sebagai pengagihan ghanimah.

Akhirnya, tugas seorang ahli parlimen yang hakiki adalah untuk menjadi badan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang dan membantu membentuk polisi kerajaan.

Memberikan jawatan GLC kepada semua ahli parlimen dikhuatiri seakan-akan dilihat pemberian ghanimah kepada “penyelamat” sesebuah pihak, atau 'membeli tiang-tiang pengukuh' untuk pihak tertentu.

Lebih dikhuatirkan, akan ada segelintir yang cuba memenuhkan kantung mereka masing-masing tanpa memikirkan nasib rakyat.

Diharapkan agar kerajaan melakukan pertimbangan yang sewajarnya sebelum perkara ini dilaksanakan.

CHE AIDIL ERFAN ialah ahli Parlimen Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk sesi 2019-2021 dan merupakan aktivis belia yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan