Muhyiddin angkat sumpah, rindu Mesyuarat Kabinet


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh setelah lebih sebulan cuti sakit menjalani pembedahan dan rawatan kanser pankreas.

Atas nasihat doktor, Muhyiddin akan memulakan tugas dengan kerja-kerja ringan terlebih dahulu kerana akan menjalani  kimoterapi selama enam bulan dengan 12 kali rawatan yang akan berlangsung di Malaysia dan Singapura.

"Hadir ke Parlimen untuk membaca sumpah ikrar dan jawatan sebagai ahli Parlimen, iaitu saya boleh menjalankan tugas di Parlimen dan luar Parlimen untuk urusan rakyat.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya makin baik walaupun di peringkat proses pemulihan, saya dinasihat doktor untuk ambil masa mengembalikan kekuatan kalau boleh makan lebih sedikit buat fisioterapi namun buat sementara ini saya berasa lebih segar," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menyatakan rasa rindu untuk menghadiri Mesyuarat Kabinet yang dijadual Jumaat ini.

"Mungkin hari Jumaat ini saya cuba hadir kerana dah lama tak ke mesyuarat jemaah menteri, rasa rindu sikit tapi selepas itu saya akan tentukan keadaan macam mana untuk saya uruskan rawatan dan kerja-kerja saya.

"Sementara itu saya perlu kukuhkan semangat nak melawan, bukan apa, to fight. Alhamdulillah keadaan saya akan bertambah sihat dari sehari ke sehari," ujarnya.


Muhyiddin menghargai ruang yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk beliau menjalani rawatan.

"Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah beri seluas-luas ruang.
"Beliau  kata jangan fikir apa-apa, jaga kesihatan. Saya ucapkan terima kasih kepada  Perdana Menteri dan itu yang saya akan lakukan dalam masa terdekat ini," katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan