KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas seorang pembantu Mohamad Sabu
melibatkan sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun bank menunjukkan
perebutan jawatan di kementerian dalam kalangan kawan-kawan dan
rakan-rakan ahli politik Pakatan Harapan.
Seorang pembantu Mohamad dilaporkan sedang disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditugaskan untuk memastikan semua
pembantu dan pegawai politik para menteri bebas daripada urusan
meragukan sebelum dilantik secara rasmi.
Dipercayai SPRM sedang menyiasat transaksi berjumlah RM800,000 ke
akaun bank pembantu itu, sejurus selepas Mohamad mengangkat sumpah
menteri pertahanan.
Pembantu berusia pertengahan 40-an itu dikatakan dekat dengan
presiden Amanah itu dan terpilih daripada berpuluh kawan-kawan rapat
yang juga mahukan jawatan kanan bawah menteri itu.
“Dia seorang yang setia dan bersama Mohamad ketika susah dan senang,
termasuk ketika Mohamad hilang pengaruh selepas diketepikan PAS dan
kemudian meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Amanah,” kata sumber
yang dekat dengan pemimpin Amanah itu.
Sumber berkata sebaik sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan
Mohamad untuk portfolio pertahanan pada Mei, dia dibanjiri permintaan
daripada kawan-kawan dan penyokong-penyokong yang mahu menjadi
pembantunya.
“Tetapi dari awal lagi jelas orang itu akan terpilih kerana dedikasinya,” kata sumber itu.
Pilihan Mohamad bagaimanapun tidak disenangi ramai kawan-kawan yang juga mahu menjadi pembantu di kementerian utama itu.
“Ramai kawan-kawan yang kononnya ‘berhaluan kiri’ ini tidak ada
pendapatan tetap. Ada antara mereka dari Amanah, ada dari parti komponen
lain, serta aktivis yang perlukan kestabilan kewangan,” kata sumber
itu.
“Kita tak boleh puaskan hati semua orang.”
Sumber berkata pendedahan tentang siasatan SPRM ke atas pembantu itu
berbetulan dengan angkat sumpah minggu ini, dengan harapan ia boleh
menggagalkan pelantikan dan mengosongkan jawatan itu.
“Satu lagi dakwaan yang dilontarkan bagi mengurangkan peluangnya
termasuk menuduhnya seorang Syiah,” kata sumber itu dan berkata serangan
sebegitu terhadap kem Mohamad “bukan aneh”.
“Mohamad juga pernah dilabel Syiah oleh pengkritiknya kerana bersimpati dengan gerakan seperti Hizbullah,” kata sumber itu.
Sumber mengesahkan pembantu itu diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi sebelum Amanah ditubuhkan.
Perkara itu mesti diatasi dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah wang untuk melangsaikan hutang tersebut.
Sumber berkata pembantu itu kemudian menemui kawan-kawan rapat –
“kira-kira 12 orang” – untuk membantu dia menyelesaikan hutang peribadi
berjumlah kira-kira RM800,000 itu.
FMT difahamkan semasa tapisan SPRM, pembantu itu menyerahkan dokumen
mengandungi nama-nama orang yang meminjamkan wang dan setiap transaksi
diperincikan.
“Wang didepositkan dalam pelbagai kadar, daripada sekecil RM10,000 sehingga RM100,000, hingga mencecah RM800,000.”
Masalah yang dihadapi pembantu itu bukan perkara luar biasa setiap
kali menteri baru dilantik, lebih-lebih lagi selepas kemenangan Pakatan
Harapan pada pilihan raya Mei lepas yang menyaksikan banyak jawatan
politik kosong.
Ia termasuk jawatan setiausaha politik dan setiausaha akhbar, yang
dilihat sebagai tulang belakang pejabat menteri terutama untuk
mengendalikan persepsi umum.
Sementara itu, sumber berkata SPRM mungkin tidak akan menemui unsur-unsur rasuah dalam siasatan ini.
“Tetapi persepsi buruk sudah terpalit pada pejabat Mohamad, terutama
bila dia memegang jawatan itu diiringi perasaan gembira orang ramai,”
katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan