MP Batu sahkan tolak ajakan Afif untuk lompat parti

Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini mengesahkan beliau diajak oleh seorang pemimpin PKR yang sedang digantung, Afif Bahardin untuk meninggalkan parti itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Prabakaran berkata beliau menolak tawaran Afif agar menyertai Gerakan.

Prabakaran juga mengeluarkan satu kenyataan berasingan dan menegaskan beliau akan setia bersama PKR.

"Sememangnya telah berlaku satu pertemuan di antara saya dan Dr Afif sepertimana yang didakwa oleh (Ketua PKR perak) Saudara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

"Saya tidak mahu komen lebih berkaitan isu politik, cukuplah sekadar penjelasan bahawa pendirian dan prinsip saya adalah sama dengan prinsip Keadilan. Saya akan kekal bersama Keadilan demi kesinambungan perjuangan saya bersama rakyat. Saya bukan pengkhianat," katanya.

Prabakaran mengulas pertanyaan media selepas Farhash mendakwa Afif 'berpura-pura' berhubung keputusan menggantungnya dari PKR.

Menurut Farhash, bukan lagi satu rahsia bahawa Afif mengajak anggota parlimen Batu itu untuk menyertai parti Gerakan sebelum ini.

 Ketika dihubungi, Afif (gambar atas) berkata beliau enggan melayan tuduhan itu.
"Fokus saya adalah kepada pengundi saya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sukar ini," kata Afif yang juga Adun Seberang Jaya kepada Malaysiakini.

Prabakaran berkata sebelum pertemuan dengan Afif, terdapat juga usaha untuk mengajak beliau keluar daripada parti itu.

Beliau berkata ada beberapa pertemuan diatur oleh seorang pemimpin dalam cabang PKR Batu untuk tujuan berkenaan.

"Semuanya bersifatkan percaturan politik. Semuanya mahu saya melompat," katanya.
Prabakaran berkata beliau mahu 'politik jijik' dihentikan dan akan terus berkhidmat kepada rakyat sehingga pilihan raya umum ke-15.

Afif merupakan sekutu rapat kepada bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang membantu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Feb lalu.

Azmin mengetuai sekumpulan anggota parlimen yang keluar daripada PKR manakala Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar daripada PH.

Bersama-sama parti pembangkang, mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang baru.

Terdapat spekulasi bahawa bekas anggota parlimen PKR yang diketuai Azmin akan mengambil alih Gerakan dan menjenamakannya semula.

Bagaimanapun, rancangan itu masih belum menjadi kenyataan dan mereka pada masa ini masih menyertai Bersatu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan