Persatuan Patriot Kebangsaan (PPK) berpandangan Kementerian
Pertahanan dan kerajaan Malaysia perlu berhati-hati mengenai penggunaan
pasukan ketenteraan negara di zon konflik antara Palestin dan Israel.
Presidennya Brid Jen (B) Mohd Arshad Raji berkata, Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) yang pernah menyertai beberapa misi ketenteraan sebelum
ini adalah dibawah pengistiharan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNSC).
Namun dalam isu Baitulmaqdis ujarnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PPB) jelas tidak akan sesekali membenarkan Amerika Syarikat
mengubah ibu kota Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
“Sama ada secara langsung atau tidak langsung, bandar Baitulmaqdis
yang dipertikaikan sebagai ibu kota Israel hanya membabitkan Amerika
Syarikat.
“Ia tidak dibenarkan oleh PBB dan oleh itu, Baitulmaqdis tetap sah di
wilayah Palestin dan ini mewujudkan situasi yang sangat kontroversi
yang pasti akan mengakibatkan konfrontasi ketenteraan antara Palestin
dan Israel,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishamuddin Hussein yang juga Naib Presiden Umno pada ucapan pengulungan
Perhimpunan Agung Umno 2017 pada Sabtu.
Hishamuddin dipetik berkata, ATM bersiap siaga menunggu isyarat dan
arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang
peranan sewajarnya dalam isu Baitulmaqdis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata,
negara harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung isu
berkenaan.
Kata Mohd Arshad lagi kerajaan perlu memikirkan beberapa perkara
sebelum membuat keputusan untuk menghantar pasukan ketenteraan negara
ini untuk membantu Palestin.
“Jika angkatan bersenjata kita dihantar ke Baitulmaqdis minggu atau
bulan yang akan datang, terdapat beberapa soalan yang perlu dijawab.
“Di bawah arahan siapa tentera kita akan diletakkan? Apakah tahap
kekuatan persenjataan yang diperlukan untuk misi sedemikan dan
bagaimanakah ia dapat distrukturkan?
“Siapakah yang akan membuat keputusan akhir untuk menghantar tentera
ke dalam misi yang tidak dimaklumkan atau disetujui oleh UNSC ini?
“Pihak berkuasa yang menyetujui harus memahami bahawa mengerahkan
tentera ke dalam zon konflik tidak seperti mengerahkan tentera dalam
tugas pengamanan yang disetujui oleh UNSC.
“Kemalangan maut dijangka. Adakah pihak berkuasa yang menyetujui
sanggup menerima tanggungjawab sepenuhnya untuk meletakkan tentera kita
dengan cara yang membahayakan?
“Dan adakah kerajaan akan membawa isu ini ke parlimen untuk diperdebatkan?,” soalnya.
Tambah Mohd Arshad lagi, konflik antarabangsa di Baitulmaqdis adalah isu politik.
Justeru saranan beliau ia sewajarnya dilakukan secara diplomasi untuk
menyelesaikan masalah persengketaan dua pihak membabitkan Israel yang
didalangi Amerika Syarikat dengan Palestin itu yang sudah berlarutan
sekian lama.
“Sekiranya diplomasi gagal, ia akan menjadi kutukan antarabangsa.
“Adalah langkah tidak bijak sama sekali membuat pengumuman untuk
menghantar sepasukan tentera Malaysia ke Baitulmaqdis,” tegasnya.
Katanya lagi, kementerian pertahanan harus memastikan pasukan
ketenteraan negara ini adalah kompeten dan terlatih sepenuhnya untuk
menghadapi ancaman yang akan berlaku dalam zon konflik yang tidak
dikenali atau medan perang.
“Walau apapun sebabnya kerajaan perlu menghantar tentera kita untuk
berkhidmat dalam zon konflik di tanah yang tidak asing dengan tentera
kita, ia (Baitulmaqdis) mesti difikirkan dan memerlukan pertimbangan
yang serius,” ujarnya.
Home / Berita
/ Baitulmaqdis: Veteran ATM saran diplomasi, tolak cadangan tentera Malaysia ke zon konflik
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan