Mana yang lebih menyedihkan – kalah di Langkawi atau ‘bergaduh’ dengan anak sendiri?

 


Oleh Mohsin Abdullah

Dr Mahathir Mohamad tempoh hari meluahkan kekecewaan “saya ditolak merudum” pada PRU15 Nov lalu. Jelas itu kisah sedih. Pada 10 Feb lalu Mahathir umum keluar parti Pejuang pimpinan anaknya Mukhriz. Ini juga kisah sedih. Mana yang lebih menyedihkan?

Memulakan artikel ini dengan luahan kecewa, sedih, dan hairan Mahathir mengenai kekalahannya di Langkawi. Imbau kembali laporan FMT pada 5 Feb lalu di mana beliau dipetik berkata “saya pun tidak tahu apa kesalahan yang telah buat (sehingga ditolak)”.

Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel

Kata beliau lagi, penolakan pengundi Langkawi agak mengecewakan “kerana saya telah buat macam-macam di Langkawi”. Sesungguhnya pembangunan Langkawi dikaitkan dengan Mahathir yang membawa pelbagai projek terutama ketika menjadi perdana menteri keempat.

Beberapa hari selepas rintihan Mahathir disiarkan, tampil laman Malaysia Now dengan laporan “Mengapa Mahathir kalah di Langkawi?” Laporan itu memaparkan seorang pelajar berusia 19 tahun bernama Balqis Dzulkefly menceritakan kembali pengalamannya mengundi buat kali pertama pada PRU15.

Balqis berkata sejak kecil dia menyanjungi Mahathir dan mengakui bekas perdana menteri itu “banyak berjasa kepada Pulau Langkawi”. Bagaimanapun Balqis tidak mengundi Mahathir pada 19 Nov 2022 kerana tidak mahu lihat Mahathir terus terlibat dengan politik. Kekalahan, katanya, memberi ruang Mahathir berehat dan fokus kepada kesihatan diri pada usia 97 tahun.

Seorang kenalan saya yang pernah bertugas untuk Mahathir semasa menjadi beliau PM kali pertama dahulu memberi komen menerusi WhatsApp sebaik membaca laporan berkenaan.

Kata beliau, nyata anak muda itu tidak tahu bahawa sebenarnya Mahathir ialah seorang “pencandu kerja” atau “workaholic”. Mahathir katanya suka dan perlu bekerja. Tiada istilah rehat. Itu antara sebab Mahathir masih boleh bergerak aktif pada usia lanjut.

Apa pun laporan Malaysia Now turut siar pendapat seorang lagi pengundi muda Langkawi, bernama Mohamad Adam Zakaria berusia 23 tahun. Kata pemuda ini, fungsi Mahathir sebagai ahli politik tidak lagi relevan memandangkan beliau bukan lagi “king maker” dalam senario politik terutama selepas peletakan jawatan perdana menteri pada 2020.

Adam seterusnya berkata “Beliau sama sekali tidak boleh hairan dan sedih. Pilihan raya dan buang undi bukan soal menjaga perasaan ahli poltik”. Setuju atau tidak pandangan si anak muda ini terpulang.

Beralih kepada tindakan Mahathir keluar Pejuang yang ditubuhkannya pada 2020 dan seperti dikata tadi diterajui anaknya Mukhriz.

Mahathir keluar bersama 12 pemimpin lain parti. Mengapa? Kerana tidak setuju Pejuang meninggalkan Gerakan Tanah Air. Atau GTA yang juga dianggotai Putra, Berjasa, dan parti India Muslim, Iman.

Pejuang mengambil keputusan keluar GTA pada 14 Jan lalu. Menurut Mukhriz, keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh Pejuang (setelah kalah teruk pada PRU15) dan dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan perhimpunan agung parti.

Namun Mahathir melihat tindakan Pejuang keluar GTA “seperti menolak dirinya” yang juga pengerusi penaja GTA. Kata beliau lagi, asas perjuangan sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhan Pejuang. Tuduhan yang tajam.

Mahathir keluar parti dengan alasan parti “lari” daripada matlamat asal bukan perkara baharu. Beliau tinggalkan Umno tubuhkan Bersatu. Keluar Bersatu tubuh Pejuang. Tetapi tinggalkan Pejuang amat berbeza. Mahathir dilihat “in direct conflict” dengan anak sendiri.

Sebelum ini Mahathir kerap didakwa merancang pelbagai strategi supaya kerjaya politik Mukhriz cemerlang untuk mengambil tempat tertinggi. Sekarang ini pula yang berlaku. Bagi saya ini menyedihkan.

Mungkin Mahathir (dan Mukhriz?) berpegang pendirian setuju untuk tidak setuju. Mereka mungkin mampu memisahkan politik dengan keharmonian kekeluargaan yakni perbezaan politik tidak mengganggu atau menjejas keakraban kekeluargaan. Mungkin Mahathir dan Mukhriz tidak bermasam muka berhubung apa yang dilalui sekarang. Alhamdulillah.

Namun bagi saya yang punya anak , apabila seseorang ayah dan seseorang anak berselisih pendapat (istilah lembut untuk bersengketa), ia sesuatu yang amat menyedihkan.Tak kisah lah siapa salah siapa betul siapa beralah siapa keras kepala.

Semasa artikel ini ditulis belum ada reaksi dikeluarkan Mukhriz secara terbuka. Mahathir selaku pengerusi penaja GTA dijangka mengadakan pertemuan dengan Muafakat Nasional yang dipimpin Annuar Musa, bekas pemimpin Umno.

Diberitakan perbincangan berhubung hala tuju NGO Melayu dan usaha mengukuhkan penyatuan orang Melayu. Ingat kata-kata kenalan saya tadi bahawa Mahathir gila kerja dan tak tahu rehat? Itu ramai tahu dan akui.

Apa pun kembali persoalan pokok – mana yang lebih menyedihkan – kalah di Langkawi atau “bergaduh” dengan anak sendiri?

Suka atau tidak Mahathir tidak dapat dinafikan jasanya kepada negara meski pun diakui ada kelemahan serta kesilapan.

Namun bagi saya yang paling menyedihkan ialah perjuangan beliau yang panjang membawa ke situasi yang kita lihat sekarang. “It had to come to this” kepada seorang yang bernama besar. Ini yang memilukan. Sayang atau benci soal lain.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan