Oleh Mohd Syazreen Abdullah
Mengamalkan kepercayaan di Malaysia sangat sukar.
Pertama, kerana faktor kekuasaan. Kedua, akibat sikap beragama
pengamalnya. Sebanyak manapun agenda agama yang rancak dikembangkan, ia
tidak ubah mengulangi masalah prinsip - sikap fanatik dalam keimanan
yang nyata mengotori ajaran Islam sejati.
Beberapa prinsip dasar dalam beragama sentiasa dirobek. Ini
sesungguhnya mengganggu pilar sosial dalam kehidupan plural termasuk
soal kebebasan dan keyakinan peribadi.
Sedangkan,
konsep al-Quran punya kaitan langsung dengan fitrah manusia. Secara
tegas al-Quran menyebut: "tiada paksaan dalam beragama" (al-Baqarah :
257).
Maknanya, seseorang tidak boleh dicabul haknya untuk berkeyakinan dalam beragama atau memilih untuk tidak beragama.
Mengutip pandangan Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zhilal al-Quran,
beliau menyatakan ayat tersebut adalah manifestasi kasih sayang Tuhan
terhadap manusia; sebagai tanda penghormatan ke atas hak autonomi
pilihan individu dalam hal petunjuk.
Pendapat lain umpamanya al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan pula menyebut
Rasulullah tidak pernah memaksa ahli kitab (Yahudi, Kristian, Zoroster)
untuk menerima Islam, malah pernah memaafkan perbuatan memaksa kaum
musyrik (penyembah berhala) Arab dalam memaksa golongan murtad untuk
menerima agama Islam.
Ada satu lagi kisah tentang seorang muslim dari suku Salim ibn Awf di
Madinah. Kedua-dua puteranya memeluk Kristian sebelum Islam didakwah.
Ketika mengunjungi bapa mereka di Madinah, mereka diminta memeluk Islam
tetapi ajakan itu ditolak.
Maka ayahnya bertemu Rasulullah lalu diceritakannya tentang
keengganan kedua-dua anaknya memeluk Islam. Lalu turunlah ayat ke-257
surah al-Baqarah tadi.
Perkara
ini juga disetujui Zamakhsyari iaitu mufassir Mu’tazilah yang menulis
kitab al-Kassyaf, bahawa Tuhan tidak menerima keimanan secara paksaan
dan kekerasan sebaliknya melalui fitrah dan pilihan bebas.
Muhammad Asad, pemikir Islam terkenal dalam The Message of the
Qur'an, menjelaskan kalimat "din" dalam ayat itu bermaksud keyakinan.
Yang dimaksudkan dengan "tiada paksaan dalam beragama", Asad menerangkan
ikrah itu tentang keyakinan atau agama.
Seluruh ahli hukum Islam tanpa berkecuali berpendapat, menukar agama
kerana paksaan tidak sah dan terbatal. Bagi Asad, perbuatan memaksa
orang yang tidak beriman agar memeluk Islam adalah dosa besar.
Kekerasan dalam beragama
Abdullah Yusuf Ali, penterjemah al-Quran ke dalam bahasa Inggeris yang paling dikenali melalui The Religious Polity of Islam memuatkan beberapa catatan penting.
Beliau mendefinisikan bahawa pemerintahan Islam awal bersikap adil dan tidak terpaku pada bentuk kekerasan tertentu.
Meskipun catatan sejarah menggambarkan kehidupan sosio Arab yang
hidup dalam suasana fanatik kelompok mahupun keimanan, tugas para nabi
adalah menolak sistem atau ajaran yang mementingkan kesukuan kelompok
tertentu.
Bagi Yusuf Ali, beberapa aspek Islam itu sendiri merupakan agama rakyat, tanpa pendeta yang ditasbih atau memiliki hak istimewa.
Tafsiran ini bermakna urusan peribadi dalam beragama atau
berkepercayaan dengan soal kenegaraan adalah perkara yang harus
dipisahkan.
Tugas
penguasa menerima nasihat dan tidak bertindak melampaui batas
kekerasan. Ia selari dengan prinsip al-Quran (ali-Imran : 159).
Perkara ini dibuktikan Rasulullah yang mengamalkan musyawarah dalam
setiap keputusan. Musyawarah adalah salah satu sistem tradisi yang
diamal baginda nabi bagi menjamin pemahaman sosial secara kolektif.
Mengikut catatan prinsip garis politik, ada perkara yang cuba
disampaikan Yusuf Ali tentang hubungan sosial dan pemerintah yang
berkuasa.
Beliau cuba menampilkan Islam atau agama yang percaya diri dan memandang ke hadapan.
Namun dalam rentas sejarah peradaban, beliau sedar berlaku kehilangan
beberapa prinsip dasar dalam beragama. Paling mustahak adalah hal
sosio-politik, budaya dan kerelevanan syariat dalam tataran kehidupan.
Pertikaian bukan akidah
Namun, menghasilkan pandangan moden tidak semudah itu. Peristiwa
1043, terdapat tulisan yang menyebarkan sebuah kritik terhadap Paus di
Roma.
Peristiwa dalam sejarah Kristian itu dianggap sebagai pemisahan atau
perpecahan yang besar Gereja Timur. Pergaduhan dan pergolakan dalam
sejarah Paus berlarutan kepada pengikutnya hingga peristiwa itu akhirnya
mem
bawa kepada saling kafir-mengkafir. Namun tradisi ini juga ada dalam
sejarah umat Islam.
Sejarawan Will Durant menyebut masalah ini berpunca daripada
pertikaian kepentingan politik berbanding pertikaian akidah (Durant,
1950:544).
Akibatnya, tafsiran sifat sebenar agama diselewengkan bersifat
politik dan menghasilkan polemik fanatisme saling mengkafirkan hingga
hilang kesatuan dan jauh daripada sikap non sektarian.
Sikap
tidak moderat, suka kafir-mengkafir, mengganggu kehidupan beragama,
sebenarnya mengotori ketulenan Islam yang disampaikan daripada
Rasulullah dan para sahabat.
Hal ini tidak dapat merealisasikan keimanan murni yang diajar
baginda. Disebabkan pelaku agama tidak mampu berfikir secara moderat,
maka berlaku pertentangan antara agama dan dalam kehidupan beragama yang
sama.
Hal keadaan itu berlaku di Eropah Barat ketika gareja Katolik
menjatuhkan hukum murtad kepada mereka yang memiliki pemikiran berkaitan
alam. Sesiapa yang bertentangan dengan hukum agama, dihukum mati.
Model berfikir rasional ditentang dan budaya fanatik dipupuk. Maka
dalam Islam, pelanggaran segala aspek moral, agama dan hak manusia
adalah perkara merugikan dalam mewujudkan keadilan dan kesetaraan dalam
masyarakat.
Islam relevan sampai bila-bila
Jadi, prinsip agama mudah dicabul dan masalah berfikir keagamaan
berputar-putar tanpa henti. Kerelevanan agama mesti dibuktikan dengan
cara berfikir yang tarjih, beramal dengan prinsip ketulenan ajaran Islam
sebenar.
Perbezaan dalam masalah pokok harus dirincikan dalam beberapa
perkara. Contohnya, agama tidak terjadi dalam keadaan bertentangan
dengan hukum alam yang menyalahi akal manusia.
Kerelevanan dalam beragama tidak mungkin terjadi tanpa sikap kritis dan pertimbangan dalam dunia moden hari ini.
Contoh mudah, ijtihad tidak terbangun secara terburu-buru tanpa
keseimbangan yang tidak mendatang keburukan. Islam tidak terbangun
melalui kritik aqli ke atas naqli; begitu juga kritik naqli ke atas
aqli. Selagi tidak mendatangkan kerosakan umat, di situlah hukum harus
ditafsir.
Kerelevanan itu muncul di tengah-tengah daya intelektual dan bersebati dengan kemodenan tanpa mengabai prinsip ajaran tersebut.
Dalam buku Islam at the Crossroads, Asad menulis:
"Tidak dapat dinafikan bahawa dalam tahap kemerosotan sekarang,
suasana keagamaan dalam kebanyakan rumah orang Islam adalah amat rendah
dengan intelektual yang punah. Hal ini mencetuskan insentif pertama
untuk memalingkan seseorang pemuda yang sedang membesar daripada
agama.’’ (Islam di Persimpangan Jalan, terjemahan IRF)
Pesan Asad ini menimbulkan persoalan tentang bagaimana sikap kita
terhadap pengetahuan moden yang berkembang pantas. Persoalan Asad sekali
gus mahu memastikan Islam tidak terasing dengan keimanan, malah menjadi
agama yang mendukung kehidupan sejahtera, damai dan bebas menganuti
segala kepercayaan.
MOHD SYAZREEN ABDULLAH bekas penuntut pengajian syariah di Universiti Yarmouk, Jordan. Beliau juga penulis buku Bercakap Dengan Quran.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan