'Adakah akta antiberita palsu akan diguna terhadap media asing?'

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Palsu yang dijangka dibentang di parlimen minggu depan akan turut diguna pakai terhadap media asing.

"Banyak contoh kritikan yang buruk oleh media asing mengenai 1MDB dan sesetengahnya mencadangkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri terlibat dalam skandal itu.

"Adakah Akta Antiberita Palsu baru yang dicadangkan juga dikenakan kepada media asing?

"Adakah kerajaan akan minta bantuan Interpol untuk menahan penulis artikel dalam penerbitan seperti Wall Street Journal dan The Economist di luar negera untuk menghadapi tuduhan di bawah akta baru tersebut?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh kerana perdana menteri dan kerajaan belum memulakan sebarang tindakan undang-undang terhadap media asing setakat ini, Ramkarpal berkata "hampir pasti" tiada tindakan akan diambil terhadap mereka di bawah undang-undang baru itu.

"Kemungkinan yang sangat dipercayai tujuan akta baru ini semata-mata untuk menolak kritikan terhadap 1MDB atau sebarang perkara sensitif lain dalam jangka masa hingga PRU14," katanya.
Beliau berkata untuk mengelakkan lebih banyak persepsi negatif, kerajaan tidak sepatutnya membentangkan RUU antiberita palsu yang akan menarik lebih banyak cemuhan di peringkat antarabangsa berhubung rekod buruk kebebasan bersuara di Malaysia.

"Tiada keraguan bahawa berita palsu adalah ancaman serius pada hari ini dan perlu ditangani segera tetapi persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada motif di sebalik pembentangan rang undang-undang tersebut adalah tulen," kata Ramkarpal.

Beliau menegaskan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata sebarang maklumat berkaitan 1MDB yang tidak dapat disahkan akan dianggap sebagai berita palsu.
Jailani berkata 1MDB disiasat polis dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara serta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Oleh itu, sebarang berita yang disahkan sebagai palsu oleh pihak berkuasa akan dianggap berita palsu.

Bagaimanapun, Ramkarpal berkata penemuan oleh pihak berkuasa tidak boleh dianggap muktamad kerana kesimpulan yang dibuat bukan berdasarkan bukti di mahkamah.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan