Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bebas menyertai kempen
politik di luar kampus menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak
lama lagi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata mereka diberi kelonggaran berpolitik jika mereka
berminat dan ini berbeza dengan kepimpinan sebelum ini yang menyekat
penglibatan mereka dalam politik negara.
"Mereka berhak berpolitik di luar kawasan kampus. Jika dalam kampus
itu tertakluk kepada peraturan universiti. Jika didapati mereka
berkempen juga dalam kampus sehingga melanggar peraturan, itu bawah
bidang kuasa universiti untuk memutuskan tindakan.
"Saya juga tidak faham kepimpinan terdahulu jelas melarang keras
penglibatan pelajar dalam berpolitik, tetapi sekarang beliau pula amat
menyokong agar mereka (pelajar) aktif berpolitik," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan pelancaran 'Taylor's Curriculum Framework'
(TCF) di sini, hari ini.
Idris berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas
mengenai had atau larangan penglibatan penuntut IPT menyertai kempen
politik menjelang PRU14.
Katanya penglibatan penuntut IPT dalam aktiviti politik tertakluk di
bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dipinda pada 2012 yang
membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, badan atau kumpulan
termasuk parti politik ketika di luar kampus.
- Bernama
0 comments:
Catat Ulasan