Pakar perunding kanak-kanak, Dr Zaidi diumum calon Parlimen Kepala Batas

Dr. Zaidi Zakaria, pakar perunding kanak-kanak di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, telah diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Kepala Batas bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa selepas majlis perasmian bilik gerakan dan pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Kepala Batas di Dewan JKKK Permatang Saga semalam.

Dr Zaidi yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Negeri Pulau Pinang merangkap Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh adalah seorang doktor pakar yang telah berkhidmat dalam bidang perubatan sejak tahun 1995 lagi.

Khidmat dan jasa beliau bermula di Hospital Taiping pada tahun 1995 sehingga tahun 1996.
Sebelum berkhidmat sebagai doktor pakar mulai tahun 2003 di Hospital Kota Bharu, beliau pernah mencurahkan jasanya di Hospital Umum Sarawak pada tahun 1997.

Kemudian beliau berkhidmat pula di Hospital Serian Sarawak sebagai Pengarah pada tahun 1997 sehinggalah tahun 1998.

Khidmatnya diteruskan lagi sehinggalah ke Hospital Alor Setar, Kuala Terengganu dan USM.
Selepas itu beliau berkhidmat di Hospital Pulau Pinang pada tahun 2005 serta beberapa hospital pakar sehinggalah sekarang.

“Kerjasama yang erat serta komitmen yang bersungguh-sungguh antara komponen PH mampu membawa kejutan dalam PRU14 akan datang.


“Walaupun pelbagai tribulasi dilakukan oleh Umno-BN, kita dalam PH optimis perubahan dapat menjadi realiti menjelang PRU14 di Kepala Batas.

“Yang pasti, kemenangan PH menjadi prioriti yang perlu diberi keutamaan dalam PRU14 ini,” jelasnya.

Malah ujar Dr Zaidi lagi, pemilihan beliau sebagai calon AMANAH mewakili PH bagi Parlimen Kepala Batas merupakan satu tanggungjawab berat yang mesti dipikul semampu mungkin bagi menumbangkan Umno-BN.


Dalam PRU13 yang lalu, pertandingan dua penjuru bagi Parlimen Kepala Batas menyaksikan kemenangan bagi BN yang memperolehi 25,128 undi.

Manakala calon Pas yang ketika itu berada dalam Pakatan Rakyat berjaya mendapat sebanyak 20,952 undi.

“Kemenangan dengan majoriti sebanyak 4,176 undi oleh calon BN pada PRU13 yang lalu amat berbeza dengan pertandingan pada 2018.

“Pertandingan kali ini menyaksikan pertembungan yang sengit setelah PH mendapat dokongan empat parti besar yang komited untuk menumbangkan BN.

“Insya-Allah, AMANAH dan PH mampu membawa perubahan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat kerana mereka amat dahagakan perubahan menjelang PRU ke 14 kali ini, ” tambahnya lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan