Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Ustaz Mokhtar Senik menganggap Naib
Presiden AMANAH, Husam Musa pada masa ini bercelaru walaupun Datuk Seri
Abdul Hadi Awang hanya di peringkat memenangi permohonan interlokitori
yang difailkan oleh Sarawak Reports (SR).
Walaupun perbicaraan penuh kes saman fitnah oleh Presiden Pas itu
masih belum berjalan, Mokhtar menyelar Husam yang sebelum ini
menguar-uarkan pendedahan SR berkenaan dana RM90 juta yang didakwa
dimasukkan ke dalam akaun pimpinan Pas untuk mendorong kerjasama dengan
Umno-BN.
“Sekarang Husam jadi bercelaru kerana beliau berada dalam parti
(AMANAH) yang celaru dan tanpa arah yang jelas, selain dipandu oleh
orang-orang yang tidak memah(am)i Islam,” dipetik dari Facebooknya hari
ini.
Calon Pas bagi Parlimen Padang Besar di Perlis itu menyoal sama ada
Husam malu dengan apa yang dianggapnya sebagai “keputusan mahkamah
menggugurkan semua bukti dan penghujahan SR yg memfitnah TGHH (Tuan Guru
Haji Hadi) dan Pas.”
“Apakah Husam Musa merasa malu dengan keputusan itu?. Beliau yang
sebelum ini penuh ghairah cuba menyakinkan rakyat bahawa Pas menerima 90
juta dari Umno. Siap sebut nama akaun dan nama bank di mana transaksi
itu berlaku.
“Kini ternyata hati perut beliau (Husam) terlalu kesumat terhadap Pas
sehingga kotoran kesumat itu membasahi lidah dengan bahasa-bahasa
fitnah,” selarnya.
Mengakui Husam pemimpin berkarisma ketika berada dalam Pas, Mokhtar
menganggap bekas Naib Presiden Pas itu sekarang “selalu tersasar” dan
“tiada lagi ketepatan hujah dan fakta.”
“Najib yang dikatakan PM yang gagal itu pun kalau berada dalam Pas,
Najib akan jadi baik. Tapi kalau ulamak sekalipun kalau berada dalam
parti yang tidak baik pastinya akan jadi tidak baik,” tambah Mokhtar
lagi.
Terdahulu, peguam mewakili Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Abdul
Hadi memenangi kesemua lima permohonan interlokutori (permohonan dalam
permohonan) bagi kes saman fitnahnya terhadap Editor SR, Clare Rewcastle
Brown.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi London hari ini memerintahkan SR
membayar keseluruhan kos 28,900 pound iaitu bersamaan RM155,791.
Hakim Mahkamah Tinggi London menetapkan tarikh untuk perbicaraan penuh kes bermula 1 hingga 12 April 2019.
Walau bagaimanapun rata-rata pemimpin dan penyokong Pas dilihat
keliru apabila menganggap perintah tersebut sebagai kemenangan mutlak
Abdul Hadi terhadap saman yang difailkan pada 21 April 2017 itu.
Walhal, SR hanya diarah untuk membayar kos bagi permohonan
interlokitori yang difailkan oleh SR untuk membatalkan saman oleh Abdul
Hadi.
Hal ini bermaksud jika tiada permohonan interlokutori lain, kedua-dua
pihak perlu bersedia untuk perbicaraan penuh memandangkan saman yang
difailkan Abdul Hadi mempunyai kewajaran untuk diteruskan.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi
London ekoran laporan SR yang mendakwa Presiden Pas itu menerima dana
RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti tersebut menyokong Umno
dan BN.
Artikel Brown bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not
Forget His Many Other Criminal Connections” disiarkan portal asing itu
pada 6 Ogos 2016.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan