Asyraf patut nasihat Muhyiddin letak jawatan


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki digesa supaya menasihati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan.

Naib Ketua Pemuda PKR S Thiban mendakwa Muhyiddin sudah kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen.

Tindakan jujur Muhyiddin melepaskan kerusi perdana menteri, kata Thiban masih mampu mengelakkan pembubaran parlimen.

"Saya meneliti kenyataan saudara Asyraf yang menggesa Datuk Seri Anwar menangguhkan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan berikutan penularan wabak Covid-19 yang kembali meningkat baru-baru ini.

"Kononnya, agenda menukar kerajaan dan PM yang boleh membawa kepada pembubaran parlimen dan PRU-15.

"Pelik, Asyraf meminta Anwar untuk menangguhkan hasratnya tetapi tidak berani minta Muhyiddin untuk letak jawatan.

"Jika, Muhyiddin jujur dan letak jawatan ia mampu mengelakkan pembubaran parlimen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia mengulas kenyataan Asyraf bahawa Anwar perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Sabah apabila pilihan raya negeri diadakan sehingga mencetuskan penularan wabak.

"Jika kita meneliti kenyataan saudara Asyraf bukan sahaja membuktikan Muhyiddin hilang sokongan majoriti ahli parlimen malah turut mengakui bahawa Anwar mempunyai sokongan majoriti. Ini ditambah pula dengan kenyataan Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) mengesahkan ramai ahli parlimen Umno kini menyokong Anwar.

Bagaimana nak bentang Belanjawan 2021?

"Jadi, kami Pemuda PKR berpendapat Asyraf sepatutnya nasihat Muhyiddin untuk letak jawatan. Jika, tidak ada majoriti letak jawatan. Dan ahli parlimen yang ada sokongan boleh mengambil alih kerajaan.

"Tak perlu pun bubar parlimen. Bagaimanapun, keputusan akhir terletak kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

"Saya nak tanya Asyraf, bagaimana jika Muhyiddin nak bentang Bajet 2021 tapi tiada sokongan? Masih nak tangguh juga kerajaan baru? Asyraf patut setia kepada Umno dan bukan kepada pemimpin kerajaan pintu belakang," tambahnya lagi.

Pada 23 September, Anwar mengadakan sidang media mengumumkan pentadbiran Muhyiddin telah runtuh.

Bagaimanapun, ketika itu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasukkan ke hospital.

Pemimpin pembangkang itu berkata beliau telah menyerahkan senarai ahli parlimen yang menyokongnya ke istana dan akan mendedahkan lebih banyak lagi selepas diperkenankan mengadap baginda.

Berikutan itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar dan isterinya yang juga penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail diperkenankan mengadap Yang di-Pertuan Agong pada 22 September tetapi dibatalkan kerana keadaan kesihatan baginda.

Hari ini, Sultan Abdullah berangkat pulang ke Istana Negara selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 21 Sept lepas.

Bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 semalam sebanyak 260 kes dan hari ini 287 kes menimbulkan perbincangan supaya ahli politik mengutamakan kesihatan orang ramai.

Ini selepas kenaikan Covid-19 dikaitkan dengan pilihan raya Sabah.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan