Tanpa darurat, apa pilihan rakyat?


Oleh AWANG ILHAM 

Titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 25 Oktober lalu yang mengatakan tiada keperluan darurat diisytiharkan bagi membendung penularan Covid-19 melegakan rakyat Malaysia.

Sebelum itu, tindakan Perdana Menteri yang menghadap Yang Di-Pertuan Agong bagi membawa syor Kabinet mengenai pengisytiharan darurat – yang ditafsirkan sebagai laluan kecemasan (emergency exit) beliau – telah menjadi bualan hangat rakyat, di media sosial.

Negara telah melalui episod sukar sejak Covid-19 melanda Malaysia bermula Februari 2020 namun kita telah laluinya tanpa perlu kepada pengisytiharan darurat.

Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota pentadbirannya mencadangkan darurat atas sebab peningkatan kes positif Covid-19 – yang juga perlu dibaca selari dengan cabaran politik yang beliau hadapi – merupakan satu tindakan yang mempunyai lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Selanjutnya, titah tersebut boleh dilihat sebagai satu ‘teachable moment’ mengenai peranan Yang Di-Pertuan Agong yang menjadi pengimbang dalam krisis politik negara dan juga penaung kebajikan rakyat dalam hari-hari sukar menghadapi wabak ini.

Pengalaman yang hampir serupa juga telah rakyat Malaysia lalui pada hujung Februari 2020 sewaktu peristiwa Langkah Sheraton.

Titah tersebut yang telah disebar luas membuka satu sisi perbincangan mengenai peranan Yang Di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat (Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan) kerana titah tersebut telah merungkai (debunk) satu persepsi umum mengenai Yang Di-Pertuan Agong yang hanya “akur dengan nasihat” Perdana Menteri.

Peristiwa ini sepatutnya menjadi satu pengalaman baharu dalam amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Apa pilihan “Abah”?

Rentetan daripada titah Yang di-Pertuan Agong tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah terlepas peluang bagi memastikan pelaksanaan darurat yang akan menghalang sidang Parlimen dijalankan.

Seandainya beliau masih meyakini bahawa majoriti ahli Parlimen masih berpihak kepadanya, ia wajar dibuktikan melalui undian terhadap Belanjawan 2021 pada sidang Parlimen akan datang.

Ini bukan lagi masa untuk beliau mengharapkan doa-doa yang dipancarkan di kaca televisyen untuk mendatangkan kesaktian bagi mengaburi rakyat berkenaan keruncingan masalah politik serta isu bread and butter yang membelenggu rakyat.

Realitinya, langkah konkrit yang mendatangkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah yang kita perlukan pada ketika ini.

Pilihan wakil rakyat kita

Dalam kesukaran rakyat menjalani hidup sejak pandemik, makin menggugat, perkara terakhir yang rakyat perlukan daripada wakil rakyat kita adalah? Mereka bermain politik hanya untuk survival politik masing-masing dan mengabaikan peranan mereka dalam menggubal dasar di samping memastikan kebajikan rakyat dipelihara.

Mengatakan kepada mereka, “sudah-sudahlah berpolitik sewaktu Covid-19” merupakan satu tindakan yang seumpama mengatakan kepada pemain bola sepak dalam waktu perlawanan, “sudah-sudahlah bermain bola sepak.”

Rakyat harus terus memastikan wakil rakyat ini menjalankan amanah dengan kompeten dan berintegriti dengan menjalankan peranan untuk terus melakukan herdikan sosial (social sanction) terhadap amalan wakil rakyat yang merugikan rakyat.

Bagi memungkinkan Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat pada November nanti, pendekatan kerjasama antara wakil rakyat daripada gabungan parti pemerintah dan pembangkang di peringkat Parlimen perlu diutamakan melalui model politik kerjasama yang berasaskan supply and confidence untuk manfaat rakyat.

Dalam masa sama, kita juga memerlukan demokrasi berjalan dengan baik dalam situasi yang amat menguji ini supaya rakyat terus mendapat manfaat.

Seruan supaya reformasi dalam proses semak dan imbang, pengasingan kuasa serta kedaulatan undang-undang terus berjalan dengan realiti semasa dan diambil serius oleh pemerintah.

Pilihan yang kita ada

Kita perlu terus menaruh keyakinan terhadap YDPA serta institusi Majlis Raja-Raja yang memayungi rakyat.

Namun, kita perlu lebih bersifat rasional dan kritis terhadap setiap tindakan wakil rakyat dalam hal-hal yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian dan masa depan kita.

Selesai satu babak daripada drama politik ini, kita perlu terus memberi tumpuan bagi menyelesaikan isu-isu utama berkaitan ekonomi, pendidikan dan keperluan sara hidup rakyat yang dihadapi susulan wabak Covid-19
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan