Gencatan politik hanya istilah lunakkan sebutan, bukan keadaan


 Oleh RAYUSA 

Sebutan pusingan U sudah klise. Walau bagaimanapun, saya fikir ia lebih ‘sesuai’ digunakan oleh pemimpin Umno kerana istilah gencatan politik secara tidak langsung mengesahkan memang berlaku pergeseran dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagi saya, itu satu kesilapan yang kurang disedari pemimpin Umno. Pusingan U menggambarkan kegoyangan prinsip atau tidak tetap pendirian. Setelah sesuatu keputusan dibuat, ia akan diubah semula/tarik balik. Itu mencemarkan citra mana-mana pihak. Langkah tersebut akan berterusan memburukkan imej kerana atas sesuatu sebab, bakal berubah/berbalik semula, lalu menjadi satu lagi pusingan U.

Mengapa gencatan politik? Saya fikir itu hanya untuk melunakkan sebutan, sedangkan hakikatnya buruk. Sebagaimana pusingan U, ia juga akan dihentikan atas sesuatu faktor.

Jadi, sama ada pusingan U atau gencatan politik, kedua-duanya (biasanya) tidak bertahan lama.
Justeru, saya bersetuju dengan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir yang meramalkan ‘perdamaian’ Umno-PN hanya sementara.

Menurut Jeniri, keadaan tersebut mungkin hanya akan bertahan selama enam bulan hingga setahun sahaja. Selagi tuntutan Umno tidak ditunaikan, tambahnya, selagi itulah rasa tidak puas hati akan wujud.

Gencatan politik yang diumumkan itu mungkin bertahan sehingga bahang Covid-19 reda. Selepas keadaan lebih tenteram, dan suhu politik menurun – selepas enam bulan atau setahun – keadaan akan kembali seperti biasa – berbalah semula.

Ia dilakukan kerana mengambil kira sentimen rakyat yang kecewa dan marah dengan pemimpin politik yang dilihat taksub kuasa semasa ancaman Covid-19.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, 22 Oktober lalu mengumumkan gencatan politik kerana mahu memberi keutamaan kepada agenda menangani Covid-19 dalam negara.

Pengumuman itu agak mengejutkan sebahagian pemerhati kerana minggu lepas – beberapa jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembah bukti sokongan majoriti yang didakwa dimilikinya, sekali gus menguatkan dakwaan Ahmad Zahid sebelum itu bahawa ramai ahli Parlimen Umno yang menyokong Anwar – Biro Politik Umno menuntut syarat baharu untuk meneruskan kerjasama mereka dengan PN.

Justeru, sesetengah pihak mendakwa Zahid membuat pusingan U apabila menyokong PN semula. Walau bagaimanapun, dakwaan itu ditepis oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa, yang mendakwa Zahid mengutamakan nyawa, dan kesihatan rakyat.

Bagus, tetapi benarkah Umno lebih mementingkan kesejahteraan rakyat? Sejak bila mereka sedemikian? Jika benar prihatin, Umno tidak akan menyokong pengkhianatan yang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kalau mereka mengutamakan rakyat/tidak mahu berkuasa semula, Umno wajar membiarkan PH terus mentadbir negara.

Sambil melihat gencatan politik itu barangkali dicapai selepas rundingan di belakang tabir antara pemimpin PN bagi mengelakkan situasi kalah-kalah, terutamanya ketika ancaman Covid-19 melanda rakyat, Jeniri merasakan mungkin juga ada faktor lain. Menurut Jeniri, mungkin ‘pusingan U’ itu dilakukan oleh Zahid kerana menerima asakan pemimpin Umno selepas mengeluarkan kenyataan yang bersifat sepihak. Harus disedari bahawa dalam Umno ada puak yang menyokong Anwar, dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, kenyataan Annuar tidak boleh diterima bulat-bulat kerana hakikatnya, perubahan dari segi kepimpinan – walaupun turut mengambil kira isu dan Covid-19 – juga ada kaitan dengan pergolakan, dan tentangan dalaman dalam Umno sendiri.

Tambah Jeniri, perubahan pendirian itu sebahagian daripada reaksi kepada asakan dan tindak balas pimpinan puak lain yang menentang tindak-tanduk, dan keputusan atau kenyataan Zahid.

Bagi Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kadir Jasin, pengumuman Zahid itu merupakan pengulangan apa yang dilakukannya pada 1998 selepas Anwar dipecat dari Umno dan Kabinet. Ertinya, Zahid tidak berubah – hanya mahu ‘hidup’, dan ‘cari makan’ sahaja.

Pada 1998, Zahid membuat keputusan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beliau terus hidup. Pada 2020, Zahid menyokong Muhyiddin dengan harapan akan terus hidup.

Jadi, tindakan yang kelihatan lebih kepada membela diri dan parti sendiri inikah yang dikatakan membela rakyat?

Penganalisis politik, Wong Chin Huat juga meramalkan gencatan politik Umno itu tidak akan berkekalan. Umno dan PPBM, katanya, merupakan saingan bukan hanya untuk (jawatan) menteri, tetapi akhirnya pesaing yang ‘mencintai kekasih yang sama’ – kerusi majoriti nasionalis Melayu.

Wong, ahli sains politik bertanya bolehkah ‘dua lelaki yang cemburu dan berkongsi kekasih yang sama’ menjadi teman sejati. Jelas Wong, Umno dan PPBM perlu berkongsi kawasan pilihan raya di kawasan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti berikutan sistem ‘first past the post’ yang diamalkan di negara ini.

Isu pokoknya ialah adakah 15 kerusi Parlimen yang PPBM ambil dari Umno harus dikembalikan kepada Umno, dan di situ tidak boleh (situasi) menang-menang.

Jika Umno diberi laluan, Wong meramalkan PPBM hanya akan memenangi tidak lebih daripada 20 kerusi pada PRU15 nanti. Kalau PPBM yang diberikan laluan, Umno mungkin kehilangan peluang seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu.

Semasa PRU14, Umno memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah. Pada 2019, lapan Adunnya melompat menyertai PPBM.

Ketika PRN Sabah, Umno hanya berjaya meletakkan calon di dua daripada lapan kerusi, dan hanya menang satu.
Umno tidak mensabotaj PPBM yang merebut 19 kerusi. Namun demikian, tambah Wong, Umno ada enam daripada 26 kerusi yang ditandingi menentang Parti Bersatu Sabah (PBS) atau Parti Solidariti Tanah Airku (Star) yang dibayangi PPBM.

Daripada enam pertandingan yang dihadapi Umno menentang PBS atau Star, ia hanya menang satu kerusi.
Lebih memburukkan keadaan, kata Wong, Umno gagal mendapatkan jawatan ketua menteri, walaupun merupakan parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam gabungan Gabungan Rakyat Sabah.

Justeru, Wong meramalkan ‘gencatan politik’ yang diumumkan Umno kemungkinan akan diikuti dengan rombakan Kabinet. Jadi, di mana amannya keadaan? Hanya melunakkan sebutan sahaja!

‘Mimpi buruk’ PPBM, kata Wong, akan berterusan. Menteri-menteri Umno akan menggunakan jawatan mereka untuk mengisi kehendak menghadapi PPBM pada PRU15 nanti.

Penyokong kedua-dua parti juga akan berebut kedudukan dalam syarikat bersandarkan kerajaan, pelantikan politik pada peringkat rendah, dan kontrak tidak lama lagi.

Justeru, Wong memnyimpulkan bahawa dua lelaki yang berkongsi kekasih yang sama itu tidak akan berdamai. Perdana Menteri, katanya, tidak akan dapat keluar daripada masalah, dan Malaysia juga tidak keluar daripada perebutan kuasa.

 Rayusa seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan