Manfaat lebih baik boleh henti amalan lompat parti, kata Ahli Parlimen


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggesa pembaharuan dilakukan untuk memberikan Ahli Parlimen pembangkang lebih banyak manfaat, dan kuasa, bagi mengekang amalan lompat parti akibat rasa tidak puas hati.

Ahli Parlimen PKR itu mencadangkan empat cara untuk menangani amalan lompat parti, iaitu topik yang mendapat perhatian baru-baru ini selepas beberapa ADUN Johor menyertai PKR, manakala dua Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin Yassin.

Bercakap dalam sesi perbincangan dalam talian mingguan, Wong berkata, dengan memberikan peruntukan sama atau lebih baik kepada Ahli Parlimen pembangkang berbanding wakil rakyat kerajaan, serta memperuntukkan jawatan pengerusi Jawatankuasa Pilihan untuk mereka, akan mengurangkan rasuah, seterusnya memperkasakan mereka untuk kekal bersama pembangkang.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik ialah meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang amalan lompat parti, tetapi “hampir mustahil untuk mendapatkan majoriti 2/3 yang diperlukan”, namun ada penyelesaian boleh laksana lebih baik yang hanya memerlukan majoriti mudah.

“Kebanyakan mereka yang melompat parti mendakwa melakukannya demi rakyat. Mereka mendakwa rakyat tiada wang, mereka pula tidak mendapat peruntukan diperlukan untuk dibelanjakan bagi rakyat, jadi mereka terpaksa menyertai kerajaan.

“Penyelesaiannya mudah, pastikan setiap Ahli Parlimen mendapat jumlah peruntukan untuk masyarakat dan sumber yang sama.”

Beliau memberi contoh Norway, di mana pembangkang mendapat peruntukan lebih tinggi, berikutan wakil rakyat kerajaan berpeluang membuat permohonan khas kepada menteri mereka, tetapi bukannya Ahli Parlimen pembangkang.

Tambahan, katanya, Ahli Parlimen patut dilarang memegang jawatan dalam syarikat kerajaan, menghapuskan godaan daripada peluang untuk mendapat kedudukan menguntungkan.

Sebaliknya, semua Ahli Parlimen patut diletakkan di Jawatankuasa Pilihan yang akan membuka peluang untuk menerima elaun tambahan, sekiranya dilantik menjadi pengerusi atau timbalan pengerusi.

Beliau turut menyokong pengisytiharan aset diaudit wajib untuk semua Ahli Parlimen dan menganggap proses itu ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak dibuat dengan betul kerana ada wakil rakyat yang mengisytiharkan jumlah aset rendah “tidak masuk akal”.

“Sebaik saja seseorang menjadi Ahli Parlimen, mereka patut mendapat audit kemasukan dengan mengisytiharkan aset, kemudian juruaudit profesional mengesahkannya dan ketua audit negara boleh menyiasat dari semasa ke semasa untuk memastikan ia tepat.”

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan