Tempoh memanjang, Ingatan memendek

Oleh Lim Hong Siang

Saya terganggu apabila ternampak ulasan bahawa pembangkang sebenarnya menjaja isu lapuk jikalau membangkitkan kes Altantuya, Teoh Beng Hock dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, apabila sesetengah daripada penyokong pembangkang juga termakan dengan propaganda sedemikian. Lama-kelamaan, pembangkang dituduh mengeksploitasi saki-baki nilai yang ada pada mangsa untuk dijadikan modal politik.

Saya tidak menolak wujudnya politikus pembangkang yang mengerah simpati massa dengan kezaliman yang berlaku ke atas mangsa. Memang sukar untuk kita bezakan, siapa yang berjuang dengan tulus hatinya untuk menegakkan keadilan, dan siapa pula yang menghangatkan semula isu ini untuk meraih keuntungan politik.

Namun persoalan yang lebih besar, apakah isu ini telah diselesaikan? Apakah kita telah mengetahui motif di sebalik pembunuhan Altantuya oleh tertuduh Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang tidak mengenali Altantuya sebelum ini? Adakah suspek yang bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock telah dikenalpasti, disiasat, dihadap ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman yang setimpal?

Persoalan-persoalan asas ini langsung tidak dijawab, dan kekal tidak terjawab. Ia dibiarkan supaya masa membunuh kemusykilan dan kesangsian hari demi hari. Kalau ditanya orang awam pada ketika kes itu heboh diperkatakan, semuanya celik dan berkata, sengaja kerajaan Barisan Nasional menangguh-nangguhkan prosesnya, supaya rakyat melupakannya. Namun rakyat yang celik ini jugalah yang akhirnya jemu apabila isu-isu ini diungkit berulangan.

Apakah isu ini tamat di situ? Anak Altantuya masih terpinga-pinga ke mana ibunya pergi. Bapa Altantuya masih mengeluh setelah penat bermarahan.

Bagaimana dengan anak mendiang Beng Hock, yang langsung tidak pernah menemui wajah ayahnya sejak dilahirkan? Menurut satu wawancara bersama Teoh Lee Lan pada tahun 2014, anak mendiang Beng Hock cuma mengenali ayahnya dengan potrait yang tertera pada baju “Keadilan Untuk Beng Hock”. Apabila ditanyakan, ke manakah ayah kamu? Dia sekadar menjawab, ayah saya sudah mati, tanpa dia sendiri faham apakah maksud mati. Untuk anak mendiang Beng Hock, ia sekadar satu jawapan, tidak berbeza jika dia menjawab ibu saya pergi kerja, apabila ditanya ke mana ibu kamu.

Kesengsaraan yang tercetus lantaran kehilangan kedua-dua nyawa ini terus menular, memberi kesan kepada keluarga masing-masing, sungguhpun isunya semakin dingin. Ia bagai luka yang tidak dibalut untuk menghentikan darahnya. Ia dinafikan, dibiarkan, dan akhirnya bernanah. Khalayak ramai disibukkan dengan isu-isu baru yang lebih hangat, dan isu yang belum selesai ini dibiarkan dingin dan basi. Semakin lawan semakin bersendirian, barangkali inilah yang dirasakan keluarga mendiang. Akhirnya kemenangan milik sang penguasa yang melakukan kezaliman.

Demikianlah hakikatnya. Untuk sesiapa yang masih berhati perut, semestinya rasa bersalah. Memang kebanyakan kita kepenatan kerana isu yang muncul tidak habis-habis. Namun, persoalan yang lebih besar di sebaliknya adalah, bagaimana sang penguasa boleh memanipulasikan ingatan sesebuah masyarakat untuk memenuhi kepentingannya.

Dengan jentera yang dikuasainya, dari institusi kehakiman, pasukan polis, hinggalah media, penjenayahan boleh berlaku tanpa penjenayah. Ingat lagi bagaimana isu Altantuya cuba dipadamkan dari media ketika ia terdedah? Kes yang begitu sensasi, sarat dengan unsur seks, keganasan, pergelutan kuasa, tetapi dilaporkan seringkas mungkin. Bahan bukti misalnya sms daripada Najib kepada Shafee Abdullah berhubung tertuduh ketiga Razak Baginda, di-irrelevan-kan. Segala-galanya berjalan dalam keadaan terkawal. Tiada motif pembunuhan, yang ada cuma motif untuk menyembunyikan motif pembunuhan.

Begitu juga dengan kes Beng Hock. Sungguhpun diakhiri dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada September 2014, bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali – Namun, setelah tiga tahun berlalu, mengapa suspek yang terbabit masih tidak dikenalpasti, disiasat, ditahan dan dihadap ke muka pengadilan?

Malah dengan kuasa yang terpusat dalam tangan, kes gajah sebesar 1MDB pun boleh di-irrelevan-kan! Ia sedang berlangsung, dengan wang berbilion-billion disonglap, disiasat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (yang bekerja mengikut telunjuk Anwar Ibrahim dari penjara Sungai Buloh), menghiasi muka depan akhbar di negara asing – tetapi tidak menjadi kes di Malaysia!

Jikalau fenomena ini dibiarkan, sudah tentu penguasa tidak takut untuk melakukan kesalahan pada masa depan. Kerana mereka akan diselamatkan masa, selain jentera negara yang dikuasainya.

Walaupun rakyat mungkin meluap-luap apinya pada permulaan, tetapi kemarahannya akan mereda mengikut masa. Apabila tempohnya memanjang, ingatannya pula yang akan memendek. Betapa besar sekali satu-satu isu, jikalau dilengah-lengahkan, ditangguh-tangguhkan, disenyap-senyapkan, ia akan mendingin, basi, lapuk dan akhirnya menjadi bukan isu.

Sesungguhnya kita tidak berkuasa, tetapi kita memiliki ingatan. Selagi kita ingat, kita tidak pasrah. Kita lawan dengan ingatan. Untuk kes yang belum terjawab, kitalah jawapannya
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Sdr Lim Hong Siong, itulah realitinya demokrasi di negara tercinta ini, penuh dengan manipulasi menurut kehendak yang berkuasa. Namun dalam kita terus bergerak meneruskan perjuangan, kita hendaklah sentiasa waspada dan bijaksana, jangan terulang lagi musibah dan kegagalan yang diciptakan oleh kita sendiri. Saya amat yakin bahawa masih ada cahaya kebenaran dan keadilan di hujung jalan pengembaraan perjuangan kita. Allah itu Maha Kaya Dan Maha Adil. Kita perlu terus berusaha dan terus berdoa serta hindari lah perbalahan sesama sendiri. Seandainya PH berjaya ke Putrajaya, kita bakal MEMBINA SEMULA NEGARA TERCINTA INI DENGAN ACUAN YANG LEBIH BAIK LAGI.

    BalasPadam