Oleh MOHD SYAFIQ AZMI
Melayu bukanlah dikenali sebagai bangsa yang mundur dari segi
pemikirannya. Kejumudan itu memang benar meliputi sebahagian besar
Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.
Persoalannya apakah mereka sendiri yang sebenarnya mahu menjadi
bangsa paling belakang dalam pengamalan semua cabang tidak kira ekonomi,
politik dan sosial?
Jawabannya hampir pasti tidak mudah untuk kita jawab walau sejak
azali kita lahir sebagai Melayu. Kematian minda Melayu ini hakikatnya
telah berlaku sekian lama.
Kelesuan pemikiran Melayu menatijahkan pelbagai kesan yang menjadi
bukti persoalan yang penulis lontarkan seperti tajuk awal. Melayu yang
berdiri hari ini lebih suka disuap hingga mereka menjadi zombi alam
Melayu di zaman moden.
Penulis mempunyai pandangan bahawa perubahan pemikiran Melayu hanya
mampu berlaku bila mana ‘taqlid’ yang diaplikasikan secara mutlak oleh
namanya bani Melayu beransur lenyap. Memang benar bahawa agama itu
sesuatu yang penting dalam menggerakkan kehidupan manusia.
Oleh yang demikian, jika ‘reformasi’ intitusi mahu dilihat berlaku
seperti mana yang pernah dilalui Islam suatu ketika dahulu, maka tinggal
hanya satu cara iaitu perlu berlakunya ‘pengislaha’ dalam erti kata
yang menyeluruh dengan merubah cara umat hari ini berfikir.
Di dalam Surah Ar-Ra’d ayat ke-11, Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Maka jelas ayat diatas menuntut untuk manusia itu tidak hanya
berserah diri atau meredhakan segala penindasan tidak kira dari sisi
fizikal, emosi dan spritual terhadap diri kita secara khusus dan umumnya
kepada komuniti yang kita menjadi ahlinya.
Sudah tentu tuhan yang maha pencipta adil pada hambanya yang
berusaha. Bukan terus menyerah segala kejadian sama ada baik atau buruk
kepada tuhan.
Ketika inilah taqlid akan dimainkan peranannya. Setiap kejadian dan
kerosakan akibat tangan segelintir daripada kita akan terus diletakkan
musibah tersebut datangnya dari tuhan. Kemandulan pemikiran lahir kerana
sifat takut yang ditanam berabad lamanya.
Segalanya perlu digantungkan kepada bahu orang lain dan sifat-sifat
inilah yang akan membawa umat serta kemajuan ke tahap yang semakin
rendah.
“Tidak ada yang boleh menggaru gatal kulitmu.Sama seperti kuku
tanganmu sendiri. Sebab itu buatlah olehmu sendiri,Segala kerja
tanggungan dirimu.”
Begitulah nukilan rangkap syair Arab yang diabadikan Za’ba di dalam
bukunya. Tambah Za’ba lagi sesuatu bangsa itu maju kerana diri mereka
itu dimajukan terlebih dahulu. Apabila diri kita berjaya, maka seluruh
bangsa tersebut akan terus mencipta ketamadunan mereka yang akan dibaca
sebagai coretan sejarah generasi mendatang. Dan begitulah juga
sebaliknya.
Mungkin sebahagian pembaca meyakini mereka sudah awal dan berada di
laluan yang betul seperti apa yang penulis kongsikan. Namun penulis juga
menyedari dan menginsafi bahawa kita sebenarnya masih tidak bersedia
mencipta zaman Islam yang melalui reformasi dari sudut
‘intelektualismenya.
Sikap yang diawalnya telah disebut sebagai taqlid itu bakal
menggagalkan segala rencana untuk Islam kembali kezamannya yang mahsyur
dengan nama seperti Al-Farabi(m. 872-950), Al-Batani(m.858-929), Ibnu
Sina(m. 980-1037), Al-Khawarizmi(m. 780-850) dan ramai lagi.
Dari kalangan nama yang dinyatakan atau tidak, mereka ini menjadi
pelopor dalam bidang seperti matematik,ilmu alam, teolog
i, ilmu politik
dan kenegaraan, ilmu astronomi, ilmu perubatan dan banyak lagi.
Ketika itu Islam dilihat gah menerusi kajian yang dibangunkan oleh
cendiakawan yang dikenali sebagai muslim oleh masyarakat di era
tersebut. Hebatnya mereka sekaligus menaikkan martabat Islam itu ke
suatu tahap yang tinggi hingga menjadi rujukan kepada bangsa dan agama
lain dan ilmu penemuan mereka diguna pakai hingga saat ini.
Tapi dimana kegemilangan Islam yang mampu kita banggakan dewasa ini.
Seringkali kita ini lantas ditakrif oleh sekelompok manusia digelar
sebagai ‘teroris’. Bila berlaku pengeboman berani mati atau tidak cukup
gampang jari telunjuk mereka menuding ke arah yang namanya Islam.
Salah siapa? Mereka atau kita? Atau kita tetap memilih untuk redha
dan menganggap ini adalah takdir Allah yang kita tidak mampu
mengubahnya.
Sudah-sudahlah kita menunggang agama Allah sewenangnya, tidak cukup
itu kita semudah-mudahnya meletakkan salah itu juga dengan menjual kalam
ini memang dikehendaki Allah sedang tangan kita ini yang merosakkannya.
Itu belum lagi kita telusuri perihal kewujudan ajaib dan mistik untuk membuktikan keabsahan agama dalam kehidupan ‘bani melayu’.
Sikap dan pemikiran berserah tanpa kesungguhan usaha akan membiarkan
masyarakat terus ditipu dan dilalaikan dengan rekayasa mereka yang
berkepentingan.
Dengan hanya menyebut sedikit basmalah dan ayat agama masyarakat akan
percaya dengan tanpa bertanya. Bak kata seorang kenalan penulis,
kasihan jin yang ada kerana nama mereka ditunggang dan difitnah oleh
manusia.
Oleh sebab itu penulis mahu mengajak para pembaca untuk berfikir
apakah dunia muslim dan melayu ini akan berakhir dengan sikap kita yang
beku, lesu dan malas untuk bergerak ke arah perubahan yang lebih baik.
Kita sering untuk bersandar kepada doa orang lain walhal ketaqwaan
kita itu dihitung bersendirian. Kitalah yang harus menanggung segala
pekerjaan baik dan buruk kita didunia sebelum pulang ke kampung abadi
kelak.
Minda Melayu menjadi ‘mandom’ di atas banyak sebab dan antaranya
adalah penyerahan minda itu kepada mereka kononnya berada ditingkat yang
lebih tinggi daripada yang lain.
Kematian minda itu membawa makna tiada lagi daya upaya si pemilik
otak itu untuk berfikir dengan sendirinya. Sikap taqlid buta bukan saja
mampu membutakan mata minda, malah ia akan mematikan juga mata jiwa
kesan daripada penyerahan hak minda untuk berfikir secara fitrahnya.
Penulis optimis bahawa akan ada dalam kita dalam alam Melayu ini akan
menjadi penerobos kepada pemikiran yang berani, kritis dan segar
sebagai pemacu yang namanya Melayu untuk tidak layu dan kaku kerana
tiada dosanya untuk kita menerajang pimpinan bangsa yang menarik kita
bersama menzalimi masa depan kita semua.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan