Oleh Ahmad Lutfi Othman
Sudah lumrah bagi pembangkang untuk mencari kelemahan dan kesalahan
kerajaan, biar sekecil mana pun, sebagai modal politik mencari pengaruh.
Ada orang menyifatkannya bagai menangguk di air keruh. Segalanya mahu
dimanipulasi, atau mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Label
negatif pun dilemparkan bagi memudahkan persepsi awam dibentuk.
Secara peribadi, saya mengalu-alukan kritikan, teguran hatta kecaman
keras, daripada pembangkang, NGO serta termasuk gerakan mahasiswa kepada
kerajaan Pakatan Harapan sekarang. Dr Mahathir Mohamad sejak awal
menerima hakikat, suatu kelaziman bagi mana-mana seteru politik mencari
kelemahan pihak lawan, termasuk mencipta label negatif dan buruk.
Dalam keadaan banyak janji-janji manifesto PRU14 tidak tertunai, malah
berubah-ubah pendirian kerajaan, misalnya mengenai pembayaran balik
PTPTN, maka sudah dijangka reaksi negatif rakyat, khususnya graduan yang
terbeban dengan gaji yang kecil.
Begitu juga tentang pemansuhan tol, harga minyak, menurunkan kos sara
hidup, bantuan kepada pesawah-nelayan-penoreh, peluang pekerjaan,
kemudahan kesihatan dan sebagainya.
Rakyat mahu melihat dan merasai dasar serta program kerajaan baharu yang
memberi impak positif dalam kehidupan seharian. Sesuatu yang
dekat-rapat dengan mereka; apakah pemansuhan GST dan memperkenalkan
semula SST memberi nilai tambah kepada pendapatan mereka yang tidak
berubah?
Sebenarnya elemen pembaharuan yang tidak nampak jelas dan serta-merta
kesannya pada mata kasar, telah banyak diusahakan. Misalnya pengukuhan
instutusi strategik negara, mengembalikan sistem perkhidmatan awam yang
berintegriti dan bebas politik, program memerangi korupsi, memulihkan
kebebasan media, menjelaskan doktrin pemisahan kuasa, mengurangkan kuasa
perdana menteri, memperkasa jabatan peguam negara, badan kehakiman yang
independen, suara rakyat dihormati dan banyak lagi.
Serentak masa yang sama, pencuri dana awam, perasuah, pelaku pecah
amanah menunggu giliran untuk dibicarakan. Mekanisme atau prosedur
salahguna kuasa yang membabitkan berbilion wang rakyat terbongkar. Tekad
yang serius untuk mengembalikan wang yang dicuri ke dalam kantung
negara.
Bagi saya, pendedahan amalan terkutuk regim yang ditumbangkan itu perlu
digiatkan lagi. Rasuah adalah jenayah paling sukar dibuktikan dan masih
ramai warga yang tidak sensitif dan peka dengan kejahatan ini. Malah
penjenayah rasuah, di kalangan ahli politik, yang terbukti salah oleh
mahkamah tetap dianggap wira, mungkin kerana telah banyak membantu orang
ramai di waktu berkuasa.
Langkah reformasi institusi dan suntikan rasa kelegaan di era Malaysia
Baharu ini, pada hemat saya, boleh diberikan penghargaan. Sistem
ketatanegaraan juga di atas landasan yang betul.
Rakyat tidak lagi diserkup budaya takut. Cengkaman mentaliti hamba
sedang dirongkai. Berbeda pendapat bukan lagi satu kesalahan. Tiada lagi
pukulan belantan, tembakan gas pemedih mata, semburan air gatal untuk
menyuraikan demonstrasi aman. Akta-akta drakonian dalam proses
pemansuhan tetapi anda tidak akan ditangkap hanya kerana lantang
bersuara dan mengatur tunjuk perasaan.
Maka, di sana sini, parti pembangkang dan golongan pendesak bebas
berhimpun dan meluahkan amarah, termasuk dalam isu-isu yang dianggap
sensitif. Harapnya Akta Hasutan yang belum dimansuh atau dipinda itu,
tidak digunakan untuk mendiamkan kritikan.
Sebagai penyokong Pakatan Harapan, saya langsung tidak terusik dengan
segala bantahan dan provokasi itu. Pemerintah mesti diperiksa dan
diteropong bagi menghindari salahguna kuasa. Malah kuasa harus
dilimitkan. Kerajaan memerlukan maklum balas, pro dan kontra, yang cepat
daripada rakyat. Justeru media bebas amat membantu untuk menyalurkan
rasa tidak puas hati masyarakat.
Cuma, saya tak nampak justifikasi ungkapan yang sering digunakan, iaitu
“PH lebih teruk dan lebih kejam daripada BN”. Memang banyak janji belum
tertunai, dasar dan program baru belum terserlah, keperitan hidup rakyat
belum terbela, prestasi menteri tidak mencapai target. Tetapi kerangka
pembaharuan negara, saya kira, adalah atas landasan yang betul,
kerosakan regim lama ditangani dengan serius, dan masa-peluang wajar
diberikan. Good governance atau tadbir urus yang baik adalah sasaran
yang mahu dicapai.
Boleh saja teruskan teguran, hatta pembantaian, dan kita memang perlukan
mekanisme semak-imbang, tetapi saya yakin kalimah “PH lebih teruk dan
kejam daripada BN” adalah keterlaluan. Itu pemikiran bebal dan
simplistik. Saya teringin sekali mendengar hujah dan fakta yang
menyokong kalimah itu.
Apakah segala isu yang menggugat negara selama ini tidak dianggap
jenayah terburuk, seperti skandal mega 1MDB, korupsi peringkat tertinggi
termasuk dalam GLC dan badan-badan amanah, gaya hidup super mewah
pembesar dan isteri, ketirisan melampau dana awam serta kebocoran
subsidi, juga kaedah pembiayaan politik bersumberkan wang pembayar
cukai.
Jika Umno enggan mengakui dosa sendiri, itu dapat difahami. Tetapi
bagaimana dengan sikap sama Pas, yang turut menganggap prestasi enam
bulan PH lebih buruk daripada pemerintahan Umno-BN selama enam dekad?
Bukan pula mengharapkan Pas memuji langkah PH kerana ia juga sebuah
parti pembangkang. Hamburlah kritikan dan bangkangan atas kelemahan yang
ada; mengapa mahu dibandingkan dengan rekod buruk kerajaan terdahulu,
yang mereput dari kepala sampai ke ekor?
Mungkin ada pihak memberi respons awal, hak orang Melayu-Islam semakin
terhakis. Banyak posisi penting dan strategik diisi oleh bukan Islam.
Institusi Raja Melayu dikritik dan dipersenda. Bahasa kebangsaan luntur
martabatnya. Dana untuk aktiviti Islam dikurangkan. Kontroversi Icerd
juga dikemukakan sebagai bukti terbaru PH sengaja “menjolok sarang
tebuan”. Ia memang mudah meraih sokongan apabila sentimen kaum dan
sensitiviti agama digunakan. Rasional pembuktian tidak diperlukan
apabila semangat berkobar-kobar meledak. Angka berkaitan Belanjawan 2019
juga ditafsirkan menurut kehendak sendiri.
PM sendiri mengakui masih banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum
kerajaan memutuskan pendirian terhadap Icerd. Dan tambah Dr Mahathir,
hampir mustahil untuk melaksanakan Icerd. Bakal PM, Anwar Ibrahim juga
menekankan soal keresahan dan kerungsingan rakyat mesti ditangani
dahulu. AMANAH dan Bersatu telah mengeluarkan kenyataan menolaknya
meskipun bersetuju dengan prinsip asas menolak diskriminasi atas nama
kaum.
Sesungguhnya, walaupun politik baharu dikatakan mendapat tempat seawal
1999, namun amalan praktis siyasah usang tetap mengakar. Cabaran besar
buat pembaharu yang mendukung kesederhanaan, memerangi ekstremisme,
memupuk toleransi dan permuafakatan, menolak fanatisme.
Penekanan yang saya ingin fokuskan adalah, sementara pengkritik terus
mencari-cari alasan untuk merendah-rendahkan kerajaan … ya, teruskan …
tetapi menyamakan, malah mendakwa pemerintah sekarang lebih teruk dan
kejam daripada Umno-BN, bagi saya, langsung tidak mempunyai rasional
yang kuat. Ia sekadar frasa cliche untuk menyerang kerajaan PH dengan
mengocak sentimen agama.
Apakah mahu mengatakan regim korup-kleptokrat 61 tahun lebih baik berbanding 6 bulan pemerintahan PH?
Sebaik Umno-BN tumbang, pembangkang tidak henti-henti menggunakan
isu-isu kaum dan agama. Kebetulan ahli Parlimen kerajaan yang beragama
Islam kurang sedikit berbanding MP Pakatan yang non-Muslim. Maka dakyah
bahawa DAP yang dikatakan mendominasi kerajaan terus berleluasa walaupun
tohmahan itu tidak berasas. Anggota Kabinet daripada DAP hampir sama
sahaja dengan wakil komponen PH yang lain, termasuk AMANAH. Perdana
Menteri sejak awal menekankan bahawa semua parti dilayan sebagai equal
partner. Malangnya ada pula anggota kerajaan yang terjebak dengan turut
sama “bermain api”.
Justeru, saya bukan sahaja sokong pendedahan salahguna kuasa kerajaan
terdahulu, tetapi mahu segala amalan korupsi dan pecah amanah itu
dibongkar secara mendalam. Biar imiginasi rakyat mudah menangkap
kebobrokan berantai atau korupsi berjemaah yang berlaku.
Sekurang-kurangnya biar tersingkap bagaimana agensi atau institusi
berkaitan orang Melayu diuruskan selama ini, seperti Felda, Mara, Tabung
Haji. Masih ramai yang kelabu mata untuk fahami kebusukan hanyir yang
ditinggalkan Umno-BN ini.
Harus ada penjelasan dan pencerahan yang terperinci serta boleh difahami
dengan senang atas jenayah merompak-mencuri khazanah negara itu.
Kita juga masih menunggu skandal di peringkat kerajaan negeri terungkap
sama. Kebetulan semasa menonton FB Live Konvensyen AMANAH Negeri Johor
baru-baru ini, saya tertarik ucapan Menteri Besar yang mendedahkan
kepincangan kewangan kerajaan BN terdahulu. Ia berkaitan tabung
pembinaan rumah mampu milik. Memang skalanya jauh lebih kecil daripada
1MDB tetapi tetap perlu dibongkar kerana mengkhianati amanah rakyat.
Benar, segala tohmahan dan serangan pembangkang tidak berupaya
dilunakkan. Sehingga PRU15, mereka akan menyusun asakan bertali-arus
bagi merebut kuasa.
PH memikul tanggungjawab berat untuk memenangi hati dan minda rakyat
selepas mandat diperolehi. Majoriti dapat memahami kekangan besar
kerajaan baharu, asalkan pemimpin bekerja kuat dan ikhlas. Mereka boleh
menerima kekurangan dari segi pengalaman anggota pentadbiran, dengan
syarat cepat belajar dan berjiwa besar membawa perubahan.
Sebenarnya tiada pengalaman itu juga merupakan satu kelebihan kerana
tidak terpalit dengan sebarang kecurangan lampau. Begitu juga dengan
bekalan idealisme perjuangan yang dipupuk semasa pembangkang dahulu
sebagai pemangkin usaha reformasi struktural yang amat diperlukan.
Ditindas sewaktu lama menjadi oposisi memberi pengajaran agar tidak berlaku zalim ketika berkuasa.
Biarkan Umno-Pas berpadu dan berpakat, dengan segala kecaman dan
tohmahan yang ditujukan kepada kerajaan. Mereka selesa menikmati iklim
segar kebebasan akhbar, apatah lagi dua harian utama, masih memberi
ruang untuk suara berbeda daripada PH. Di bawah Malaysia Baharu kita
dituntut lebih terbuka dengan pandangan berlawanan.
Hakikatnya, rakyat bukan sahaja berani-bijak menurunkan regim korup dan
kleptokrat dalam PFU14 tetapi juga bersedia membuat penilaian matang
terhadap prestasi kerajaan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan