Hukum Politik vs Hukum Agama
Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi
Bagi pentaksub parti itu, parti itu ibarat agama. Hukum parti itu adalah hukum agama. Lawan parti itu lawan agama.
Kadang-kadang keputusan parti itu atau pendapat ulama parti itu diangkat menjadi hukum agama. Dalilnya ialah "ulama kami kata."
Hukum agama sumbernya adalah agama. Benda yang agama kata haram adalah haram. Begitu juga dengan hukum agama yang lain sama ada halal, harus, sah dan batal.
Hukum agama tidak boleh diputar pusing sesuka hati. Benda yang agama kata halal, tak boleh jadi haram. Begitu juga sebaliknya.
Kecuali, ada sumber agama juga yang menyebut hal itu boleh menjadi haram atau sebaliknya. Misalnya, hukum asal makan babi adalah haram.
Makan babi jadi halal (atau boleh makan tapi kekal hukum haram) apabila ada sumber agama yang kata halal. Maknanya, perubahan hukum (fatwa) makan babi sama ada haram atau sebaliknya adalah agama.
Perubahan hukum dalam agama dibenarkan tapi mohor kebenaran itu mesti diperolehi daripada agama. Agama maksudnya, kitab Allah, sunnah rasul dan ijtihad mujtahid.
Hukum politik dibuat oleh orang politik. Tak semestinya hukum politik menjadi hukum agama. Sebab sumber hukum politik adalah orang politik.
Orang politik ada kepentingan politiknya. Termasuk orang politik daripada parti berlabel agama. Siapa kata orang politik parti berlabel agama tak ada nafsu?
Apabila sesebuah parti politik memakai label agama, berlakulah kecelaruan antara hukum agama dan hukum politik. Sama ada hukum agama dipolitikkan atau hukum politik diagamakan.
Contohnya, keluar parti berlabel agama. Bagi orang parti itu, keluar parti itu adalah haram.
Sedangkan keluar parti politik adalah tindakan politik. Dan haram pula adalah hukum agama.
Apabila keluar parti itu dihukum haram dari sudut agama, bermakna hukum agama sudah dipolitikkan. Maknanya menjadikan hukum agama sebagai bahan untuk menguntungkan parti politik.
Atau kerja politik sudah diagamakan. Yakni membalut kerja politik dengan fatwa agama supaya kerja politik itu nampak seperti kerja agama dan boleh diguna hukum agama.
Sedangkan keluar masuk parti politik adalah aktiviti politik secara langsung bukan aktiviti agama secara langsung seperti solat atau puasa.
Lompat parti adalah kerja politik. Usah diguna hukum agama dengan istilah halal dan haram dalam kerja politik sebegitu.
Kalau mahu diguna juga hukum agama, gunakan hukum harus. Sebab hukum asal kepada aktiviti politik adalah harus. Dan hukum harus juga adalah hukum agama.
Kita berbicara soal mandat rakyat melalui PRU 14 yang lalu. Wakil rakyat yang menang atas tiket PH tak wajar khianati mandat itu.
Saya guna istilah tak wajar, atau tak patut. Saya tak berani guna istilah agama iaitu haram. Sebab bagi saya, melompat keluar daripada PH adalah tindakan politik.
Jika dikata tindakan itu haram, bagaimana jika pihak lain melompat ke dalam PH? Adakah haram atau halal?
Jika melompat keluar kita kata haram, dan melompat masuk kita kata halal, bermakna kita sudah memperdagangkan agama untuk tujuan dan laba politik.
Melompat parti tidak perlu dilihat sepenuhnya dari kaca mata halal atau haram. Tindakan itu boleh dilihat dari kaca mata moral atau undang-undang
.
Maknanya, jika tindakan itu memudaratkan awam, mungkin suatu undang-undang untuk mencegahnya boleh dibuat.
Dari sudut moral, tindakan itu terdesah kepada hukuman secara moral juga daripada orang ramai seperti tidak mengundinya lagi dalam pilihanraya jika masih tercalon.
Kita jangan jadi seperti orang parti itu yang terus menjual agama sehingga kini. Parti mereka buat, halal. Parti lain buat, haram.
Melompat yang untung mereka halal, melompat yang untung pihak lain haram.
Penggunaan hukum agama halal dan haram secara sewenang-wenangnya dalam aktiviti politik adalah akar kepada pemikiran takfiri yang wajib dibanteras sehingga ke akar umbinya.
0 comments:
Catat Ulasan