Solat bentuk pekerja berintegriti

Oleh Nik Hasnah Ismail 

Solat dan bekerja perlu seiring. Bekerja dengan penuh kesungguhan dan pada masa sama melakukan ibadah solat, mewujudkan keberkatan dalam hidup. Kepentingan solat bukan sahaja melatih sifat disiplin, malah membina nilai integriti dalam diri.

 Ikuti kupasan mengenai solat dan tanggungjawab pekerja bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah di IKIMfm.

 Solat dan kerja mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain. Asas kedua-dua adalah ibadah yang saling berkait untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT. Kerja ibarat seperti entiti bangunan, manakala solat pula seperti tapak dan tiang yang menguatkan sesebuah bangunan.

Dalam rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di IKIMfm pada Rabu, jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, solat dapat melatih diri menyemai budaya hidup yang lebih teratur dan tersusun.

Dengan kata lain, solat dengan aturan waktu yang ditetapkan dapat melatih seseorang mengenai disiplin diri dan waktu.

Justeru, perkara ini amat penting bagi seseorang pekerja menjadi pekerja yang komited dalam melaksanakan tugas mereka.

Disiplin amat penting dalam sesebuah organisasi kerana pekerja yang berdisiplin mampu meningkatkan produktiviti dan menjayakan matlamat sesebuah organisasi menuju kejayaan.
Tingkat integriti, disiplin pekerja

Selain dapat membina disiplin diri, solat sebenarnya dapat meningkatkan integriti seseorang pekerja. Ia dapat dilihat melalui perbuatan solat itu sendiri, umpamanya bagi seseorang yang telah batal solatnya, hanya dia dan Allah sahaja yang tahu akan perkara itu. Jika ada nilai integriti dalam diri seseorang, pastinya mereka akan memulakan solatnya kembali, tetapi bagi yang tidak ada integriti dalam diri, mereka tidak akan mengambil endah mengenai hal itu.

Solat yang benar-benar dihayati akan dapat membentuk jati diri yang unggul dalam kalangan diri manusia. Ini amat penting bagi seseorang pekerja kerana nilai integriti yang akan membina sifat-sifat mahmudah dalam diri manusia.

Pekerja yang mempunyai nilai integriti tinggi akan dapat menghayati makna ibadah dalam pekerjaan, mengelak daripada melakukan perbuatan yang menjurus kepada dosa seperti rasuah, menipu dalam melaksanakan tugas, mencuri tulang, mengumpat dan perkara-perkara yang tidak baik.

Hakikatnya nilai integriti yang dibina melalui amalan solat ini akan dapat dilihat melalui perbuatan dan akhlak seseorang pekerja.

Amalan solat itu sendiri dapat diterjemahkan oleh pekerja dalam setiap perbuatan dan pekerjaannya.
Sebagai contoh, seseorang itu dibenarkan untuk menegur sikap majikan jika didapati melakukan kesilapan.
Ini juga berlaku di dalam ibadah solat. Jika seseorang imam terlupa atau terdapat khilaf seperti dalam bacaan ayat-ayat suci al-Quran ketika mengimami solat, seseorang makmun boleh memperbaiki bacaan solat berkenaan.

Begitu juga jika majikan didapati melakukan kesilapan, seseorang pekerja boleh menegur kesalahan itu dengan cara berhemah dan tertib supaya tidak berlaku sebarang salah faham atau perkara-perkara yang boleh menjejas reputasi organisasi berkenaan.

Bagaimanapun, majikan juga perlu lebih bersikap terbuka dalam menerima teguran kerana sebagai seorang manusia pasti tidak terlepas dalam membuat kesilapan.

Kedua-dua pihak pekerja dan majikan yang memahami erti solat pasti dapat memahami bahawa antara pekerja dan majikan memerlukan antara satu sama lain.

Sesungguhnya keredaan Allah SWT bukan hanya di tikar solat, tetapi keredaan Allah SWT juga wujud di premis organisasi tempat kita mencari rezeki dan kehidupan.

Cari keberkatan hidup di premis kerja

Justeru, jadikanlah premis kerja kita sebagai sejadah untuk kita mendapat keredaan dan keberkatan hidup dunia dan akhirat.

Bekerja dengan penuh kesungguhan dan pada masa sama melakukan amalan ibadah solat adalah dua perkara yang akan membina keperibadian yang tinggi dalam diri seseorang.

Bekerja sebagai satu tanggungjawab untuk melunaskan amanah Allah adalah perkara yang amat dituntut.

Seseorang yang bekerja secara bersungguh-sungguh kerana mahu menunaikan kewajipan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memenuhi tuntutan perintah Allah dalam melaksanakan amanah mereka.

Cara memberi kebaikan kepada orang lain adalah dengan bekerja atau berkhidmat adalah perbuatan yang amat mulia.

Seseorang yang memperelokkan perbuatannya melalui pekerjaan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh akan disayang Allah SWT dan disenangi oleh manusia lain.

Cuba bayangkan, jika ada pekerja yang rajin berusaha, gigih dalam melaksanakan tugas dan taat kepada perintah agama tentunya akan disenangi majikan dan rakan-rakan satu organisasi.

Seseorang yang faham akan tuntutan ajaran agama tidak akan sibuk mendapat pujian atau mencari penghormatan manusia, tetapi apa yang penting adalah keredaan Allah SWT.

Justeru mereka ini tidak akan sibuk mencari kesilapan orang lain atau merungut dengan apa yang ada di sekeliling mereka, tetapi akan selalu bertindak dan berusaha bagaimana memajukan organisasi tempat dia berkhidmat.

Sewajarnya tidak akan timbul sebarang konflik antara solatoliks dan workaholics kerana sewajarnya kedua-dua perkara itu perlu bergerak seiring dan difahami secara seimbang.

Seperti yang disebut oleh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bekerjalah untuk duniamu seakan-akan engkau hidup selamanya. Beramallah untuk akhiratmu seakan-akan engkau akan mati esok."

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa IKIMfm
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan