Rakyat harus 'memperalat' Mahathir.

Oleh Arif Atan


Saya agak terkejut membaca komentar seorang Melayu, bangsa saya sendiri pagi 26 Muharam 1439 ini yang sarat dengan kebencian apabila menyentuh soal siasah sehingga lupa kita ini hanya manusia bukan Tuhan.

Al-Quran banyak kali menekankan sikap adil dan jangan melampaui batas. Memanggil Mahathir sebagai "seekor sampah" dan mengulang dua kali kata "bodoh" dalam satu komentar lima baris di FB tentulah bukan satu petanda jiwa yang sihat.

Sebab apa yang diucap adalah cerminan hati. Tidak salah berbeza pandangan tapi janganlah kita sampai satu tahap menzalimi dan mengaibkan maruah diri.

Ya. Mahathir bukanlah pemimpin maksum. Dia pun dulu banyak rekod buruk sehingga digelar mahafiraun. Semua tahu, malah ada novel yang menggambarkan betapa teruknya dia ekoran peristiwa 1998 dulu.

Apapun, politik itu sifatnya berubah, dinamik tidak rigid. Tiada yang abadi di dunia ini termasuk sikap kita. Dunia pun berubah. 10 tahun dulu, siapa dapat bayangkan ada medium mudah untuk berkomunikasi seperti Facebook dan WhatsApp hari ini?

Sama juga, untuk tempoh 10 tahun akan datang. Kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku tetapi dunia sedang bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 dan budaya 'cashless' iaitu urusan jual beli tanpa transaksi tunai.

Apa lagi soal hati manusia lain.

Itu sebabnya, sesuai dengan penegasan Allah dalam Surah Fatir, 35:38, kita sebagai insan tidak harus berlebih-lebihan menjatuhkan hukuman kepada insan:

"Sesungguhnya Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Dia Maha Mengetahui segala isi hati."

Eh, kita sendiri pun bukan sempurna dan suci. Ada sisi hitam dan putih.

Simptom 'trauma' terhadap Mahathir sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri sehingga membawa gelombang Reformasi 1998, saya secara peribadi boleh faham dan bersimpati jika masih menghantui mereka yang secara langsung kena dengan kezalimannya ketika itu.

Begitu juga mereka tanpa mengira usia dalam PSM kini misalnya, yang konsisten kritis dan berpegang pada ideologi.

Tapi kalau kita orang awam yang ta'asub pada raja tidak mengenal batas, tunduk pada kapitalis enggan perkukuh barisan pekerja serta berumur 40-an ke bawah pun melatah lebih sudu dari kuah, reaksi itu maaf cakap, adalah keterlaluan.

Kalau kita faham maksud politik, sifir siasah paling mudah buat kita ingat sekarang ini ialah semua rakyat yang menolak kleptokrasi pada rejim sedia ada harus 'memperalat' Mahathir.
Ya. Rakyat harus 'memperalat' Mahathir.

Kenapa? Sebab kita berdepan rejim sedia ada yang mahakorup dan masih berkuasa. Kehadiran Mahathir dalam Pakatan Harapan walaupun saya sendiri dan ramai lagi pada peringkat awal mempertikaikannya, tetapi kita perlu sedar pentingnya mewujudkan situasi 'buku bertemu ruas' pada PRU-14 ini.

Sebabnya, masalah blok pembangkang sebelum ini adalah untuk menarik massa pengundi Melayu. Sekarang bila Pakatan Harapan dan Mahathir sudah boleh sepentas, kita sebagai rakyat yang malas berusaha dan takut untuk buat revolusi harus berlapang dada.

Kita sudah tiada pilihan lain untuk menjana kekuatan berdepan dengan gergasi BN yang menguasai segala aparatus termasuk media. Sosok berusia 93 tahun ini yang digelar "seekor sampah" itulah sudah terbukti menarik jumlah masyarakat Melayu terutama di luar bandar yang bukan sedikit untuk bersama Pakatan Harapan menentang BN.

"Poli" itu sendiri merujuk kepada banyak. Politik itu adalah dinamik bukan rigid. Musuh hari ini mungkin kawan hari esok, begitu juga sebaliknya sebab politik itu bertitik tolak dengan kuasa.
'Seni' perlawanan dalam berdepan satu kuasa parti pemerintah yang tidak pernah berganti untuk tempoh berpuluh tahun harus ada. Ibarat seberkas lidi. Kalau bersikap keakuan dan tiada budi bicara sehingga Pakatan Harapan menolak Mahathir atas apa berlaku 20 tahun lalu, BN-Najib-Rosmah hanya gelak saja sambil terus terbang dalam jet ke sana sini.

Sekarang, kalau anda membaca (Ya, Tuhan pun tekankan Iqra) dan meneliti jalur fikir semasa BN, mereka memang tak senang dgn Mahathir + parti Bersatu.

Contohnya, klik & baca laporan ini: https://malaysiadateline.com/selepas-berjaya-tarik-melayu…/…
Apa maksudnya?

Maksudnya, penerimaan Pakatan Harapan terhadap Mahathir dan Bersatu menguatkan lagi momentum untuk menentang BN.

BN tak suka situasi ini, dan adilkah kita pula tampil dengan sikap yang memberi kelebihan kepada BN yang sedang berkuasa.

Dalam real politik hari ini, ketika rakyat pun termasuk pembenci Mahathir takut untuk buat revolusi serta tiada blok lain yang mampu berdepan dengan BN yang menguasai segala alat di negara ini, tindakan mengutuk (mengkritik secara membina tiada masalah) pihak lain tanpa diri menyumbang sama melawan rejim yang berkuasa adalah sikap yang melampaui batas dan merugikan kita semua.

Tentang Mahathir itu, molek kita berlapang dada dan fokus dulu kepada pihak yang sedang menyalahguna kuasa. Bukankah wuduk setiap kali kita mahu mendirikan sembahyang, perlu diambil mengikut tertib?

Jadi, tentang Mahathir dan legasinya itu kita 'simpan' dulu. Ikut keutamaan. Fokus dalam usaha menangani mudarat lebih besar. Satu persatu. Yang dahulu, didahulukan. Yang kemudian, dikemudiankan.

Kalau semua mahu sekali harung, fikir itu salah, fikir ini salah. Akhirnya, fikiran jadi buntu. Satu usaha pun tidak terlaksana ketika rejim berkuasa terus bersuka ria lagi bahagia aman makmur sejahtera di Putrajaya.

Akhir sekali bacalah pesan Pendita Za'ba dalam 'Asohan Budi Menerusi Islam' (1958) ini:

* Kalau anda orang Melayu yang benci benar dengan Mahathir dan kutuk pula Pakatan Harapan sebab terima Mahathir tapi tak kenal siapa Za'ba apatah lagi baca buku-bukunya, berhentilah daripada menghukum orang lain sebagai "seekor sampah".
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan