Malaysia baharu lebih inklusif
Oleh Ken Simler
SEJAK 1992, tarikh 17 Oktober diiktiraf sebagai Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa atau secara ringkasnya, Hari Basmi Kemiskinan.
Pada hari berkenaan, dunia membicarakan kemajuan yang tercapai serta tindakan selanjutnya bagi mengakhiri kemiskinan.
Justeru, bagi menyambut Hari Basmi Kemiskinan tahun ini, Bank Dunia menerbitkan laporan Kemiskinan dan Kemakmuran Bersama bertajuk Piecing Together the Poverty Puzzle yang mendokumenkan penurunan dramatik dari aspek kemiskinan ekstrem, yang dicapai antara 1990 hingga 2015.
Hanya dalam tempoh 25 tahun, walaupun populasi dunia meningkat daripada lima bilion kepada tujuh bilion, peratusan penduduk dunia yang dalam golongan miskin ekstrem menurun daripada 36 peratus kepada 10 peratus (736 juta berbanding dengan 1.9 bilion sebelumnya).
Menurut anggaran Bank Dunia, kadar kemiskinan global kini jatuh kepada 8.6 peratus pada 2018 dan melangkaui sasaran awal kadar 9 peratus bagi 2020, dalam usaha mencecah sasaran tiga peratus menjelang 2030.
Namun, di sebalik kemajuan dicapai, sasaran 2030 ini masih sukar diramalkan.
Walau perkembangan sudah disaksikan, kadar penurunan kemiskinan pada tahap global dilihat semakin perlahan pada tahun kebelakangan.
Miskin ekstrem
Ketika ini, kemiskinan semakin tertumpu di kawasan Afrika Sub-Sahara dan di kawasan getir atau dilanda konflik. Bahkan, penduduk miskin di kawasan terbabit sahaja merangkumi lebih separuh populasi dunia yang bertaraf miskin ekstrem.
Dengan itu, pencapaian sasaran tiga peratus menjelang 2030 amat bergantung kepada beberapa faktor penting, khususnya pertumbuhan ekonomi yang pantas dan inklusif, tadbir urus lebih mantap, pelaburan dalam bidang kesihatan dan pendidikan, serta peningkatan produktiviti.
Malaysia mencatatkan kemajuan cukup cemerlang dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan monetari.
Pada 1970, hampir separuh isi rumah Malaysia hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan, yang kadarnya hampir dua kali ganda dengan garis kemiskinan antarabangsa (kira-kira RM100 seorang setiap bulan).
Hari ini, bilangannya jatuh kurang satu peratus. Berlatarkan nilai ambang garis kemiskinan median kebangsaan yang lebih tinggi digunakan di negara berpendapatan atas sederhana (kira-kira RM292 seorang setiap bulan), kadar kemiskinan Malaysia menurun kepada 2.7 peratus pada 2015, berbanding 17 peratus pada 2008.
Negara berpendapatan tinggi
Namun, apabila negara dunia menjadi semakin kaya, norma sosial tentang standard kehidupan asas atau minimum juga turut berubah.
Jangkaan yang kian bertukar ini bukan sekadar mencakupi aspek jaminan pendapatan, tetapi turut merangkumi akses kepada perkhidmatan dan ameniti pada harga mampu milik, kerana ia memberikan jaminan harga diri seseorang individu selaku ahli masyarakat yang mempunyai peranan masing-masing.
Perbincangan umum buat masa kini mengenai kos kehidupan dan kualiti perkhidmatan awam serta topik berkaitan yang diadakan secara terbuka, menunjukkan bukti jelas bahawa Malaysia kini menyasarkan dan mengharapkan tahap kehidupan yang jauh lebih baik.
Oleh itu, dengan menyedari standard negara berpendapatan tinggi dan maju yang diaspirasikan oleh Malaysia, jurang serta kelemahan yang ketara tidak boleh diketepikan sebagai kes terpencil.
Sebagai contoh, kajian oleh Institut Kesihatan Umum pada 2016 mendapati 20.7 peratus kanak-kanak Malaysia terbantut akibat kekurangan zat nutrien.
Kadar kanak-kanak terbantut ini berada di kawasan bandar dan luar bandar, bahkan merentasi semua negeri, bangsa dan tahap pendapatan serta pendidikan ibu masing-masing.
Dasar intervensi sosial
Oleh yang demikian, dasar awam dan intervensi sosial pada masa akan datang boleh dijadikan lebih efektif dengan memastikan ia bertepatan dengan kehendak situasi kehidupan penduduk.
Satu contoh ialah program Bantuan Sara Hidup (BSH). Impak dan keberkesanan kos program ini mampu mengatasi program sebelumnya dengan memastikan kriteria kelayakan dan jumlah manfaat diterima oleh penduduk, mengambil kira saiz dan komposisi isi rumah dan kos hidup yang berbeza menurut negeri serta juga berlatarkan sama ada ia kawasan bandar atau luar bandar.
Sudah banyak yang diperkatakan tentang peralihan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Namun, makna sebenar peralihan ini akan terserlah hanya sekiranya setiap rakyat Malaysia berpeluang bersama-sama menikmati manfaat monetari dan bukan monetari, hasil daripada kemakmuran negara.
Malaysia sudah bersedia mengembangkan populasi berpendapatan sederhana yang saiznya lebih besar dan lebih berdaya tahan, di mana ia boleh menjadi pemacu pertumbuhan masa depan, peneraju tadbir urus yang lebih baik dan mengangkat kebertanggungjawaban yang lebih tinggi.
Secara tuntas, komitmen terhadap aspek inklusif dalam kalangan masyarakat Malaysia Baharu, serentak dengan usaha menangani jurang dan kelemahan yang ada.
Semua ini mampu membasmi kemiskinan dan menambah baik standard kehidupan setiap rakyat Malaysia.
0 comments:
Catat Ulasan