Oleh HASMI HASHIM
Menjuarai isu RUU355 tidak lain
adalah sebahagian daripada strategi PAS untuk kekal relevan. Parti itu
sedar, berbanding PKR dan DAP, PAS menjadi parti paling lemah selepas
PRU ke-13. Analisa PAS pasca-PRU lalu menunjukkan bahawa mereka perlu
kembali menguasai teras majoriti Melayu.
Perkembangan politik yang menjadikan PAS ‘tercampak’ keluar daripada
gabungan pembangkang sejak dua tahun lalu sebenarnya merupakan satu
hikmah. PAS kini bukan sahaja berpeluang memperkukuhkan asas pengaruh di
kawasan Melayu untuk berdepan dengan Umno; mereka juga sudah memikirkan
untuk turut bertanding di kerusi-kerusi campuran.
Sekiranya PAS berada dalam gabungan utama pembangkang sepertimana dua
kali PRU 2008 dan 2013, mustahil PAS boleh mengambil kerusi campuran
yang pasti diserahkan kepada PKR dan DAP. Kini peluang terbuka kembali
kerana PAS tidak terikat lagi Pakatan Harapan.
Maka tidak hairanlah PAS mengumumkan untuk bertanding sehingga 100
kerusi parlimen. Angka berkenaan adalah jumlah terbesar yang bakal
ditandingi PAS sejak PRU selepas merdeka.
Di Selangor sahaja, PAS sudah pun mengumumkan mahu bertanding 40
kerusi. Angka-angka tersebut menunjukkan bagaimana antara kerusi tumpuan
PAS kali ini adalah kerusi campuran. Di situ jugalah kemungkinan PAS
untuk menang sangat cerah.
Strategi tersebut bolehlah dikatakan sebagai strategi serampang dua
mata—kekal di kerusi majoriti Melayu; dan menerobos kerusi campuran.
Atas kesedaran inilah, PAS akan terus berkeras dengan Umno. Mustahil
satu kerjasama politik untuk kepentingan pilihan raya boleh wujud antara
PAS-Umno. Berkali-kali pimpinan tertinggi PAS mengulanginya bahawa
‘kerjasama’ dengan Umno hanyalah terbatas kepada apa yang mereka sebut
'demi kepentingan Islam'. Tidak lebih daripada itu.
Dan PAS sudah pun memperolehnya apabila Umno turut menyokong usaha
presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membentangkan RUU355 dalam
sesi sidang Dewan Rakyat awal tahun ini.
Jalan cerita yang penuh dramatik itu boleh dikatakan telah berpihak
atau memberi kredit kepada PAS.
Terutama di mata orang Melayu. Dengannya
juga, sokongan akar umbi PAS dapat kembali
diperkukuhkan selepas
perpecahan parti sehingga melahirkan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Apa yang sama sekali tidak dilakukan orang Pakatan Harapan ialah
menawarkan sesuatu yang jelas dan menarik kepada orang Melayu berbanding
apa yang telah ditawarkan PAS. Gesaan mempunyai ketua menteri Melayu
pertama Pulau Pinang, misalnya juga nampaknya dipandang entang oleh
pemimpin Pakatan Harapan. Apakah mereka sedang kebingungan?
Perhimpunan Fastaqim
Berbanding PAS, usaha memperkukuh teras sokongan akar umbi terutama
di kalangan Melayu dilakukan dengan cukup bersungguh-sungguh.
Perhimpunan Fastaqim yang diadakan sejak dua tahun adalah buktinya.
Kelmarin di Kuala Terengganu, penyertaan yang dikatakan mencecah
200,000 orang menjadikan PAS semakin yakin strategi yang dirancang
sedang berjalan di atas arah dan landasan yang tepat.
Sebelum masuk PRU, sudah menjadi kelaziman parti-parti politik
mengadakan perhimpunan. Setiap perhimpunan, walaupun di sambar petir
atau apa sahaja kelemahan yang cuba ditimbulkan pihak lawan, semuanya
adalah persoalan kecil kerana apa yang lebih utama ialah menunjukkan
kekuatan parti dan membangkitkan semangat anggota. Dalam hal ini PAS
boleh dikatakan sudah berjaya berbanding parti-parti lain.
Tatkala teras sokongan dapat dipulihkan, Terengganu sekali lagi
menjadi negeri tumpuan selain usaha mengekalkan Kelantan. Dalam kata
mudah, kalau apa-apa pun terjadi di Kelantan, PAS ada Terengganu pula.
Seakan mendapat bonus kalau nanti PAS dapat menguasai keduanya.
Bagi kerusi campuran di mana pengundi Melayu berada pada tahap 50
sehingga 60 peratus, kerusi sedemikian merupakan kesempatan baru kepada
PAS. Terutama pada kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon bukan Melayu
sama ada oleh MCA, MIC, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun
GERAKAN.
Sebagai contoh, sekira dua calon Cina iaitu dari MCA berdepan dengan
DAP, undi Cina akan terbelah dua. Dengan meletakkan calon Melayu dari
PAS, kemungkinan untuk menang menjadi lebih besar atas perkiraan
pengundi Melayu akan lebih solid menyokong PAS.
Dalam keadaan itu, pengundi Melayu tak ada pilihan selain PAS. Di
sinilah kerusi-kerusi yang akan menyumbang kepada kemenangan PAS untuk
PRU akan datang.
Sekiranya semua strategi tersebut gagal, PAS masih ada kemungkinan
ketiga iaitu menjadi parti yang walaupun dengan jumlah kerusi yang
kecil, tetapi sangat signifikan dan penting. Strategi ini samalah
seperti sebuah parti kecil dari Ireland Utara, Democratic Unionist Party
(DUP) yang menjadi penentu dalam pilihan raya UK, Jun lalu.
Ketika Parti Konservatif kehilangan majoriti dan Parti Buruh pula
tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan, keduanya sangat memerlukan
sokongan parti kecil seperti DUP. Teresa May dilihat segera menjalin
rundingan dengan ketua DUP, Arlene Foster.
Walaupun Parti Buruh memerlukan hanya 10 kerusi milik DUP untuk
mempunyai PM baru dari Parti Buruh, Jeremy Corbyn, tetapi DUP telah
memilih untuk menyokong Parti Konservatif dengan May menyambung jawatan
PM. Antaranya, May segera meluluskan peruntukan tambahan $2 bilion untuk
lima tahun ke depan kepada Ireland Utara.
Kalau senario sama terjadi apabila BN dan Pakatan Harapan mencatat
keputusan yang relatif seimbang, PAS tidak mustahil akan muncul
sepertimana DUP. Memang ada pandangan cuba menakut-nakutkan PAS yang
tidak lagi bersama Pakatan Harapan bahawa parti itu akan mencatat
keputusan buruk, tetapi bagi PAS paling buruk bukan sangat mengenai
keputusan PRU.
Perkara terburuk dalam politik adalah hilang suara atau tidak
diumpama walaupun dalam dua kali PRU, PAS telah berkorban banyak
perkara. Parti itu bukan sahaja memberikan teras pengundinya kepada
parti rakan seperti DAP dan PKR, tetapi parti-parti rakan juga telah
menggunakan apa jua kemudahan PAS seperti premis dan jentera pilihan
raya.
Dalam perkiraan yang sedemikianlah, pemimpin PAS berfikir biarkan
mereka berbaki beberapa kerusi, tetapi cukup signifikan untuk menentukan
siapa yang boleh menubuhkan kerajaan. Itu pun kalau strategi mendapat
jumlah kerusi lebih banyak, gagal.
Kalau berjaya, maka lain pula ceritanya. PAS tentu mahu kembali
sebagai parti terbesar dan terkuat dalam Dewan Rakyat. Hanya dengan cara
itu, suara dan keberadaan PAS akan kembali diumpama.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan