Tiada pilihan raya negeri, Pakatan yakin terus kekal Selangor

Oleh

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) yakin akan dapat mengekalkan Selangor meskipun dengan persempadanan semula yang akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, pimpinan PH berpendapat cadangan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor lebih awal hanya akan mengelirukan rakyat dan tidak memberikan kesan besar.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata keputusan sedemikian juga akan menyebabkan pembaziran.
"Saya ingat sekarang agak terlambat ke arah itu. Antara sekarang dengan tarikh umum yang mungkin dua tiga bulan, kesannya tidak besar.

“Cadangan itu ada ditimbulkan setahun lepas, setahun lepas kalau ada (PRN) awal, saya yakin kita boleh menang dan kesan lebih besar mempengaruhi keputusan PRU14.

“Kalau tahun lepas rakyat akan nampak dengan jelas bahawa itu satu strategi terancang untuk mengurangkan keistimewaan yang Najib ada pada PRU,” kata Rafizi

Maka, tiada bezanya jika PRN diadakan terlebih dulu atau dijalankan serentak dalam pilihan raya umum (PRU), kata Rafizi.

“Saya rasa rakyat pun akan terkeliru dan (fikir) 'kenapa hendak membazir, berapa bulan saja lagi (akan diadakan PRU),” katanya.

Senada dengannya, Setiausaha Publisiti DAP Selangor Ng Suee Lim berkata isu sama ada PRN perlu dibuat lebih awal, tidak perlu dipertimbangkan.

“Ia melibatkan kos dan pelbagai aspek,” kata Ng yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.
Beliau berkata PH tetap yakin akan dapat mengekalkan pentadbiran di Selangor walaupun dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan memberi kelebihan kepada BN.

Katanya, pentadbiran Selangor akan terus kekal dengan berdasarkan rekod pentadbiran yang cemerlang selama ini.

“Saya yakin dengan respons rakyat akar umbi pelbagai kaum terutamanya Melayu, saya yakin apa pun taktik BN – sempadan, pengundi hantulah, tapi rakyat tetap beri sokongan padu pada PH.

“Kerajaan negeri dilihat membela rakyat. Kita menaruh harapan pada rakyat dan kita yakin dengan gerak kerja dan rekod pentadbiran kita,” katanya yang juga Adun Sekinchan.

Sentimen sama disuarakan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang berpendapat, PRN itu mungkin bermakna jika dijalankan sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal.

“Kalau (PRN) berlaku dua tahun lalu, ada mesej hendak sampaikan pada rakyat. Tapi pada ketika ini yang hanya beberapa bulan PRU, akhirnya kita hantar satu mesej yang celaru pada rakyat,” katanya.

Beliau juga yakin warga Selangor semakin kukuh bersama PH dan sentimen kebencian BN juga memuncak kerana pengundi mengalami kesusahan hidup.

"Walau buat apa pun, kita lihat sokongan dan peratus rakyat pada Pakatan meningkat dan Umno menurun. Kita ada kelebihan untuk mengekalkan kemenangan di Selangor,” katanya


Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga berpendapat PRN tidak perlu dilakukan dan yakin kepada sikap pengundi untuk memilih PH dalam PRU14.

“Kami tak perlu lakukan pembubaran awal di Selangor. Kami yakin kita mampu kekalkan Selangor memandangkan pengundi Selangor matang politik seperti yang terbukti kita sekarang memegang 44 kerusi DUN daripada 56 kerusi,” katanya.

Kenyataannya itu mengambil kira kerusi PAS yang menguasai 15 kerusi DUN Selangor dalam PRU 2013 sedangkan PAS tidak lagi membentuk kerjasama politik dengan DAP serta PKR untuk memenangi pilihan raya kali ini.
Dua wakil rakyat PAS di Selangor iaitu Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin kini menyertai parti Amanah.

Saari dijangka akan mempertahankan kerusi tersebut, namun kedudukannya masih belum dikira selamat jika cadangan perubahan persempadanan di DUN itu berjaya dilaksanakan.

Ia berikutan sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi sumbangan besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum ini, akan dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.

Usaha Selangor untuk menyekat persempadanan semula pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini masih belum membuahkan hasil apabila Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan negeri tidak boleh mencabar pelaksanaan tersebut.

Usaha itu dimulakan pada Oktober tahun lalu apabila Selangor memfailkan permohonan semakan semula dengan menamakan Pengerusi SPR Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Abdul Ghani Salleh sebagai responden.

Selain membatalkan notis persempadanan semula SPR, Selangor turut memohon satu pengisytiharan notis itu kekurangan butiran hingga menyebabkan pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menjalankan hak Perlembagaan mereka untuk memfailkan bantahan.

Kerajaan negeri antara lain memetik kegagalan SPR menggunakan daftar pemilih yang terbaru dalam pelaksanaan persempadanan semulanya.

Selain itu daftar pemilih yang digunakan SPR juga didakwa tidak lengkap serta tidak tepat. Pelaksanaan persempadanan semula melibatkan 136,272 pengundi di Selangor.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan