Oleh Bede Hong
IA akan menjadi “langkah bijak” oleh kerajaan negeri Selangor untuk
membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) untuk menangkis kesan daripada persempadanan semula
kawasan pilihan raya yang memberi kelebihan kepada Barisan Nasional
(BN), kata penganalisis.
Mengulas mengenai perbalahan pelaksanaan persempadanan semula oleh
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penganalisis berkata mengadakan Pilihan
Raya Negeri (PRN) sebelum PRU yang perlu diadakan sebelum Ogos, boleh
juga memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
Kerajaan negeri PH pada masa ini dalam pertarungan undang-undang
dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di
kawasan pilihan rayanya.
Ketua pengajian politik Penang Institute, Wong Chin Huat berkata
pelaksanaan persempadanan semula itu dijangka akan berpihak kepada BN
tetapi PH dapat menangkisnya jika DUN dibubarkan sebelum PRU diadakan.
“Jika DUN Selangor dibubarkan esok, PRN perlu diadakan dalam tempoh
dua bulan, dan daftar pengundi sedia ada yang akan digunakan.
Persempadanan semula akan ditewaskan dengan bijak,” katanya
“Jika Azmin (Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin Ali) membubarkan
DUN Selangor untuk mempercepatkan pertarungan, bukan saja beliau
mempunyai peluang lebih besar untuk kemenangan penuh, tetapi akan
dilihat sebagai pemimpin berani dan berstrategi.
“Menteri besar dan ketua menteri pembangkang selama ini menurut
arahan BN dalam mengadakan PRU. Azmin boleh tunjukkan bahawa beliau
bukan sekadar MB pembangkang seperti yang lain.”
Terdapat 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN di Selangor. Wakil
rakyat PH mencabar pelaksanaan persempadanan semula kerana mereka
berpendapat mereka mungkin kalah pada PRU14, jika ia dilaksanakan.
Baru-baru ini menemu bual Adun Hulu Kelang
Saari Sungib yang tahu beliau berdepan kekalahan pada PRU14 jika
cadangan perubahan sempadan di kawasannya berjaya dilaksanakan.
Ia berikutan sejumlah besar pangkalan data penyokongnya yang memberi
sumbangan besar terhadap kemenangan majoritinya bagi dua PRU sebelum
ini, akan dipindahkan keluar ke kawasan Parlimen bersebelahan.
Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun dan PRU14 perlu
diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran itu. SPR akan
memutuskan bila PRU akan diadakan.
Di Selangor, menteri besar yang akan memutuskan bila hendak
membubarkan DUN, dengan hanya memerlukan perkenan Sultan Selangor,
Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Tidak ada persoalan tidak sah,” kata Wong, menambah bahawa di bawah
Akta Pilihan Raya 1958, daftar pengundi negeri yang sedang diguna pakai,
perlu digunakan apabila DUN dibubarkan.
“SPR tidak boleh guna sempadan baharu,” katanya.
Wong berkata PRU awal akan membolehkan PH menggunakan kekuatannya
pada PRU14, sekurang-kurangnya untuk kawasan Parlimen di Selangor.
“Jika pertandingan banyak penjuru tidak dapat dielakkan, maka PH
boleh akses kepada kemampuannya untuk menang. Ia tidak boleh jadi lebih
teruk daripada pertandingan banyak penjuru selepas persempadanan
semula,” katanya.
“Namun, pertandingan banyak penjuru boleh diminimumkan jika Selangor
bubar awal kerana rundingan kerusi dengan PAS boleh selesai dengan
sendirinya.
“PAS Selangor tahu mereka akan jadi mangsa pertama jika pertandingan banyak penjuru berlaku.”
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kerajaan
negeri Selangor untuk menangguhkan kehadirannya di inkuiri awam mengenai
pelaksanaan persempadanan semula oleh SPR.
Inkuiri awam SPR akan diteruskan seperti biasa tanpa kehadiran wakil kerajaan negeri Selangor.
Kerajaan negeri sebelum ini memohon untuk membatalkan cadangan
pelaksanaan persempadanan semula SPR yang akan merangka semula sempadan
kawasan Parlimen, di mana pembangkang mendakwa tindakan itu bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selangor juga memohon pengisytiharan bahawa SPR melanggar peruntukan
perlembagaan berkenaan persempadanan kawasan pilihan raya, yang akan
membawa kepada jumlah pengundi tidak seimbang di kawasan terbabit.
Kerajaan negeri juga memetik kegagalan SPR untuk menggunakan daftar
pengundi terbaru dalam pelaksanaan persempadanan semula itu, malah
daftar yang digunakan tidak lengkap dan tidak tepat, menjejaskan 136,272
pengundi di Selangor.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Ini adalah suatu langkah politik yang cukup strategik . Kerajaan PH Pulau Pinang pun wajar juga membubarkan DUN Pulau Pinang sekarang, bersama dengan Selangor.
BalasPadam