Oleh Zin Mahmud
Semua sudah bersedia. Hampir semua. Baik jentera kerajaan mahupun parti politik.
Warganegara yang prihatin juga dipercayai sudah membuat keputusan
untuk mengundi pihak mana. Sebahagiannya mahu pilihan raya umum
disegerakan.
Spekulasinya ialah Dewan Rakyat akan dibubarkan selepas proses
persempadanan semula kawasan pilihan raya selesai, yang kelihatannya
lebih menyukarkan pihak pembangkang berbanding Barisan Nasional (BN).
Tidak kiralah siapa yang menang, BN atau Pakatan Harapan (PH), atau
parlimen tergantung yang memerlukan kerajaan campuran dengan penyertaan
parti ketiga, apa yang dikehendaki ialah kestabilan dan kesinambungan
kehidupan bernegara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengatur pilihan raya umum sejak
1959. Ia ditubuhkan pada 1957, sebulan selepas Malaya mencapai
kemerdekaan. Dengan pengalaman mengatur pilihan raya umum sebanyak 13
kali, SPR pasti sudah bersedia untuk menjalankan tugasnya sebaik saja
Dewan Rakyat dibubarkan. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan yang
lain seperti polis.
Begitu juga dengan parti politik. Umno berpengalaman menyertai
pilihan raya umum sejak 1955. Baik selaku parti utama Perikatan mahupun
BN.
Sayap Umno yang sentiasa memainkan peranan penting bagi kemenangan
parti kerajaan itu, Pergerakan Wanita Umno juga pasti sudah bersedia.
Malah BN telah pun menguji jentera pilihan rayanya melalui “dry run”
(percubaan). Bendera BN juga sudah berkibar di merata-rata tempat.
Agensi kerajaan yang turut berperanan besar dalam kempen pilihan raya
seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga dipercayai telah
menyempurnakan “dry run”.
Pembangkang juga sudah bersedia, walaupun jentera pilihan raya mereka
tidaklah secekap apa yang dimiliki BN. Dana yang mereka miliki juga
tidak sebesar yang ada pada BN.
Tetapi kelemahan besar pembangkang adalah mereka tidak mempunyai
perpaduan yang sekukuh BN. Mereka juga tidak memiliki parti dominan
untuk memberi kepimpinan yang tidak dapat dicabar.
Ditambah pula ada 2
parti pembangkang utama baharu yang belum pernah teruji dalam pilihan
raya umum, walaupun pemimpin mereka sudah lama terlibat dengan pilihan
raya.
Pembangkang terbahagi kepada 3. Pertama, PH. Kedua, Gagasan Sejahtera
dan ketiga, parti-parti kecil lain yang tidak terikat dengan PH dan
Gagasan.
Tidak seperti BN yang terdaftar, PH dan Gagasan hanya bergerak pada
nama. PH sudah memohon untuk didaftar tetapi ia belum diluluskan.
Sementara Gagasan tidak membuat permohonan untuk mendaftar.
Pengalaman pilihan raya
Secara rasmi, inilah pertama kali PH dan Gagasan menyertai pilihan
raya umum. Sementara BN menyertai pilihan raya sejak tahun 1974 iaitu
sebanyak 10 kali.
Dalam BN pula, Umno, MCA dan MIC bertanding pilihan raya umum sejak
1955. Ini bermakna ketiga-tiga parti itu telah menyertai pilihan raya
umum sebanyak 14 kali. Tetapi kalau Umno sekarang dikira sebagai Umno
Baru, maka ia baru bertanding sebanyak 6 kali.
Di pihak pembangkang, parti paling lama pernah bertanding pilihan
raya umum ialah PAS iaitu sejak 1955. Bermakna sama seperti Umno, MCA
dan MIC, ia telah bertanding sebanyak 14 kali.
Tetapi di kalangan parti Pakatan Harapan, parti yang paling lama
bertanding ialah DAP iaitu sejak 1969, bermakna ia telah bertanding
sebanyak 11 kali. Tetapi sebelum DAP ditubuhkan, pemimpin-pemimpinnya
adalah aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpangkalan di
Singapura. Mereka menyertai pilihan raya umum pada 1964 ketika mana
Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia.
PKR pula mula menyertai pilihan raya umum tahun 1999. Bermakna mereka
sudah masuk bertanding sebanyak 4 kali walaupun dalam tahun 1999 dan
2004, mereka bertanding sebagai Parti Keadilan Nasional. Gabungan antara
Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) berlaku sebelum pilihan raya
2004. Namun oleh kerana pendaftaran bagi kedua parti itu tidak sempat
diluluskan maka dalam pilihan raya itu, PKR masih dikenali sebagai
Keadilan dan calon dari PRM menggunakan lambang parti itu.
PRM sendiri adalah parti lama yang mula bertanding pada pilihan raya
umum tahun 1959 sebagai komponen Front Sosialis Rakyat Malaya (SF),
sebuah gabungan parti yang berdaftar. Walaupun secara rasmi mereka telah
bergabung dengan Keadilan untuk menjadi PKR pada 2003, ada antara
ahlinya menghidupkan semula PRM pada tahun 2005 apabila didapati parti
itu tidak dibubarkan secara pendaftaran ketika penyatuan itu dilakukan.
Baru tapi lama
Dalam pada itu, walaupun PPBM dan Amanah adalah parti yang belum
pernah menyertai pilihan raya umum, pemimpin-pemimpinnya adalah ahli
politik yang telah banyak kali menyertai pilihan raya umum dalam
parti-parti lama mereka iaitu Umno dan PAS.
Pengerusi PPBM yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir
Mohamad dengan usia 93 tahun mula bertanding pilihan raya pada 1964 dan
memenangi kawasan parlimen Kota Setar Selatan mewakili Perikatan. Beliau
kemudian bertanding pilihan raya umum sebanyak 10 kali sebelum
persaraannya sebagai perdana menteri.
Dalam pertandingan itu, beliau kalah sekali iaitu pada tahun 1969 di tangan calon PAS, Yusof Rawa.
Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib
Razak juga telah bertanding sebanyak 10 kali dalam pilihan raya umum
iaitu sejak 1978, iaitu di Pekan menggantikan bapanya, Tun Razak
Hussein. Beliau tidak pernah kalah dalam pilihan raya.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyertai pilihan raya umum sebanyak 8
kali iaitu bermula pada 1982 bagi mewakili PAS di Kepala Batas, Pulau
Pinang. Beliau hanya menang 3 kali, pada 1990 di Nilam Puri, 1995 di
Kubang Kerian, 1999 di Kuala Kedah. Mohamad kalah di tangan Tun Abdullah
Ahmad Badawi pada 1982 di Kepala Batas dan di tangan Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada 1986 di Permatang Pauh.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai pilihan raya umum
sejak tahun 1978. Ini bermakna beliau mengalami 9 kali dan pada tahun
2013, beliau adalah pengarah pilihan raya BN. Beliau tidak pernah kalah
dalam pilihan raya.
Tetapi PPBM mempunyai pemimpin yang istimewa berhubung pilihan raya.
Beliau ialah naib presiden parti itu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman
yang menjadi pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008. Beliau mula berkhidmat
dengan SPR sebagai setiausaha dari 1979 hingga 1995 dan timbalan
pengerusi dari 1997 hingga 2000. Ini bermakna beliau terlibat dengan
pilihan raya umum sebanyak 5 kali. Beliau tidak pernah bertanding.
Walaupun kewibawaan Dr Mahathir adalah tinggi tetapi pemimpin utama
PH yang hendak dijadikan perdana menteri tidak dapat bertanding. Beliau
adalah Anwar yang merupakan ketua umum PH dan sedang dipenjarakan.
Jika PH menang, Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sementara,
menunggu Anwar melalui proses dibolehkan memegang jawatan itu.
Isu menjelang PRU
Dalam pada itu, PH terpaksa menghadapi pemecahan undi pembangkang,
iaitu berdepan dengan PAS serta parti kecil lain seperti Parti Sosialis
Malaysia (PSM) dan senario politik yang berbeza di Sarawak dan Sabah.
Selain itu, masalah PPBM dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan juga
belum selesai yang mana parti itu terdedah pada kemungkinan tidak boleh
bertanding dalam pilihan raya umum.
Sementara hubungan antara parti dalam Pakatan Harapan juga tidak
selicin yang diharapkan. Dalam soal pembahagian kerusi, ia masih
menghadapi masalah khususnya Selangor walaupun kebanyakan kawasan yang
sudah diselesaikan.
Namun dari segi isu, termasuk masalah 1MDB, ia merupakan satu cabaran
besar bagi BN. Terpulang kepada pengundi atas pagar yang akan
menentukan sama ada Najib boleh terus menjadi perdana menteri selepas
pilihan raya umum ke-14 atau tidak.
Proses demokrasi sedang berjalan dan bagi mereka yang telah membuat
keputusan, kempen yang diadakan sebelum pengundian tidak akan
mempengaruhi mereka.
Lagi cepat pilihan raya ini diadakan, semakin segera negara dan
rakyat Malaysia boleh “move on” untuk membentuk kehidupan masa depan
yang berbeza. Sejak timbul isu 1MDB pada tahun 2015, rakyat negara ini
terbelenggu dengan paralisis atau kelumpuhan politik.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan