Oleh USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Saya menonton klip video ucapan seorang perwakilan Pas (Hassan Muhammad) dalam muktamar Pas yang berkata:
“… bila kita di Sabah, kita tidak bertanding. Untuk melahirkan rasa
kecewa, boleh. Tapi rasa untuk menentang, tidak boleh. Nabi SAW sebut,
sapa-sapa (sesiapa) yang cuba-cuba nak memecahbelahkan perpaduan kita,
Nabi SAW sebut, faqtuluh, bunuh dia…”
Saya sempat meninjau hadith Nabi SAW yang ada ungkapan “faqtuluh
(bunuh dia)”. Ada banyak hadith yang ada ungkapan itu termasuk hadith
bunuh orang murtad.
Saya berjumpa sebuah hadith riwayat Muslim yang mungkin dirujuk oleh pembahas berkenaan.
Nabi SAW sebut, “Akan berlaku bencana besar. Sesiapa yang mahu
memecahbelahkan urusan umat ini dalam keadaan mereka bersatu-padu, maka
pukullah (bunuhlah) dia dengan pedang, biar siapa sekalipun dia.”
(Muslim: 3442).
Memang ada riwayat yang lain yang menggunakan lafaz “faqtuluh
(bunuhlah dia)”, ganti kepada “pukullah dia dengan pedang”, juga riwayat
Muslim tetapi melalui jalur sanad yang lain.
Allah lebih tahu. Bagi saya, menggunakan hadith ini untuk
menjustifikasikan kewajipan taat kepada pemimpin Pas dalam isu PRN Sabah
agak keterlaluan dan janggal.
Apatah lagi, mewajarkan bunuh kepada mana-mana ahli Pas yang
menentang keputusan pemimpin Pas dalam kes berkenaan. Ini sudut pandang
saya:
1. Nabi SAW sebut, “memecah belahkan urusan umat ini” merujuk kepada
umat Islam yang berada di bawah satu kepimpinan, bukan merujuk kepada
Pas. Ungkapan “umat ini” tidak merujuk kepada Pas dan kepada mana-mana
parti politik.
2. Lawan keputusan pemimpin dalam isu PRN Sabah adalah persoalan
politik bukan persoalan aqidah (murtad), atau jenayah nyawa (bunuh),
atau jenayah maruah (penzina sudah berkahwin) yang layak ditumpahkan
darah.
3. Kedudukan pemimpin Pas tidaklah setaraf khalifah yang dibai’ah
seperti Khulafa’ Rasyidin sehingga layak dibunuh jika ditentang. Para
Khulafa’ Rasyidin sendiri tidak sewenang-wenang menghukum bunuh kepada
penentang mereka.
4. Menentang pemimpin Pas tak sama dengan menentang kepimpinan umat
kerana Pas hanya sebuah parti politik sama seperti parti politik yang
lain. Kedudukan seseorang sebagai ahli parti politik tak sama dengan
kedudukan seseorang di bawah kepimpinan umat.
5. Kegagalan Pas menyertai PRN Sabah kerana disailang oleh rakan
politik parti itu. Namun pemimpin Pas tak membantahnya kerana menjaga
beberapa kepentingan politik parti berkenaan. Wajarkah ahli yang
membantah dibunuh?
Saya fikir pemimpin Pas perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan
hadith untuk menjustifikasikan kekecewaan mereka dalam politik. Jangan
sampai dilabel penjual hadith pula selepas beberapa kali menjual ayat
al-Quran.
0 comments:
Catat Ulasan