PETALING JAYA: Amanah menegaskan tidak menyertai perhimpunan
mempertahankan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya Jumaat ini, kata
naib presiden parti Islam itu.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tunjuk perasaan itu tidak ada
bezanya dengan tunjuk perasaan yang PH sudah lakukan beberapa kali
sebelum ini.
“Tidak ada bezanya kalau kita buat, dia (kerajaan Persekutuan) buat
lagi bagus tetapi bagi kita, kita tidak akan bersama sebab kita sudah
buat 2 kali dan akan buat pada kali ke-3, dan 4,” katanya sewaktu
bersiaran langsung di Facebook dalam program anjuran Invoke Malaysia,
hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
mempelawa rakyat berbilang kaum, NGO serta pemimpin parti pembangkang
menyertai tunjuk perasaan itu.
Zahdi berkata, perhimpunan itu pentas semua pihak menunjukkan
solidariti dalam isu Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu
negara Israel.
Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta NGO Islam dan bukan Islam dijadualkan
menyertai tunjuk perasaan itu nanti.
Mujahid ketika dihubungi berkata beliau mungkin akan menolak jemputan
Zahid sebagai panelis wacana solidariti selamatkan Palestin.
“Saya dapat panggilan telefon dari pejabat Zahid, memang betul dia menjemput saya sebagai panel. Saya belum buat keputusan.
“Tetapi jika parti tidak sertai himpunan, saya kira mungkin juga saya tidak akan sertai. Saya ikut pendirian parti.
“Tidak bermakna kalau kita tidak sertai kita tidak sokong Palestin,” katanya.
Mujahid berkata lebih baik sekiranya Zahid mewakili kerajaan
Persekutuan memanggil sidang khas di Parlimen bagi membincangkan isu
Palestin di samping mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat.
“Saya yakin, seluruh ahli Parlimen akan menyokong dan membawa suara 22 juta rakyat Malaysia,” katanya.
Washington menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dibentangkan
Mesir untuk mendesak pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara
Israel oleh Presiden AS Donald Trump ditarik balik.
Seramai 14 ahli Majlis Keselamatan PBB menyokong draf resolusi dalam sesi pengundian, tetapi diveto Duta AS ke PBB, Nikki Haley.
Draf resolusi itu antara lain menekankan status akhir Baitulmaqdis
perlu ditentukan melalui rundingan Palestin dan Israel sejajar keperluan
resolusi PBB dan semua negara perlu mematuhi 10 resolusi yang
diluluskan sejak 1967.
Resolusi diundi selepas sidang kemuncak tergempar Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) di Turki pada 13 Disember lalu yang sebulat suara
mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan