KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan perubahan
nama pada 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
di Semenanjung Malaysia dalam Laporan Kajian Semula Persempadanan.
Badan bebas itu juga mengesyorkan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di Semenanjung.
Ini menjadikan bilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14
(PRU14) kekal 222 kerusi dan kerusi DUN keseluruhannya kekal 587 kerusi.
Bagaimanapun, PRU14 ini tidak akan menyaksikan pertandingan bagi 82
kerusi DUN Sarawak kerana negeri itu sudah mengadakan pilihan raya
negeri pada 7 Mei 2016.
Keempat-empat syor itu terkandung dalam laporan berkenaan, meliputi
kajian semula persempadanan di semua negeri di Semenanjung termasuk
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibentangkan di
Dewan Rakyat hari ini.
Cadangan perubahan nama itu ada hanya pindaan daripada ejaan lama
kepada ejaan baru dan ada meliputi perubahan seperti kawasan Parlimen
Bangi yang asalnya dikenali sebagai Parlimen Serdang, Parlimen Subang
(Kelana Jaya), Parlimen Damansara (Petaling Jaya Utara) dan Parlimen
Iskandar Puteri (Gelang Patah).
Urusan kajian semula persempadanan itu selaras dengan peruntukan
Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan kepada
prinsip-prinsip persempadanan dan tatacara persempadanan yang ditetapkan
di bawah perlembagaan itu.
Kali terakhir kajian semula persempadanan itu diadakan pada 2003 dan
menurut Perlembagaan Persekutuan ia perlu diadakan sekurang-kurangnya
lapan tahun.
Menurut laporan berkenaan, kriteria kajian semula itu berdasarkan
keadaan geografi dan topografi kawasan, tahap pembangunan kawasan
terlibat, keadaan demografi, kepadatan penduduk dan bilangan pemilih,
serta kemudahan asas infrastruktur seperti jalan raya dan sistem
komunikasi.
Secara keseluruhannya, sebanyak 600 representasi daripada 1,685 representasi yang diterima diadakan siasatan tempatan.
Antara bantahan dibangkitkan ialah pemindahan daerah mengundi dari satu kawasan ke kawasan lain dan jurang bilangan pemilih.
SPR ada menerima dan ada menolak representasi bantahan itu dengan
alasan memelihara hubungan komuniti tempatan dan mengurangkan jurang
bilangan pemilih antara satu kawasan dengan kawasan lain.
Kajian semula persempadanan sejak 15 September 2016 itu dilakukan
dengan telus melalui proses notis persempadanan, pameran, syor,
representasi dan siasatan tempatan.
Menurut laporan itu, jumlah pemilih di Semenanjung Malaysia adalah
11.3 juta orang atau dengan tepatnya 11,379,352 orang mengikut daftar
pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 dan 6 September
2016.
0 comments:
Catat Ulasan