GEORGE TOWN: Kerusi Parlimen yang dipegang Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Hussein kebanyakannya tidak berubah dalam cadangan
persempadanan semula yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Parlimen Bagan Datuk yang dipegang Zahid kekal tidak berubah
sementara kerusi Parlimen Sembrong milik Hishammuddin hanya menyaksikan
rombakan 1 daerah mengundi dalam kerusi DUN.
Kerusi Bagan Datok yang terletak berdekatan Teluk Intan, Perak kini
mempunyai 39,459 pengundi berdaftar, iaitu pengurangan sebanyak 465
orang.
Kerusi Sembrong pula yang sebahagian daripada daerah Kluang, Johor
menyaksikan hanya perubahan kecil dari segi jumlah pengundi iaitu 41,629
orang pada pilihan raya umum ke-14 nanti berbanding 41,588 orang pada
PRU lepas.
Kedua-dua kerusi itu kawasan majoriti Melayu, di mana kaum itu membentuk 50% daripada penduduknya.
Mengenai bantahan terhadap persempadanan semula, Bagan Datuk akan mengekalkan kawasan pilihan raya seperti sebelum ini.
Di Sembrong, satu-satunya perubahan melibatkan pemindahan daerah mengundi dari DUN Kahang ke DUN Paloh.
Sementara itu, daerah mengundi Felda Kahang Barat dari DUN Kahang
dengan bilangan pengundi seramai 2,454 dipindahkan ke DUN Paloh.
Kahang kawasan majoriti Melayu manakala Paloh pula kawasan majoriti Cina.
Kahang dipegang wakil rakyat MIC, R Vidyanathan yang juga exco Johor. Paloh dipegang wakil rakyat MCA, Teoh Yap Kun.
Teoh memenangi kerusi itu dengan majoriti 103 undi mengalahkan R Shanker dari DAP pada PRU lepas.
Zahid mempertahankan Bagan Datuk selama 5 penggal sejak 1999. Zahid
memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,108 undi pada PRU lepas
mengalahkan wakil PKR Madhi Hasan dengan 17,176 undi.
Hishammuddin pula mempertahankan Sembrong selama 3 penggal sejak
kerusi itu diwujudkan pada 2004. Pada pilihan raya lepas beliau
memenangi kerusi itu dengan majoriti 10,631 undi mengalahkan wakil PKR,
Onn Abu Bakar.
0 comments:
Catat Ulasan