Macamlah dua orang yang berusia 74 dan 75 tahun ini tak layak lagi memberi pandangan atau bercanggah pendapat dengan arus utama Umno dan kerajaan.
Apakah hanya orang yang lebih muda saja yang dibenarkan menegur sistem politik dan pentadbiran negara kita? Cuba tengok, dengan pergolakan kini berapa orang warga Umno yang tampil bersuara menegur? Jika boleh dikira jari sebelah tangan bermakna hak bersuara ahli sudah terbenam.

Memang senang tuduh kami sudah lost touch dengan keadaan akar umbi. Yang dimaksudkan dengan lost touch itu agaknya ialah “kaki dah tak cecah bumi”. Ku semangat! Sebenarnya para pemimpin kitalah yang “kaki dah tak cecah bumi”. Sombong, gah tinggi dan tak suka ditegur; disanggah sikit melenting.
Agaknya Annuar lupa - saya memang terdaftar semenjak dulu-dulu lagi sebagai orang yang menegur dan tak kecil hati kalau saya ditegur atau dihempas-pulas. Sebenarnya semua hal yang dibangkitkan itu sudahpun saya sampaikan kepada PM dan TPM melalui saluran hormat, iaitu:
- Kenapa Jho Low harus disiasat demi maruah negara. Dia tak boleh lebih tinggi daripada Malaysia dan Umno. Perlakuan tutup buku sebelum disiasat tidak sejajar dengan Rukunegara dan semangat Perlembagaan.
- Jawapan kepada semua ungkitan antarabangsa dan domestik tentang 1MDB mesti dihurai dengan jelas.
- Rang Undang-undang Anti Berita Tak Benar boleh jadi senjata makan tuan kemudian kerana dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam darihal implikasi konflik hak dan perundangan. Bila sudah tak berkuasa nanti (barang dijauhi Allah), baru tahu langit dan bumi tinggi-rendah!
- Keutamaan Keutuhan Undang-undang wajib dipertahankan
- Budaya tinggi dalam parti dan kerajaan wajib diberi penegasan utama.
- Perjuangan anti-rasuah mesti atas asas Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan – patut dan adil kesaksamaannya.
Sindiran “si-anu si-anu dah tua” tak payah diulang-ulang. Belum tahu siapa jatuh dulu –“ entah pucuk entah pelepah daun”. Itu kerja Tuhan, bukan kerja ketua penerangan Umno.

Rakyat sedang resah.
Tan Sri Rafidah dan saya tidak bahaya.
Yang bahaya nun di sebelah sana.
Jangan jadikan hak bersuara dalam Umno sebagai nota kaki sahaja.
Usah lupa kisah Hang Nadim dalam "Singapura Di Langgar Todak".
TAN SRI RAIS YATIM adalah penasihat sosio-budaya kerajaan dan bekas menteri penerangan. Beliau melabel dirinya sebagai rakyat Malaysia dan masih ahli Umno dan surat ini.
0 comments:
Catat Ulasan