'Ketua pengarah JASA akan lumpuhkan jentera Umno'


Jika benar ia merupakan surat dari Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Puad Zarkashi maka bererti beliau memberi kata dua kepada pemimpin Umno untuk menentukan kedudukannnya bertanding atau tidak hingga 26 April ini iaitu sehari sebelum penamaan calon.
Sekiranya tidak maka beliau akan meletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA.

Punca kemarahannya adalah kerana ketua wanita bahagiannya, seorang peguam telah dipilih untuk menjadi calon tetapi beliau sendiri tersingkir.

Dalam suratnya yang menjadi tular beliau lebih dahulu mengisytiharkan untuk bertanding bebas di kerusi P150 Batu Pahat dan N24 DUN Senggarang.

Katanya "Saya akan berperang melawan sistem yang rosak dalam Umno dalam memilih calon untuk PRU14".

Meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA, Puad Zarkashi akan melumpuhkan jentera propaganda kerajaan dan Umno yang diperlukan untuk bergerak lebih aktif , terancang dan berkesan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Ia juga akan memberikan pukulan moral yang hebat pada pandangan masyarakat dan semangat kerja Umno sendiri.

Puad mungkin dianggap tidak berpengaruh tetapi jentera JASA telah pun mempunyai pengaruh hingga ke akar umbi yang hanya perlu diaktifkan pada bila-bila masa.

Bagaimana jika generalnya tidak ada.

Jika Puad melakukan apa yang telah dihebahkan menerusi suratnya yang telah pun ditularkan maka tidaklah keterlaluan beliau boleh dianggap melakukan sabotaj terhadap jentera pilihan raya Umno dan imej kepimpinan Umno. Tetapi bolehkah beliau disalahkan?

Korbankan intelektualisme

Bagi saya sendiri walau apa pun dikatakan tentang kelemahan Puad tetapi ia lebih bersifat peribadi. Beliau telah menjalankan tugas dengan aktif, berani dan mengorbankan intelektualismenya terutama dalam merendahkan taraf kepimpinan dan sumbangan bekas PM, Tun Dr Mahathir kepada negara.
Tetapi itulah kerja seorang propagandis zaman yang mahu menjamin kemenangan parti dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak kerana Mahathir telah menjadi musuh utama Umno dan perdana menteri.

Jika beliau berasa begitu kecewa, marah dan tidak adil terhadap dirinya kerana ditolak untuk menjadi calon parlimen bagi Batu Pahat sebaliknya seorang wanita Umno yang pernah menjadi kontroversi dipilih maka beliau berhak untuk merasakan demikian.

Siapa pun akan melakukan apa sahaja jika pengorbanannnya tidak dinilai malah dimalukan.
Puad berasa dianggap seperti sampah dan berikrar akan menentang sistem yang rosak sekalipun akan tersungkur bagi kali terakhir.

Barangkali masih ada masa bagi pucuk pimpinan Umno untuk memujuknya.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan